lisa

KUALA LUMPUR - Pelakon popular, Lisa Surihani Mohamad dipilih antara penerima Anugerah Khas Pergerakan Puteri Umno sempena perhimpunan agung pergerakan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Lisa ketika ditemui selepas majlis penyampaian anugerah itu menyatakan amat berbesar hati dan tidak menduga menerima surat daripada urusetia mengenai anugerah yang diterimanya itu.

“Alhamdulillah, ini adalah satu pengiktirafan terhadap usaha keras selama ini. Ia juga penyuntik kepada saya untuk terus bergiat dalam bidang ini dan dalam masa yang sama dapat melanjutkan pelajaran,” katanya.

Beliau ketika ditanya sama ada akan bergiat di dalam Puteri Umno, berkata, masih terlalu awal, bagaimanapun, anugerah itu adalah satu suntikan semangat yang berharga buatnya.

“Mungkin masih terlalu awal untuk katakan mengenai bentuk perjuangan yang akan saya praktikkan sekiranya berjuang di dalam Puteri Umno, tetapi saya menyokong sebarang bentuk perjuangan untuk memartabatkan rakyat dan negara,” katanya.

Selain Lisa, tiga lagi menerima anugerah sama, iaitu Suraya Abu Hassan, Nor Izzati Zainal Nazri dan Harlina Hamid.