LANGKAH PEMULIHAN UMNO....MUU

LANGKAH PEMULIHAN UMNO.....


Wednesday, January 18, 2023

Penubuhan MUU tepat pada masanya


JELANG DHUA 

DALAM perhimpunan Agung Umno (Pau) yang baru berlalu presiden Ahmad Zahid Hamidi telah mengumumkan penubuhan Majlis Ulama Umno (MUU). Majlis ini dilihat mempunyai bidang kuasa lebih besar daripada biro agama yang sedia ada. 

Tokoh agama Umno yang juga bekas ahli Parlimen Tumpat Dusuki Ahmad telah dipilih dan dilantik menjadi pengerusi  majlis berkenaan. Keanggotaan penuh majlis itu dan strukturnya belum diumumkan. 

Selain Dusuki, bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama (MSU) Pas Dr Khairuddin Aiman Razali juga disebut akan menganggotai majlis berkenaan. Dalam satu hantaran status dalam facebook presiden Umno Zahid Hamidi, perkara itu ada dibayangkan. 

Khairuddin juga merupakan bekas ahli Parlimen Kuala Nerus dan di antara yang dilantik menjadi pegawai Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi. Diyakini Khairuddin dengan pengalaman dan ilmu dimiliki diberi tanggungjawab berkaitan dengan hal ehwal dan pengurusan agama. 

Khairuddin adalah bekas tokoh dan agamawan dalam Pas yang dikatakan bertanggungjawab dalam merintis kerjasama Pas dengan Umno menerusi Muafakat Nasional (MN) menjelang pilihan raya umum ke-15 lalu. Bagaimana pun usahanya berjalan sekerat jalan sahaja, ia berakhirnya dengan beliau memohon untuk berhenti daripada menjadi ahli Pas. 

Khairuddin dikatakan ada masalah peribadi menyebabkan usaha murninya mempersatukan Umno dengan Pas gagal apabila puncuk pimpinan Pas lebih selesa dengan Bersatu berbanding dengan Umno. Selepas kecewa nawaitunya tidak direstui beliau bertindak berundur daripada Pas secara terhormat. 

Selepas berundur daripada menjadi ahli Pas, beliau terus berjinak dan bermesra dengan Umno sehinggakan dalam piraum lalu beliau bertanding atas tikit BN di parlimen Kuala Nerus. Cita-cita dan hasratnya ingin mempertautkan persaudaraan Islam amat kuat. Apakah Khairuddin sudah menjadi ahli Umno secara rasmi?

Idea atau ilham untuk membentuk majlis agama dalam Umno diperkirakan disumbang oleh pemikirannya. Tidak ramai mengenali Khairuddin dan peranannya dalam Pas selaku perancang politik bernuasa Islam yang baik dan pernah berjaya. Kekalahan golongan Prolib dalam muktamar Pas tahun 2014 kemudian menyebabkan kumpulan itu keluar beramai-ramai daripada Pas dan menubuhkan parti cap "A", (2015) katanya gara-gara perancangan diaturkan oleh bekas menteri Perusahaan, Peladangan dan Komoditi itu. Mengeluarkan golongan Prolib daripada Pas disifatkan sebagai rekod kejayaannya.  

Peranan dan fungsi MUU

Berbalik kepada MUU yang telah ditubuhkan itu ia bakal mengubah landskap politik dalam Umno secara tidak langsung ia meletakkan agama sebagai fungsi penting dalam parti itu. Majlis itu akan meletakkan Umno sama lebel dengan parti Pas dari sudut organisasi. MUU akan setanding dengan Majlis Syura Ulama Pas yang menjadi kuasa penentu dalam hal ehwal berkaitan agama, hukum dan berijtihad tentang sesuatu diambil oleh Pas. 

Justeru peranan MUU bukan sahaja setakat untuk menghimpun agamawan menyertai parti itu, menjalini ikatan persaudara Islam dengan dunia luar, atau memperkasakan agenda dakwah dan terbiah dalaman parti, untuk mempertahankan Umno daripada diserang sebagai kafir atau dibobokan sebagai parti yang unIslamic. 

Dalam pada itu MUU ini juga akan bertindak sebagai badan tertinggi dalam parti itu untuk memberi nasihat dan fatwa berkaitan dengan hal ehwal agama. Majlis ini boleh menjadi rakan atau badan peruding dengan majlis-majlis lain seumpamanya demi menjaga maruah dan harakat agama. 

Kalau biro agama sekadar menguruskan kegiatan keagamaan dalam parti itu, seperti "melepas batuk ditangga" tetapi majlis ini lebih jauh dan besar pernanan dan tanggungjawab daripada menjadi badan pemantau parti dalam hal ehwal agama dan memartabatkannya.

Kewujudan MUU ini tepat pada masanya kini, ketika penyebaran fahaman jahiliah yang songsang, sesat dan diluar syariah Islam dipergunakan secara meluas dalam politik. Sebuah parti politik bernuansa Islam tidak segan silu lagi memperalatkan agama untuk kepentingan politik mereka semata-mata sehingga tidak peduli mana yang haq dan batil. Penggunaan dan pengeksploitasian agama secarta rakus ini sangat merbahaya dan mengotorkan Islam itu sendiri. 

Apa dicanang oleh parti ini melalui strategi menggunakan agama untuk memperkukuhkan partinya sangat bahaya dan ia boleh merosakkan perpaduan dan berlaku perpecahan ummah. Fahaman sesat ini tidak boleh dibiarkan kerana ia membantut usaha membangun bangsa negara. Dalam pada itu sikap dan tindakan melampau parti ini boleh mengelirukan orang bukan Islam dalam melihat dan menilai martabat dan darjat sebenar Islam. 

Golongan paling terkesan dan termakan dengan dakyah politik menggunakan agama ini ialah golongan muda. Ini terbukti dalam pilihan lalu bila mana pengundi 18 tahun pertama kali mengundi telah membuat pilihan berdasarkan kempen yang berunsurkan agama yang membuat naratif jahiliah kalau undi selain daripada parti itu sebagai kafir dan masuk neraka. 

Dalam hal ini MUU boleh berpernan menjadi badan yang akan merumuskan sesuatu keputusan atau kaedah membenteras fahaman sesat politik jahiliah ini. Dalam hal ini MUU boleh menggubal fatwa untuk dijadikan panduan dan asas kepada kerajaan atau pihak berwajib bertindak mengharam parti berkenaan atau setidak-tidaknya mencadangkan penggunaan nama atau perkataan "Islam" dalam parti itu dibuang.

Walaupun perkataan "Islam" digunakan sebagai akronim parti itu hanya sebuah nama dan perkataan bulan hakikintya, tetapi ia diselewengkan dan diberi pengertian sebagai ia adalah agama yang perlu ditaati dan jika melanggarnya sebagai berdosa besar. 

Sudah sampai masanya parti politik yang menggunakan agama untuk mempengaruhi orang ramai sehingga melencung daripada ajaran dan syariah sebenarnya diambil tindakan. 

Selain itu MUU juga perlu mencari kaedah atau pun mengemukakan cadangan kepada pihak berkuasa agar bertindak kepada mana-mana individu yang menjadi agen kepada mana-mana politik yang menjadikan elemen agama sebagai modal kempen bagi tujuan politik sempit. Golongan ini galak menggunakan podium masjid atau surau untuk merancuni pemikiran jemaah. [wm.kl.9:21 am 18/01/2023]

Comments