Sikap ahli-ahli Parlimen adalah cerminan tentang rakyat. Kegelojohan berhujah dan membalas hujah adalah gambaran keperibadian seseorang. Sikap melabelkan dan menujukan tuntutan nasihat kepada sesuatu pihak sahaja tidaklah menggambarkan sikap sebenar. Perkara atau benda yang baik hendaklah diteladani oleh semua pihak.
Oleh sebab itu, Islam telah mengajarkan secara jelas bagaimanakah kita mahu berdebat, berhujah dan sebagainya kepada umatnya. Praktiknya adalah umatnya itu sendiri.
AHLI-AHLI Parlimen yang kembali ke Dewan Rakyat pada Isnin lalu seharusnya memandang serius teguran Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berhubung sikap segelintir mereka yang tidak mencerminkan keperibadian sebenar sebagai wakil rakyat.
Ia hakikatnya bukanlah teguran pertama, malah sudah kali ketiga Seri Paduka berbuat demikian bagi memastikan ahli-ahli Parlimen menunjukkan perilaku terpuji dalam Dewan yang mulia itu.
Tetapi persoalannya, apakah teguran berkenaan akan diikuti atau ia sekali lagi akan dianggap sebagai titah perasmian semata-mata?
Ahli-ahli Parlimen yang bergelar Yang Berhormat itu tidak boleh memandang remeh teguran Seri Paduka. Mereka perlu dilihat lebih matang berhujah dan bersidang di dalam Dewan Rakyat.
Janganlah terlalu taksub dengan pegangan politik masing-masing sehinggakan apabila ada perkara berkaitan kepentingan rakyat pun mahu dipolitikkan.
Dewan Rakyat adalah institusi penting bagi memajukan negara dan mensejahterakan rakyat. Oleh itu, kesempatan bersidang bersama-sama perlu dijadikan platform terbaik bagi mencapai matlamat itu.
Tindakan terlalu ingin mempolitikkan sidang Dewan Rakyat sehingga kadangkala kita melihat ahli Parlimen bertindak seperti kanak-kanak tadika perlu dihentikan.
Begitu juga perbuatan mengeluarkan perkataan-perkataan yang tidak elok juga harus dielakkan kerana ia boleh menjejaskan kredibiliti seseorang ahli Parlimen.
Kalaulah ada ahli Parlimen menganggap berbahas dan berucap di Dewan Rakyat sama seperti mana mereka terpekik terlolong di atas pentas ceramah politik, maka itu adalah satu andaian yang sempit.
Di pentas ceramah, mereka boleh berbuat apa termasuklah mengeluarkan perkataan yang bukan-bukan dan menabur fitnah tetapi di Dewan Rakyat segalanya harus dilaksanakan secara tertib dan mengikut peraturan.
Mereka tidak boleh menyalahgunakan kekebalan Dewan Rakyat bagi membuat tuduhan dan dakwaan palsu semata-mata untuk mencemarkan nama baik mana-mana pihak.
Seperti mana diseru oleh Tuanku Mizan, ahli Parlimen perlu berhujah dengan bernas dan tidak membangkitkan perkara remeh-temeh yang boleh menjejaskan maruah sendiri dan kemuliaan Dewan Rakyat.
Jadilah ahli Parlimen yang benar-benar berwibawa dan dihormati. Jangan menjadi ahli Parlimen yang gelagat mereka hanya menjadi bahan ketawa rakyat.
Kehadiran mereka di Dewan Rakyat adalah atas pilihan rakyat yang mahu nasib dibela, tetapi rakyat akan kecewa jika ahli-ahli Parlimen yang menjadi sandaran terus bersikap tidak sepatutnya di dewan tersebut.
Oleh itu adalah diharapkan ahli-ahli Parlimen yang terlibat akan mematuhi titah Tuanku Mizan dalam usaha memastikan kredibiliti mereka sebagai wakil rakyat tidak terjejas.
Apa yang lebih penting daripada itu, mereka tidak harus membiarkan wang rakyat dibazirkan begitu sahaja di Dewan Rakyat, hanya kerana semata-mata sikap segelintir ahli Parlimen yang dilihat tidak matang.
Jika terus bersikap tidak sewajarnya, maka mereka tidak boleh marah kalau rakyat yang 'menghantar' mereka ke Dewan itu akan membuat tafsiran dan kecaman yang bukan-bukan termasuklah ada antara ahli-ahli Parlimen berkenaan sebenarnya tidak layak berada di situ.
Oleh itu, kalaulah ahli-ahli Parlimen tidak mahu dituduh dengan pelbagai gelaran, maka patuhlah kepada teguran Tuanku Mizan. Jadilah ahli-ahli Parlimen yang benar-benar bertanggungjawab dan bukan sekadar hadir untuk 'mengutip' elaun sahaja.
No comments:
Post a Comment