PENANTIAN untuk menonton filem My Name Is Khan (MNIK) adalah sesuatu yang sukar difahami jika anda bukan peminat 'King Khan' atau Datuk Shah Rukh Khan.
Menonton dan menghayati setiap dialog yang diucapkan oleh Shah Rukh dalam filem MNIK, yang mengangkat martabat orang Islam di seluruh dunia ini, ibarat satu 'tanggung jawab' .
Atas beberapa sebab, filem ini tidak boleh dilihat dari perspektif filem Bollywood kerana penghasilan dan cara garapan filem ini jauh berbeza dari semua filem Hindustan yang pernah ditonton.
Tidak ada lagu merdu yang berjela-jela atau persalinan pakaian hingga durasi lima minit, tidak ada kesedihan yang klise seperti yang selalu ada dalam filem Bollywood dan tiada tarian. Anda mungkin kecewa tapi bagi peminat Shah Rukh, apa saja yang dihidangkan oleh bintang ternama ini adalah satu cenderahati.
Bagi mereka yang berharap menyaksikan sebuah lagi filem Hindustan pasti akan sedikit kecewa kerana pengarah Karan Johar berjaya lari dari expectation peminat filem Hindi.
Tapi durasi filem MNIK sama seperti semua filem Hindustan yang pernah anda tonton iaitu hampir 3 jam. Filem ini hidup dari awal hingga akhir kerana babak-babak realistik yang cuba dipaparkan dari kaca mata seorang pengarah bukan beragama Islam, Karan Johar.
Karan sejujurnya cuba bercerita tentang dilema seorang Islam bernama Rizvan Khan, yang mempunyai penyakit Aspergers sindrom (sejenis penyakit Autistik) yang dicurigai oleh bangsa Amerika. Rizvan dicop sebagai pengganas hanya kerana dia orang Islam dan peristiwa ini berlaku selepas kejadian hitam 9/11.
Disebabkan penyakitnya, Rizvan mempunyai masalah sosial dan tidak mampu berinteraksi secara normal.
Ibu Rizvan selalu menekankan bahawa tidak ada orang Islam baik dan orang Islam jahat, tidak ada orang Kristian baik dan orang Kristian jahat dan tidak ada orang Hindu baik dan orang Hindu jahat.
Kebaikan dan kejahatan ada pada manusia, tetapi itu tidak ada kaitannya dengan agama yang dianuti. Didikan ibu terpahat erat dalam benak Khan hingga Rizvan merasa didikan ibunya benar tetapi realiti yang dihadapinya sangat jauh berbeza.
Setelah ibunya meninggal, Rizvan terpaksa tinggal dengan adik lelakinya (lakonan Shergill) di Amerika. Di sinilah dia berjumpa dan jatuh hati dengan pedandan rambut bernama Mandira (Kajol), seorang ibu tunggal yang baik hati, bebas laku dan tinggal bersama anaknya, Sam, 6.
Cerita cinta Rizvan-Mandira agak luar biasa kerana latar belakang kedua mereka yang berlainan agama dan gaya hidup.Perkahwinan mereka yang mulanya mendapat tentangan adiknya, berakhir dengan baik. Namun kisah cinta mereka yang baru bermula 'terputus' apabila peristiwa September 11 di New York City menjadi penyebab beberapa insiden.
Sam dibelasah teruk hingga mati di sekolahnya kerana namanya ditukar ke 'Khan' sempena nama ayah tirinya, Rizvan Khan. Disebabkan insiden tragis ini, Mandira menolak Rizvan dan menghalaunya.
Segalanya berubah, kedua-duanya terpisah dan cerita cinta mereka bergilir mengharu birukan emosi penonton.
Hanya satu saja syarat diberikan untuk Rizvan kembali ke pangkuan Mandira. Dia harus berjumpa dengan Presiden Amerika dan memberitahunya, My Name Is Khan...And I Am Not A Terrorist.
Bagi Mandira, selagi namanya Khan, dia akan tetap dianggap sebagai pengganas. Dan di sinilah babak pertama filem ini bermula, di mana Rizvan 'Shah Rukh' Khan mengenggam tiga biji batu hitam sambil mulutnya berzikir 'Qul Huwallahu Ahad' sehingga menimbulkan curiga mata-mata yang memandang.....
Perlakuan 'rasial' yang dialami Rizvan ada kalanya menyentuh perasaan, ada ketika membuat kita terfikir bagaimana buruk sangka dapat membuat manusia berubah dari baik ke sifat haiwan.
My name is Khan mendapat bantahan parti Hindu, Shiv Sena, di tanah airnya sendiri hanya kerana satu kenyataan Shah Rukh yang membela pemain kriket Pakistan agar diserapkan ke India Premier League (IPL).
Kemarahan Shiv Sena tercetus kerana hubungan India-Pakistan yang hingga sekarang masih dilanda perang dingin. Akibat kenyataan Shah Rukh, Shiv Sena berusaha melarang filem My Name is Khan ditayang di India.
Kini, filem ini semakin dingin sambutannya di Mumbai, berbeza sekali dengan respon di Amerika dan Eropah.
Sejauh mana, bangsa Amerika menerima filem ini masih terlalu awal untuk dibuat rumusan.
Sembilan tahun setelah tragedi peristiwa 9/11, paranoia atau sikap perkauman terhadap umat Islam yang ditindas akhirnya berjaya digambarkan secara menarik sekali melalui sebuah layar filem Bollwyood.
MNIK berjaya menyingkap sikap rasis Amerika terhadap Islam. Lebih tepat, buruk sangka keterlaluan terhadap apa saja yang berbau Islam.
Diskriminasi barat terhadap Islam seperti yang ditunjukkan di dalam MNIK adalah satu fakta yang pernah terjadi terhadap Shah Rukh sendiri.
Filem itu berkisar tentang hubungan Rizvan dan Mandira, antara seorang individu bernama Rizvan dan pengaruhnya di sebuah negara barat hingga menimbulkan kebangkitan semangat solidariti sesama orang Islam lantas menutup terus mulut bangsa barat tentang Islam.
Terdapat tiga isu penting yang dikupas dalam filem ini: Islam, Cinta Seorang Autistik dan Pengorbanan.
MNIK berbicara tentang Islam dan bagaimana pandangan dunia terhadap Islam.
Agama bukanlah kriteria untuk menentukan orang itu baik atau jahat - itu adalah satu kenyataan yang diulang-ulang tanpa disedari sepanjang filem ini.
Selesai menonton filem ini, ada satu perkara yang anda akan ingat sampai bila-bila. Mungkin Shakespeare pernah berkata...What's In A Name? (Apa Ada Pada Nama?). Bagi mereka yang beragama Islam, jawapannya terdapat dalam filem ini. Akhir kata, 'Nama saya BUKAN Khan, dan saya bukan pengganas!'
No comments:
Post a Comment