Sunday, July 11, 2010

ESQ haram : Penjelasan dan perincian tiada

Dunia Malaysia digemparkan dengan pengharaman Program Motivasi ESQ. Pengharaman itu adalah satu kejutan kepada mereka yang menganjur dan mereka yang terlibat bersamanya.

Kelaziman di Malaysia seperti yang lain-lain, maklumat pengharaman untuk difahamkan kepada masyarakat terlalu lambat. Apakah kandungan yang terlarang dan haram bagi ESQ. Penjelasannya lambat. Haramnya itu diketahui oleh mereka yang membuat pengharaman itu.

Media lambat dimaklumatkan, media gagal berperanan sebagaimana peranan mereka dalam isu-isu sensasi lain. Media lambat bertindak, menteri berkenaan gagal memperjelaskan perincian. Tiada slot memperjelaskan keharaman ESQ dibuat bagi menyelamatkan rakyat.

Rakyat tercari-cari, para ulama bercanggah pandangan mufti berlumba-lumba mengeluarkan pandangan masing-masing. Majlis fatwa pula menfatwakan ia tidak haram. Kembali rakyat keliru.

Inilah paparan dunia Islam yang terhidang di Malaysia.

Gerakan Islam liberal rosak akidah perlu disekat
Oleh Anwar Hussin

2010/07/11

KAJIAN yang dilakukan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh, terhadap gerakan Islam liberal di Indonesia dan kaitannya dengan program motivasi yang dianjurkan ESQ Leadership Center Sdn Bhd (ESQ) mendapati ia sarat dengan metodologi dan fikiran liberal yang bertentangan dengan ajaran Islam dan boleh merosakkan akidah.

Wan Zahidi yang mengeluarkan fatwa mengharamkan program motivasi ESQ pada 10 Jun lalu, berpendapat adalah sangat berbahaya apabila fahaman itu diserapkan dalam satu platform latihan kepemimpinan yang terlepas daripada pengawasan pihak berkuasa agama.

“Oleh itu, ia perlu disekat sebelum merebak menjadi barah yang bakal merosakkan akidah dan syariah serta sukar dikawal lagi,” katanya dalam kajiannya bertajuk ‘Gerakan Islam liberal di Indonesia dan kaitannya dengan program motivasi yang dianjurkan ESQ Leadership Center Sdn Bhd (ESQ),’ yang disiarkan dalam web pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata, gerakan Islam liberal adalah usaha halus untuk mengeluarkan umat Islam daripada agama mereka tanpa disedari dan ia dilakukan atas nama Islam.

Katanya, pengasas ESQ, Ary Ginanjar Agustin yang berpendidikan Universiti Udaryana, Bali dan Tafe College, Australia, tidak mempunyai asas pengajian Islam secara formal dan mendakwa belajar agama melalui metodologi ‘kemerdekaan berfikir’.

“Buku ESQ Rahsia Sukses Membangun Kesedaran Emosi Spiritual ESQ yang dihasilkan Ary Ginanjar walaupun membicarakan mengenai latihan kepemimpinan, ia penuh dengan perbincangan mengenai perkara yang sangat dasar dalam Islam seperti rukun iman, rukun Islam, tauhid, mukjizat dan sebagainya.

“Penggunaan ayat al-Quran dan hadis dibuat secara bebas sesuai dengan metodologi pengajian beliau iaitu ‘kemerdekaan berfikir’,” katanya.
Wan Zahidi mempertikaikan topik utama dalam program motivasi ESQ iaitu kecerdasan spiritual (SQ) dan ‘God Spot’ iaitu konsep yang diilhamkan oleh pemikir bukan Islam yang dikaitkan dengan ayat al-Quran dan hadis. “Istilah ‘God Spot’ lahir daripada bukan Islam, maka ‘God’ itu bermaksud sama ada ‘Yahweh’, ‘Father’, ‘Jesus’, ‘Brahma’, ‘Vishnu’, ‘Shiva’ dan sebagainya. Dengan itu konsep ‘God Spot’ adalah jelas syirik dan kufur.

“Ary Ginanjar juga banyak kali menggunakan konsep suara hati sebagai sumber rujukan dalam menentukan baik buruk sesuatu dan menggunakan konsep ini untuk menafsirkan ayat al-Quran. “Pertamanya, konsep suara hati ini adalah ajaran kristian,” katanya sambil menegaskan yang Ary Ginanjar dalam bukunya itu juga menerima pendapat Muhammad Husein Haikal yang dikatakan mengingkari mukjizat.

Selain itu, beliau mempersoalkan tindakan Ary Ginanjar yang mengguna teori kod 19 Rashad Khalifa untuk mentafsir al-Quran sedangkan Rashad diisytiharkan sesat kerana menolak hadis.

Beliau juga mempertikaikan tindakan Ary Ginanjar yang memberi penghargaan tinggi kepada dua tokoh liberal terkenal di Indonesia, Nurcholis Madjid yang membenarkan anaknya kahwin dengan Yahudi Amerika dan Harun Nasution yang mendakwa Yahudi memelihara kemurnian tauhid.

No comments: