Friday, December 22, 2006

Pendidikan seks II - Pendidikan seks tak diajar secara khusus


PUTRAJAYA: Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) yang akan diajarkan kepada kanak-kanak seawal empat tahun mulai tahun depan, tidak dijadikan mata pelajaran khusus.

Sebaliknya, pengajaran pendidikan seks itu akan dibuat merentas kurikulum dan dimasukkan ke dalam mata pelajaran sedia ada yang akan diputuskan Kementerian Pelajaran.Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pihaknya belum menetapkan subjek yang akan digabungkan dengan PKRS kerana ia akan diputuskan selepas mesyuarat bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.Bagaimanapun, katanya, antara mata pelajaran yang sesuai digabungkan dengan elemen PKRS ialah subjek bahasa, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral, Sains, Biologi dan Pendidikan Kesihatan.Beliau berkata, modul PKRS untuk kelima-lima tahap umur yang mengambil kira pandangan ahli psikologi, guru agama dan ahli akademik, sudah siap dan kandungannya akan digunakan guru sebagai panduan pengajaran untuk setiap peringkat umur pelajar.“Matlamat PKRS ialah mengatasi masalah sosial seperti sumbang mahram, rogol, menggugurkan kandungan, membuang bayi dan penularan HIV/Aids.“Dengan PKRS, kita berharap masyarakat terutama golongan muda lebih memahami nilai kekeluargaan, faham perhubungan keluarga dan antara jantina serta tanggungjawab terhadap keluarga dan orang lain,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet Kementerian Pelajaran di sini, semalam.
Modul PKRS itu diluluskan Kabinet kelmarin dan Kementerian Pelajaran akan bermesyuarat dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi membincangkan kaedah dan tarikh pelaksanaannya.Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam kenyataan kelmarin menyatakan PKRS akan mula diajarkan tahun depan kepada lima tahap kumpulan umur.Peringkat umur yang ditetapkan adalah prasekolah iaitu empat hingga enam tahun (Tahap 1); tujuh hingga sembilan tahun (Tahap 2); awal remaja 10 hingga 12 tahun (Tahap 3), remaja 13 hingga 18 tahun (Tahap 4) dan mahasiswa, ibu bapa serta warga emas, iaitu 19 tahun ke atas (Tahap 5).
Hishammuddin berkata, Kabinet juga meluluskan peruntukan RM20 juta untuk latihan, kempen, kursus, bahan cetak dan promosi program berkaitan.Beliau berkata, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan menyelaras semua kegiatan PKRS dan membentuk kumpulan jurulatih utama untuk menyampaikan kandungan modul terbabit.

No comments: