Pas Bera yakin Selangor tidak sertai PRU serentak
Sulaiman Mohamad
BANDAR BERA - Pas Kawasan Bera yakin Selangor tidak akan menyertai pilihan raya serentak dengan Kerajaan Persekutuan selagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak membersihkan daftar pemilih di negeri itu.


Yang Dipertuanya, Sulaiman Mohamad berkata, Pakatan Rakyat (PR) memandang serius kes daftar pemilih yang tidak bersih ekoran berlaku peningkatan pengundi secara mendadak dan yakin negeri itu akan mengadakan pilihan raya berasingan.



Menurutnya, sama ada berlaku pembaziran atau tidak dengan proses pilihan raya berasingan itu, ia adalah soal kedua.



“PR berpandangan kes daftar pemilih tidak bersih ini sebagai kes darurat dan Kerajaan Negeri Selangor boleh membuat pilihan raya berasingan.

“Jika SPR boleh menjamin daftar pemilih di negeri itu bersih, isu ini tidak akan timbul,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Cawangan Triang 3, Amran Shaari berkata, PR membangkitkan isu itu kerana sudah tidak sabar memerintah negara ini.


Katanya, PR tidak sanggup menghadapi kenyataan pemerintahan mereka ditolak rakyat dan akan kalah teruk pada pilihan raya umum nanti.



“Sebenarnya, PR takut dengan bayang-bayang mereka sendiri kerana sudah jelas menunjukkan mereka semakin menghampiri kekalahan.



“Ini berikutan banyak janji yang dibuat di beberapa negeri di bawah pemerintahan mereka tidak ditepati sehingga menyebabkan rakyat mahu BN kembali memerintah,” katanya.



Bagi Ketua Umno Cawangan Tembangau 2, Ismail Shafie berkata, sekiranya berlaku pilihan raya secara berasingan, pasti akan melibatkan kos lebih tinggi.



Menurutnya, Kerajaan Negeri Selangor menjadi mangsa keadaan apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mencorakkan pemerintahan di negeri itu, sedangkan kuasa sebenarnya terletak di tangan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.



Katanya, kebimbangan Anwar tidak berpeluang menjadi ketua pemerintah menyebabkan isu daftar pemilih ditimbulkan.



“Saya percaya, Anwar akan mengadakan pilihan raya secara berasingan kerana kononnya mahu memastikan daftar pemilih di negeri itu bersih.



“Tetapi saya yakin, BN akan sapu bersih kerusi yang dipertandingkan malah, PR akan kalah teruk pada pilihan raya kali ini,” katanya.



Ismail berkata, berdasarkan tinjauan di Selangor dan Kedah, kebanyakan rakyat sudah muak dengan pemerintahan PR kerana kehidupan mereka lebih menderita berbanding ketika BN memerintah.