Tuesday, September 17, 2013

Pandangan Sisi Aspan; Antara Pengganas PKM & PERASUAH


Perbezaan pengganas PKM dengan Perasuah Negara

 

Pengerusi Parti Komunis Malaya yang di haramkan, Chin Peng, telah mati di Bangkok pada Hari Malaysia, 16hb September 2013. Kematiannya telah menjadikan ahli politik mengambil kesempatan untuk menunjuk-nunjukkan kesetiaan kepada negara dengan membuat kenyataan yang garang-garang terhadap orang yang telah mati dan tidak bernyawa itu.

Ada pemimpin UMNO dan NGO yang dahagakan isu untuk di sebut menggunakan kematian Chin Peng ini untuk menempelkan rasa sayang dan cintakan negara dengan meminta mayatnya tidak dikebumikan di negara ini kerana tindakan parti itu masuk kehutan dan menjadi pengganas kepada negara.

Saya tidak mahu memberikan komen tentang kematian Chin Peng ini kerana dia telah meninggal dunia dan ramai orang tidak sedar pun yang Chin masih hidup sehingga mendapat berita tentang kematiannya pada 16hb September yang lalu.

Saya lebih cenderung untuk memberikan ulasan tentang kenyataan-kenyataan yang ‘made belief heroes’ dalam UMNO dan beberapa orang pemimpin NGO yang sibuk untuk menunjukkan kesetiaan kepada negara dengan membidas orang yang telah mati itu.

Benar Chin Peng telah membunuh dan menyeksa ramai rakyat yang bertuankan British semasa parti itu masuk kehutan dahulu. Tetapi kita jangan lupa yang keganasan Chin Peng itu tidak ada bezanya dengan parti dan pemimpin yang merosakkan negara melalui tindakan rasuah dan menyalahgunaan kuasa.

Pemberontakan Chin Peng itu menghasilkan kematian banyak tubuh dan jasad manusia tetapi sikap rasuah yang menjahanamkan negara juga telah banyak menindas perasaan dan membunuh jiwa rakyat yang berjuta bilangannya dinegara ini.

Pendeknya Chin Peng telah membunuh tubuh ribuan manusia tetapi sikap rasuah dan salahguna kuasa pemimpin itu telah membunuh keseluruhan sistem kerajaan dan demokrasi negara kita. Rasuah telah membunuh jiwa berjuta rakyat negara ini. Kerajaan yang rasuah dan menggunakan kuasa telah merobohkan segala sistem dan ‘fabric’ politik dan kenegaraan kita dan itu sangat membunuh perasaan rakyat.

Kadang-kadang kita lupa apabila kerajaan itu rasuah ia akan membawa kekecuhan politik dan minda rakyat. Kelemahan dan kesalahan itu telah diperguna oleh pihak parti politik yang bertentangan untuk mendapat simpati rakyat untuk mengambil kuasa yang sesungguhnya belum tentu boleh membaik pulih budaya rasuah itu. Ada tanda-tanda jika pihak yang lain mendapat kuasa pun belum tentu sistem pentadbiran kerajaan serta politik negara itu akan mampu dipulihkan.

Parti Komunis Malaya telah diharamkan dan pimpinannya telah pun mati seorang demi seorang. Tidak perlu kita jadikan sebagai isu untuk mendapat publisiti murahan kerana politik masing-masing. Tidak perlu di ingati peristiwa lama itu.

Kalau pun kita hendak mengingatinya biarlah kita mengingati bagaimana ahli-ahli parti komunis itu keluar untuk memaksa rakyat memberikan makanan untuk mereka didalam hutan dan mencuri makanan rakyat untuk dibawa kedalam hutan di seluruh negara.

Apa yang mereka curi hanyalah makanan untuk menyambung hidup mereka dihutan, tetapi apa yang di curi oleh perasuah negara ini bukan untuk mengalas perut yang lapar tetapi untuk membina ‘empire’ kekayaan untuk mereka sendiri dan keluarga terdekat mereka.

Pengganas komunis semasa itu hanya mencuri beras dan binatang ternakan orang kampung sahaja. Jika dibandingkan jumlah yang dicuri oleh pengganas rasuah negara sekarang ini dan apa yang dicuri oleh pengganas komunis semasa itu adalah terlalu kecil. Lagi pun kecurian makanan dan beras oleh pengganas itu sudah lama berlalu dan tidak berlaku lagi.

Yang kita takuti dan masih merasakan kesakitannya ialah jumlah wang rakyat yang dicuri oleh pengganas rasuah yang belum tentu lagi akan berakhir. Entah bila lagi ia akan berakhir, kita tidak tahu. Ia berlaku dimana-mana dalam skala yang besar dan melibatkan banyak pihak.

Pendeknya kalau di pandang dari sudut nilai dan moral diantara perasuah negara dengan pengganas komunis dahulu, ia tidak lah begitu besar dan jelas perbezaannya. Ia lebih kurang sama tahap nilai dan moralnya.

Cukuplah menjadikan Chin Peng itu modal politik murahan semata-mata. Carilah modal politik yang lain yang boleh menunjukkan perbezaan dengan kita.

Kalau kita masih mahu mengingatinya, kita ingati apa persamaan diantara PKM itu dengan kita untuk dijadikan sempadan dianatar yang baik dan yang salah.

No comments: