Thursday, September 01, 2022

Rosmah bersalah, kena penjara 10 tahun, denda RM970 juta

 Rosmah bersalah, kena penjara 10 tahun, denda RM970 juta

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara terhadap Rosmah Mansor dan denda RM970 juta selepas didapati bersalah atas tiga tuduhan rasuah membabitkan projek tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak bernilai  bilion.


Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan.

Jika gagal membayar denda tersebut, Rosmah perlu menjalani hukuman penjara tambahan 30 tahun.

Zaini bagaimanapun membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Rosmah yang hadir dengan memakai baju kurung berselendang kuning kelihatan menangis teresak-esak ketika berucap di mahkamah, sejurus sabitan dibaca di hadapannya.

Mengikut pertuduhan pertama, Rosmah, 71, didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri sebanyak RM187.5 juta, yang dibuat melalui bekas pegawai khasnya Rizal Mansor, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Wang berkenaan sebagai balasan bagi membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek itu di No 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta , pada 7 September 2017.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan ketiga, Rosmah didakwa menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek serupa di tempat yang sama di Jalan Langgak Duta.

No comments: