Banyak akhbar dalam negara kita memuatkan berita 'kehebatan Presiden baru ndonesia' Jokowi. bagi kita rakyat Malaysia, apalah yang hendak dibanggakan dan tumpang gembira dengan Jokowi di indonesia. Apakah Malaysia sendiri tiada tokoh pemimpin sehebat Jokowi.
Jika, tiada maka kita ketinggalan sokmolah dengan ndonesia. yang mana kita sering marah dan irikan. jadi apalah hebatnya kita jika mahu bersaing dengan negara tetangga
'Obama Indonesia' berjiwa rakyat
JOKOWI(kiri) bersama isterinya, Iriana (kanan) selepas mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia.
|
DUA minggu selepas kiraan undi dilakukan di seluruh nusantara Indonesia, suruhanjaya pilihan raya Indonesia mengumumkan Joko Widodo memperoleh lebih 53 peratus undi mengalahkan pesaingnya, bekas jeneral tentera, Prabowo Subianto.
Dengan pengumuman tersebut, Joko, bekas pengeluar perabot diumumkan sebagai Presiden Ketujuh Indonesia.
Dianggarkan, 71 peratus rakyat republik itu keluar membuang undi atau hampir 135 juta orang penduduk negara demokrasi ketiga terbesar di dunia selepas India dan Amerika Syarikat.
Joko atau lebih dikenali sebagai Jokowi, sering dirujuk oleh para penyokongnya sebagai ‘Obama Indonesia’. Meraih hampir 71 juta undi, beliau menewaskan pilihan raya Presiden Amerika pada tahun 2008 dengan meraih 1.5 juta undi walaupun penduduknya hampir 67 juta orang.
Pada 20 Oktober 2014 lalu, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi telah mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia yang baharu bagi menggantikan bekas Presiden, Susilo Bambang Yudhoyono.
Pada majlis tersebut senaskhah al-Quran diletakkan berhampiran kepala ketika Jokowi mengangkat sumpah sebagai Presiden ketujuh negara yang mempunyai hampir 250 juta penduduk itu.
“Dengan nama Tuhan, saya akan menjalankan tanggungjawab saya sebagai Presiden Republik Indonesia dengan menggunakan semua kemampuan saya dan secara adil yang boleh,” katanya.
Sejarah
Pelantikan pemimpin berusia 53 tahun itu bertitik tolak daripada kejayaan gandingan beliau dan Jusuf Kalla yang berjaya memenangi Pilihan Raya Presiden (Pilpres) pada 9 Julai lalu selepas beliau memperoleh 53.15 peratus undi manakala gandingan Prabowo dan Hatta, 46.85 peratus.
Dari segi jumlah undi, Jokowi dan Jusuf mendapat 70.6 juta undian berbanding Prabowo dan Hatta sebanyak 62.2 juta iaitu perbezaan kira-kira 8.37 juta.
Ia dianggap Pilpres paling sengit dalam sejarah Indonesia. Namun, Prabowo yang menolak keputusan Pilpres dua jam sebelum keputusan rasmi diumumkan, bertindak mencabar keputusan itu di Mahkamah Perlembagaan Indonesia dengan mendakwa berlaku penipuan besar-besaran dalam Pilpres.
Pada 21 Ogos lalu, Mahkamah Perlembagaan mengekalkan kemenangan kepada gandingan Jokowi dan Jusuf sebagai Presiden dan Naib Presiden negara itu.
Menyingkap penglibatan Jokowi dalam arena politik Indonesia, ia bermula sejak tahun 2005 selepas beliau berjaya dilantik sebagai Datuk Bandar Surakarta (Solo) melalui Parti Demokratik Indonesia Perjuangan (PDI-P).
Pada tahun 2010, beliau sekali lagi terpilih untuk menjawat jawatan yang sama selepas berjaya memperoleh undian hampir 90 peratus.
Kemenangan besar tersebut diperoleh hasil daripada kepuasan hati masyarakat di bandar kelahiran beliau itu di atas kebijaksanaannya membantu peniaga-peniaga kecil.
Jokowi juga merupakan individu yang bertanggungjawab menaik taraf pasar lama dan melaksanakan program penempatan semula penduduk miskin yang tinggal di tebing-tebing sungai.
Pada tahun 2012 beliau berjaya memenangi pilihan raya untuk merebut jawatan Datuk Bandar Jakarta selepas berjanji untuk menyelesaikan masalah utama yang dihadapi bandar raya berkenaan termasuk kesesakan jalan raya dan banjir.
MANTAN Presiden Indonesia, Susilo Bambang memeluk erat Jokowi sebagai simbolik sokongan beliau terhadap era pemerintahan baharu di Indonesia.
Reputasi Jokowi kian melonjak selepas beliau berjaya menyelesaikan masalah berkenaan. Pada masa yang sama beliau turut memulakan dua projek pengangkutan utama di Jakarta iaitu Massal Cepat (MRT) dan Monorel.
Jokowi sangat popular dalam kalangan penduduk setempat kerana berjaya mengurangkan kerenah dalam pentadbirannya dan menyediakan kemudahan kesihatan percuma kepada masyarakat.
Sepanjang bergelar ahli politik, beliau dianggap sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat kerana sering melakukan lawatan mengejut ke kawasan setinggan dan bertemu penduduk tanpa sebarang halangan bagi menyelami masalah mereka.
