Monday, January 29, 2007

Guru jangan penting diri mendisplin pelajar


TUJUAN saya menulis di ruangan ini adalah untuk meluahkan pandangan saya. Saya keliru dengan situasi yang berlaku di sekolah anak saya iaitu Sekolah Kebangsaan Jalan 4, Bandar Baru Bangi, Selangor. Selama dua tahun saya menjemput dan menghantar dua anak saya – seorang bersekolah pagi dan seorang bersekolah petang. Adakah patut pihak sekolah menjual ais krim kepada pelajar? Ais krim yang dibuat oleh guru dijual dengan harga 20 sen sebatang.Guru besar melarang pelajar membeli daripada penjaja di luar kawasan sekolah dan tidak membenarkan pihak kantin menjual ais krim tetapi pejabat guru pula yang menjualnya.

Anak saya pernah membelinya dan baki seringgit tidak diambil kerana anak saya berada di darjah satu ketika itu.Mujur saya ada dan masuk mengambil sendiri baki duit dari dalam bekas di atas peti ais yang terletak dalam bilik guru.Masalah kedua, pelajar tidak dibenarkan melalui tangga dari tingkat 1 hingga 3, berhampiran dengan bilik guru kerana tangga tersebut adalah laluan guru sahaja.

Saya anggarkan dari tingkat 2 dan 3 sekolah tersebut bilangan pelajarnya mencecah 350 orang sekiranya satu darjah seramai 40 pelajar. Pelajar akan bertolak-tolakkan dan berpusu-pusu menuruni anak tangga berserta dengan beg yang sarat. Ini akan menggalakkan mereka berebut-rebut untuk turun ketika sesi sekolah berakhir.

Saya sendiri pernah melihat bagaimana seorang guru mengherdik pelajar yang menggunakan laluan beliau. Pelajar tersebut dengan berat hati dan membawa beg berat terpaksa naik semula dan menuju ke tangga di hujung sekolah.
Tangga di hujung sekolah ibarat anak kambing keluar kandang. Sekiranya mereka turun bersama-sama guru, masalah disiplin secara langsung dapat dipupuk dan mereka boleh dipantau oleh guru-guru yang cantik molek, baju berwarna-warni, berfesyen-fesyen dan bergaya sesama sendiri itu. Tak salah jika mereka turun dan naik bersama pelajar mereka. Apa yang mereka mahu dihormati atau mahu diberi keistimewaan oleh pihak sekolah.
Guru seharusnya sama susah dan sama senang dengan pelajar, kalau turun dan naik tangga sama pun saya rasa tidaklah sampai menghalang guru tersebut pulang cepat.
Pelajar yang ramai memang sukar dikawal, tetapi guru kena ambil risiko dan bahagian untuk menghasilkan pelajar yang berdisiplin. Jangan pentingkan diri.
Saya juga tidak kisah jika guru-guru mendapat layanan terlalu istimewa ketika di kantin tetapi pihak sekolah nampaknya kurang beri perhatian kepada aspek kelancaran pada waktu rehat di kantin.
Sepatutnya sediakan lorong membeli serta membayar untuk memudahkan pelajar beratur dan melatih mereka berdisiplin. Ada pelajar yang tidak makan kerana keadaan yang tidak selesa ini, mereka tidak suka berebut, tetapi terpaksa kerana masalah masa rehat yang pendek. Seorang guru atau pihak kantin boleh menjadi pengawas memerhatikan keadaan di kantin ini.
Tandas pelajar atau guru patut dijaga dan dibersihkan oleh pihak pencuci sepanjang hari. Mungkin mereka mencuci sekali sehari untuk tandas pelajar tetapi untuk guru sentiasa dijagai.
Saya dapat tahu ramai pelajar tidak sanggup masuk ke tandas. Mereka menahan dan terpaksa membuang ketika sampai di rumah. Ini akan memudaratkan pelajar. Tidak semua pelajar begitu, tetapi saya sendiri terkejut melihat keadaan tandas di sekolah ini. Sekiranya perlu dibayar 10 sen pun saya rasa ia akan membantu pihak pencuci dan sekolah untuk menjaga kebersihan.

Untuk menjamin keberkesanan buat satu hari atau jadual mengajar pelajar cara-cara menjaga dan membersihkan tandas, selepas ini baru mereka sedar akan erti kebersihan. Saya tidak tahu dan tidak pasti apakah pendapat saya ini betul atau tidak. Saya tahu dalam mesyuarat PIBG perkara ini boleh dibangkitkan tetapi saya tidak yakin pihak sekolah mengambil kira apa yang saya dan ibu-ibu pelajar luahkan semasa mesyuarat tersebut.

1 comment:

ama said...

Saudara,saya rasa sistem di negara kita ni dah jauh menyimpang dengan FPN(Falsafah Pendidikan Nasional).Memang semua sekolah guru diutamakan.Ada pro dan kont dalam hal ni. Tapi kalau sampai mengherdik murid(sekolah rendah) bagi saya adalah tidak masuk akal.Kalau pelajar sekolah menengah kita boleh terima, ini budak2 yg masih hijau diperlakukan sedemikian.
Elok dalam mesy PIBG saudara suarakan hal ini. Sepatutnya guru perlu tunjukkan kasih sayang kepada anak muridnya. Itulah...saya rasa tak keterlaluan kalau saya katakn kita ni nama saja Islam tetapi org putih yang bukan Islam itu kadang2 lebih ISLAMIC dari kita.Kadang2 saya malu dengan sikap caring and loving yang mereka tunjukkan kepada anak2 saya semasa saya di luar negeri dulu...