Garis panduan tentang pendidikan seks bagi melindungi kanak-kanak dan remaja daripada menjadi mangsa jenayah seksual akan diperkenalkan tidak lama lagi.
Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datin Paduka Chew Mei Fun berkata Garis Panduan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (GPPKRS) itu akan diterapkan dalam mata pelajaran Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Pendidikan Kesihatan, Biologi, Sains dan program-program yang dilaksanakan kementeriannya.
Pendidikan ini tidak dijalankan sebagai mata pelajaran khusus di peringkat sekolah, kata Chew pada sidang berita di sini, hari ini.
Beliau berkata garis panduan itu masih di peringkat perbincangan antara KPWKM dan Kementerian Pelajaran untuk menyelaraskan langkah pelaksanaannya.
Kementerian Pelajaran bertanggungjawab dalam pelaksanaan dan peluasan garis panduan itu di peringkat sekolah, matrikulasi dan institut perguruan manakala KPWKM mensasarkan kepada kanak-kanak, golongan ibu bapa dan masyarakat awam.
GPPKRS telah dirangka oleh sebuah kumpulan kerja teknikal yang dipengerusikan oleh Kementerian Pelajaran yang dianggotai pelbagai pihak kerajaan, termasuk Kementerian Kesihatan, Kementerian Belia dan Sukan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Setiausaha Parlimen Kementerian Pelajaran P. Komala Dewi pada sidang berita yang sama berkata pendidikan itu memberi peluang kepada masyarakat terutamanya golongan muda untuk bersoal jawab, meneroka dan menilai sikap seksual supaya lebih memahami nilai kekeluargaan serta memahami tanggungjawab terhadap anggota keluarga.
Beliau berkata kumpulan sasaran pendidikan ini terbahagi kepada lima kategori umur mengikut kesesuaian dengan tahap perkembangan individu iaitu prasekolah, kanak-kanak, awal remaja, remaja dan dewasa. BERNAMA
No comments:
Post a Comment