Tuesday, May 25, 2010

Pelaburan dan Gadaian yang memalukan ?

Sebalik kegirangan, tawa, senyum Najib bersama Pm Singapura Hsien Long ada dukanya. Selepas 2018 Singapura 'berjaya' menghalau Malaysia keluar daripada negeranya. Ini kerana tanah sejak berzaman di Woodlands dan Tg Pagar akan dipindah ke JB.

Persepakatan ini tercapai hasil pertemuan pimpinan kedua buah negara kelmarin. Episod seterusnya adalah pemberian percuma atau gratis air ke Malaysia oleh Singapura melalui Loji Air autonomi milik Singapura di Pulai seperti yang dipaparkan oleh siaran berita TV3 semalam.

Selain itu diberitakan bahawa projek JV antara syarikat dua negara sebanyak 50% pemilikan saham juga memalukan di Wilayah Iskandar. Ini menunjukkan Malaysia makin terdesak demi membangunkan Wilayah iskandar mengikut ujuran pelan pembangunan kerana 'kebanyakan pelabur' enggan masuk atau takut masuk ke Malaysia.

Sifirnya mudah pelabur ada tempat atau lokasi yang lebih kompetatif dan risau dengan sisem pemerintahan ala Umno dan kestabilan politik dan terlalu banyak campurtangan kuasa politik dalam membuat sesuatu keputusan.



Stesen KTM Tg Pagar Dipindahkan Ke Woodlands Julai 2011
Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak memerhatikan rakan sejawatnya Lee Hsien Loong menjawab soalan media pada sidang akhbar bersama di Hotel Shangri-la di sini, hari ini. Kedua-dua pemimpin itu bersetuju memindahkan stesen Kereta Api Tanah melayu Berhad di Tanjong Pagar di sini ke Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands menjelang Julai 2011. -Foto BERNAMA.

SINGAPURA: Malaysia bersetuju memindahkan stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjong Pagar di sini ke Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP) menjelang 1 Julai 2011.

Malaysia akan juga menempatkan kemudahan kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ)kereta apinya di WTCP.

Keputusan itu dicapai pada pertemuan Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong di Hotel Shangri-La Hotel di sini.

Pada sidang akhbar bersama di sini, kedua-dua pemimpin itu berkata tanah yang akan dikosongkan itu akan dimajukan oleh sebuah syarikat usaha sama Malaysia-Singapura dikenali M-S Pte Ltd yang akan ditubuhkan sebelum 31 Disember tahun ini.

Syarikat itu melibatkan Khazanah Nasional Berhad dari Malaysia yang akan memegang 60 peratus kepentingan, dan Temasek Holdings Limited, cabang pelaburan kerajaan Singapura, yang akan memegang baki 40 peratus ekuiti dalam syarikat usaha sama itu.

Menurut satu kenyataan bersama, pertemuan Najib dan Lee banyak berkisar kepada Perkara-perkara Dipersetujui (PoA) mengenai tanah KTMB di Singapura yang menjadi penghalang kepada hubungan baik antara kedua-dua negara.

Tanah KTMB di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands serta tiga keping tanah tambahan di Bukit Timah, yang kesemuanya berjumlah 271 hektar, akan diserahkan kepada syarikat berkenaan untuk dimajukan.

Menurut kenyataan berkenaan, tanah-tanah yang dimajukan itu boleh ditukar, berdasarkan nilai masing-masing, dengan tanah di Marina South dan Ophir Rochor di sini.

Kedua-dua negara akan membuat penilaian masing-masing, dan Lee dijangka melawat Kuala Lumpur dalam tempoh sebulan ini, dengan cadangan mengenai penukaran tanah itu untuk pertimbangan Malaysia.

Pemindahan tanah kepada M-S Pte Ltd akan berkuat kuasa apabila KTMB mengosongkan Stesen Kereta Api Tanjong Pagar.

Kedua-dua pemimpin itu juga bersetuju supaya satu sistem transit laju antara Tanjung Puteri di Johor Baharu dan Singapura dimajukan secara bersama.

Sistem ini akan digabung dengan perkhidmatan pengangkutan awam di Johor Baharu dan Singapura, dan untuk kemudahan orang ramai, sistem transit ini akan mempunyai kemudahan CIQ bersama di Singapura, di satu kawasan yang akan dikenal pasti kemudian.

Sistem ini dijadual beroperasi menjelang 2018, dan selepas itu, Malaysia mungkin ingin memindahkan stesen KTMB dari Woodlands ke Johor.

Najib dan Lee bersetuju dengan penubuhan satu pasukan pelaksana bersama yang akan diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Luar Malaysia dan Setiausaha Tetap Kementerian Luar Singapura, bagi membincangkan butiran pelaksanaannya.

Pasukan pelaksana bersama ini akan menyiapkan tugasannya menjelang akhir tahun ini, kata kenyataan itu.

Hasil daripada tugas pasukan pelaksana bersama ini akan dimasukkan dalam satu perjanjian yang akan ditandatangani oleh kedua-dua negara selepas ianya dipersetujui oleh kerajaan masing-masing.

Najib dan Lee juga bersetuju bahawa bangunan terminal penumpang stesen kereta api Tanjong Pagar dipulihara kerana ia mempunyai nilai sejarah dan akan menjadi daya tarikan kepada projek pembangunan yang dicadangkan di tapak itu.

Bangunan stesen kereta api Bukit Timah di Blackmore Drive mungkin turut dipulihara, kata kenyataan itu. -BERNAMA

No comments: