KUALA LUMPUR - Kos projek MRT Sungai Buloh-Kajang tidak melebihi RM23 bilion, dan dijadual siap menjelang Julai 2017, kata Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corp Sdn Bhd (MRT Corp) Datuk Azhar Abdul Hamid. 


Cakap-cakap dalam pasaran menyebut kos projek MRT Line 1 melebihi RM23 bilion dan akan meningkat setinggi RM50 bilion.

"Kami akan memastikan projek itu kekal mengikut belanjawan," katanya pada taklimat media mengenai Laporan Kemajuan Projek MRT 2012 di sini hari ini.

Sehingga 18 Dis, 2012, MRT Corp meluluskan sejumlah 54 pakej bernilai RM20.31 bilion daripada 85 pakej untuk projek itu, katanya. 

"Baki 31 pakej bernilai kira-kira RM3 bilion akan diluluskan secara berperingkat-peringkat," kata Azhar.

Mengenai penyertaan kontraktor Bumiputera, beliau berkata nilai kontrak yang diluluskan setakat ini berbanding jumlah yang telah diluluskan ialah sebanyak 45 peratus.

Beliau berkata tiga peratus daripada projek berkenaan sudah disiapkan sejak kerja-kerja tanah dimulakan pada Mac.

"Kami dapat memenuhi tarikh yang ditetapkan. Kerja-kerja pembinaan akan bertambah rancak dalam tempoh 24 bulan akan datang," kata Azhar.

Beliau berkata kebanyakan kerja-kerja pembinaan sepanjang jajaran 51 km berjalan dengan lancar, namun ada beberapa isu di kawasan sekitar Pinggir Zaaba di Taman Tun Dr Ismail, Jalan Sultan, Jalan Bukit Bintang dan SJK (C) Naam Kheung di Cheras.

"Kami sudah mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelak isu itu menjejaskan mereka.

"Memang hak mereka jika memilih untuk mengambil tindakan undang-undang, namun kami akan meneruskan projek pengangkutan awam ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Azhar berkata MRT Corp sudah bersedia untuk melaksanakan MRT Line 2 dan Line 3, yang kini dalam perancangan dan penilaian akhir oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.

"Memang baik jika kami diberikan tanggungjawab untuk memantau projek berkenaan.

"Kami mempunyai kepakaran dan peralatan untuk menjayakannya," katanya. 

Kerajaan dijangka mengumumkan jajaran dan lokasi stesen Line 2 dan Line 3 tahun depan. - Bernama