Friday, May 05, 2006

Suara Mahathir tidak lagi sumbang - Kadir Jasin
Fri | May 05, 06 | 08:58:33 AM
Oleh Abu Bakar Rahman KUALA LUMPUR, 5 Mei (Hrkh) - Bekas Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP) mengucapkan tahniah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana kerajaan akhirnya mengiktiraf secara rasmi pandangan dan suara beliau.


"Tahniah kepada Dr Mahathir kerana suaranya tidak sesumbang yang cuba digambarkan oleh sesetengah pihak dan bukan lagi "a voice in the wilderness". Rintihan beliau mengenai pembatalan projek itu sudah menjadi isu Parlimen.

"Walaupun berbagai-bagai percubaan telah dibuat untuk mematah dan melenyapkan hujah beliau, kerajaan, melalui Nazri, akhirnya terpaksa mengakui secara rasmi bahawa suara bekas Perdana Menteri itu ada pendengarnya yang tersendiri," kata beliau di dalam blognya.

Menurut Kadir, dengan membangkitkannya di Parlimen, ahli-ahli Parlimen berkenaan telah menjadikan bangkangan Dr Mahathir terhadap pembatalan projek sebagai isu rasmi.

Bagaimanapun, Kadir merasa "hairan sedikit" mengapa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato' Seri Mohamed Nazri Aziz membandingkan Dr Mahathir dengan Tun Abdul Rahman Yaakub apabila beliau berkata yang Dr. Mahathir pernah berjanji tidak akan campur tangan (dalam urusan kerajaan selepas bersara) "seperti mana dilakukan oleh bekas Ketua Menteri Sarawak, Tun Abdul Rahman Yaakub terhadap Ketua Menteri sekarang."

Nazri berkata beliau tidak mahu Dr Mahathir menjadi seperti apa disifatkannya sebagai `sindrom Tun Rahman'.

Sambil mengakui hak Nazri untuk mengingatkan janji Dr Mahathir untuk tidak campur tangan selepas bersara, Kadir mempersoalkan, adakah memberi ulasan bermakna campur tangan?

Jika benar Dr Mahathir "salah semuanya" dalam ulasan beliau, katanya lagi, mengapa beliau (Nazri) tidak menyatakan di manakah salahnya bekas Perdana Menteri?

"Baguslah kalau Nazri menghormati Dr. Mahathir sebagai seorang yang telah banyak berjasa kepada rakyat dan negara. Bukan apa, dalam keghairahan "menobat, memartabat dan mendaulatkan" era baru ini, wujud kecenderungan menafikan segala-gala baik yang berlaku sebelumnya," kata beliau mengulas dakwaan Nazri bahawa beliau masih menghormati Dr Mahathir.

Seolah-olah menyindir kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini, Kadir berkata, rakyat menyokong jika kerajaan sekarang tidak membina projek raksasa, tugu dan mercu, tetapi mereka tentu ingin tahu apakah perlu kerajaan membelanjakan belasan juta ringgit memperbaiki dan mengubah suai sebuah kediaman rasmi anggota kabinet?

"Dan apa salahnya kerajaan membina berpuluh-puluh projek raksasa jika memberi manfaat kepada rakyat dan negara?"

Beliau juga hairan dari mana Nazri mendapat tanggapan bahawa Dr Mahathir tidak mahu hujahnya dijawab apabila beliau berkata, "namun itu tidak bermakna beliau (Dr. Mahathir) diberi kuasa untuk mengkritik tanpa mengundang jawapan daripada sesiapa yang mempertikaikan kritikan beliau, terutama sekali hak kerajaan untuk membela diri."

Kadir berpendapat itulah tujuan asal Dr Mahathir apabila beliau mempersoalkan keputusan kerajaan 12 April lalu membatalkan projek tersebut. Beliau mahu kerajaan memberi penjelasan yang meyakinkan kepada rakyat jelata.

"Malah Dr Mahathir perlu berasa gembira bahawa usaha beliau tidak sia-sia. Selain rakyat jelata yang semakin berminat dengan isu itu, ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang kini turut berminat. Ini secocok dan selari dengan hasrat Abdullah menggalakkan lebih banyak perbincangan dan perdebatan dalam masyarakat," kata Kadir.