“Demokrasi bagi saya adalah mendengar suara rakyat dan melaksanakan apa yang mereka inginkan.
“Itulah sebabnya saya pergi ke kampung-kampung, pasar-pasar dan kawasan setinggan,” katanya ketika pertama kali berdebat di kaca televisyen.
Selain itu, Jokowi berjanji akan melaksanakan program e-governance sebagai salah satu langkah untuk mengurangkan gejala rasuah yang merupakan masalah utama kepada negara yang kaya dengan sumber bumi dan buruh itu.
Di samping itu, beliau berharap dapat menjamin penguatkuasaan undang-undang yang sama rata tanpa mengira status sosial seseorang.
Dalam ucapan sulung sebagai Presiden, Jokowi menyeru semua rakyat Indonesia bekerjasama dalam tugas berat bagi memerdekakan politik dan ekonomi.
Katanya, pihak kerajaan akan sentiasa bekerja bagi memastikan semua rakyat dapat menikmati perkhidmatan yang diberikan.
“Saya menyeru semua agensi kerajaan bekerja dengan semangat yang sama. Saya juga berikrar untuk menjadikan kepulauan Indonesia sebagai kuasa maritim terbesar di dunia,” katanya.
Tukang kayu
Menurut laman bisnis.com, Jokowi mengaku bahawa beliau tidak pernah bermimpi menjadi seorang pemimpin, apatah lagi menjadi seorang Presiden.
Kata Jokowi, ini kerana suatu ketika dahulu beliau pernah hidup susah. Namun ujar beliau, seseorang yang miskin tidak bermakna tidak boleh mempunyai mimpi atau cita-cita.
Disebabkan kesusahan itulah yang mendorong beliau untuk membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan sosial di kawasan yang dipimpinnya.
Jokowi bukanlah seorang jeneral tentera dan berasal daripada keluarga elit yang mempunyai latar belakang politik seperti bekas-bekas presiden sebelum ini.
Sebaliknya, Jokowi dibesarkan di sebuah kawasan perumahan miskin di bandar Solo di Jawa Tengah.
Bapanya, Noto Mihardjo merupakan seorang tukang kayu dan penjual perabot.
Selepas tamat sekolah beliau terpaksa menjual makanan ringan dan payung bagi membantu meringankan masalah kewangan keluarganya.
Pengalaman berniaga itu membolehkan Jokowi melihat dengan lebih jelas mengenai masalah yang sering dihadapi oleh peniaga antaranya dikejar oleh pemberi hutang, diusir tanpa berperikemanusiaan dan ketakutan untuk berniaga.
JOKOWI dianggap sebagai pemimpin yang mudah untuk didekati rakyat.
Pada usia 12 tahun, Jokowi mula berjinak-jinak dengan pekerjaan sebagai tukang kayu.
Walaupun Jokowi pernah tercedera ketika sedang menggergaji kayu, namun beliau sangat gembira melakukan pekerjaan tersebut.
Disebabkan minatnya yang terlalu tinggi terhadap kayu, Jokowi mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajarannya ke peringkat ijazah dalam bidang pengurusan perhutanan di Universiti Gajah Muda.
Selepas menamatkan pengajian pada tahun 1985, beliau memilih untuk bekerja di sebuah kilang BUMN di Acheh. Namun ia tidak bertahan lama kerana beliau lebih berminat untuk mengembangkan perniagaan perabot milik bapanya.
Ketika menguruskan perniagaan tersebut, Jokowi menjalinkan kerjasama dengan seorang penggemar perabot dari Perancis, Micl Romaknan.
Bagaimanapun setiap kali melakukan urus niaga Micl pasti keliru kerana sering bertemu dengan orang bernama Joko di Jepara, Semarang dan Surabaya.
Bagi mengelakkan kekeliruan tersebut Micl memilih untuk menyapa beliau dengan panggilan Jokowi.
“Saya tidak kisah dengan nama sapaan ini kerana ia seperti jenama peribadi sendiri.
“Apatah lagi, nama ini mempunyai sedikit persamaan dengan bunyi nama seorang pemain tenis terkemuka dunia, Djokovic,” kata beliau sambil memaklumkan telah menggunakan nama Jokowi sejak tahun 1991.
Selepas mengecapi kejayaan dalam bidang perniagaan, Jokowi memilih untuk menamatkan zaman bujang dengan cinta pertama beliau, Iriana, 51, setelah dipertemukan oleh adiknya.
Melalui perkahwinan tersebut Jokowi dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Gibran Rakabuming, 27, Kahiyang Ayu, 23, dan Kaesang Pangarep, 18.
Selain dikenali sebagai seorang suami dan bapa yang penyayang, Jokowi juga terkenal sebagai seorang penggemar muzik metal terutamanya kumpulan Metallica.
“Saya mendengar muzik metal daripada kumpulan Metallica ke Led Zeppelin hingga ke Napalm Death kerana rock merupakan minat dan inspirasi saya,” kata Jokowi selepas menyaksikan sebuah konsert di Jakarta baru-baru ini.
Sikap santai pemimpin bandar tersebut berjaya menyembunyikan kuasa politiknya.
Selain itu, sifat merendah diri yang dimiliki Jokowi berjaya menawan rakyat negara jiran itu sekali gus menggoncang arena politik Indonesia yang dikuasai tokoh-tokoh yang gemar menyendiri sejak era Presiden Suharto.