SUSAH SANGATKE ARAB SAUDI SAMPAI TARIK SEMULA BANTUAN BANJIR PAHANG?
Mangsa tanya mana bantuan banjir Pahang tahun lepas?
Mohd. Shukri Ramli
Sebelum Pahang dituduh sebagai negeri yang mengabaikan bantuan mangsa banjir, eloklah kerajaan negeri melihat dan bertanya semula semua mangsa banjir tahun lalu sama ada bantuan yang diberi oleh kerajaan sudah diterima atau belum.
Sebabnya, ramai mangsa mula merungut kerana bantuan yang diharapkan masih belum sampai sehingga hari ini.
Bukan sahaja wang ringgit malah apa sahaja bentuk bantuan termasuklah tilam, dapur gas dan sebagainya hanya sebagai penyedap telinga mangsa banjir yang masih ramai menunggu janji yang ditabur.
Seperti kata Pengerusi Angkatan Pembela Rakyat (Angkara), Mohd. Shukri Ramli, janji kerajaan negeri untuk memberi bantuan kewangan kepada mangsa banjir tahun lalu masih tidak muncul-muncul.
"Jangan sampai rakyat yang menjadi mangsa banjir menuduh kerajaan negeri pembohong. Sekarang ni musim hujan sudah pun bermula di Kuantan dan tidak mustahil akan berlaku lagi sekali banjir besar sebagaimana tahun lalu.
"Masalahnya, ke mana perginya semua janji untuk mangsa banjir tahun lalu atau janji itu akan digabungkan untuk banjir tahun ini," katanya ketika dihubungiMalaysiaGazette.
Jelasnya, kebanyakan mangsa banjir yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah merasakan diri mereka tertipu apabila pelbagai alasan diberikan oleh pihak terbabit ketika diajukan soalan mengenai bantuan banjir.
"Kerajaan negeri sudah maklumkan kerajaan Arab Saudi telah menghulur bantuan kewangan sebanyak US$10 juta bersamaan dengan RM35 juta untuk semua mangsa banjir di Pahang tetapi ke mana pergi duit tersebut?
"Paling dikesalkan, mangsa yang tidak dapat duit bantuan tersebut lebih ramai daripada yang dapat. Bila ditanya, pihak terbabit kata kerajaan Arab Saudi telah ambil semula duit sumbangan yang diberikan.
"Bayangkan apa perasaan orang-orang kampung yang menjadi mangsa banjir bila diperbodohkan dengan alasan sebegitu? Kalau dah janji, kenapa tidak tunaikan dan jangan beri alasan tak masuk akal," katanya.
Tambah Shukri lagi, ketidaktelusan pihak yang mengagihkan bantuan juga dilihat berlaku sewenang-wenangnya di banyak kawasan banjir.
"Kalau dah tak bagi bantuan, mereka akan beri pelbagai alasan yang memang menyakitkan hati. Tetapi paling melampau apabila terdapat mangsa yang dapat bantuan berlebihan sehingga ada yang menjual semula barangan yang diterima," ujarnya.
Bukan untuk mengugut tetapi kata Shukri, jika kerajaan gagal melunaskan janji kepada mangsa banjir, satu himpunan rakyat akan digerakkan sebelum banjir kali kedua melanda tahun ini supaya kerajan yang dipilih rakyat ini lebih prihatin dan cakna masalah rakyat.
"Cuaca di ibu negeri mulai sejuk dan sering hujan lebat dari malam tadi hujan sampai ke pagi. Penduduk sudah mulai mencongak musim tengkujuh kembali melanda sekali gus banjir datang lagi," katanya.
Awal Disember tahun lalu daerah Kuantan dilanda bencana banjir paling buruk dalam sejarah sehingga hampir 30,000 penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir. Keadaan tersebut disebabkan hujat lebat selama beberapa hari sehingga air sungai naik mendadak serta fenomena air laut pasang besar.
Dalam kejadian tersebut buat pertama kali pusat bandar Kuantan lumpuh akibat ditenggelami air, harta benda awam dan persendirian musnah serta tiga jiwa terkorban. - MalaysiaGazette
No comments:
Post a Comment