Saturday, October 20, 2007

Puji Puja Lonjakan nama Malaysia ?


Di bawah artikel Program Lonjak Malysia seorang Pensyarah kaki ampu dan penyokong UMNO di Fakulti Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia menulis seperti berikut... tulisan yang sarat puji dan puja dalam akhbar Utusan pada hari ini. Akhbar 'cernaan minda Melayu' yang berpayung bawah konsep kata-kata keramat mereka dulu kini dan selamanya. Lihat tiada nilai akademik dan melihat realiti kehidupan, perjuangan UMNO/BN adalah lebih kepada gah kepada nama, puji puja, perbelanjaan boros wang rakyat, pembangunan fizikal mega yang semua bermatlamat kemegahan di bawah kemelaratan hidupan rakyat. Pemimpin2 bongkak disengkongkol oleh ahli akdemik pengampu , akan menghalalkan semua tindakan pemimpin negara.

Di dunia, sebagai manusia mana yang tidak lakukan kesilapan, hatta nabi adam bapa manusia yang dilantik Allah, maka Allah ujikan dengan ujian tertentu dan dah lakukan kesalahan. Inikan pemimpin manusia Malaysia ?

Sejak slogan Malaysia Boleh! Dicanangkan, beberapa Misi Nasional yang merentasi skop antarabangsa telah berjaya dicipta. Pendakian Gunung Everest, renangan merentasi Selat Inggeris, pelayaran solo mengelilingi dunia, kembara ke dua buah kutub dunia, serta pelbagai program bagi memaparkan semangat Malaysia Boleh! telah direkodkan.

Pada kali ini, satu lagi rekod cemerlang Malaysia berjaya dicipta, iaitu dengan kejayaan pelancaran Soyuz 15-S yang membawa bersama angkasawan negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor pada 10 Oktober pukul 9.21 malam waktu Malaysia.

Secara realitinya, usaha Malaysia untuk melakukan beberapa misi serta rekod bertaraf antarabangsa, bukanlah inginkan populariti secara membuta tuli serta bersifat riak ke atas kejayaan tersebut.

Sebenarnya, jauh di sudut perkiraan ekonomi, dengan kejayaan yang Malaysia jayakan itu, ia membawa imej dan prestij negara ke medan antarabangsa. Dengan kejayaan tersebut, nama Malaysia mudah dikenali masyarakat antarabangsa. Jika dahulu nama Malaysia sebelum era pentadbiran Tun Dr. Mahathir kurang menonjol di peringkat antarabangsa. Kini, setelah Malaysia Boleh! dilancarkan, maka, nama negara melonjak naik serta mempopularkan negara kepada pengetahuan masyarakat dunia.

Program-program dan projek-projek mega yang disebutkan oleh pembangkang sebagai membazir, kini memberikan lonjakan perkasa bagi membina reputasi kejayaan sebagai sebuah negara Islam termoden dan terkemuka di peringkat global.

Pembinaan Putrajaya, Kuala Lumpur City Center (KLCC), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala lumpur (KLIA), Menara KL, litar Formula 1, serta kini diperluaskan dengan lonjakan program mega metropolitan seperti Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) serta bakal menyusur projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) mampu melonjakkan lagi kegemilangan negara untuk terus berjaya menjelang tahun 2020 dan mengisi kejayaan ke arah kecemerlangan untuk fasa kedua 50 tahun merdeka.

Ini semua terbina disebabkan oleh kebijakan kepimpinan, yang menyedari bahawa promosi adalah penting untuk memasarkan produk. Sebab itu, kepimpinan negara sebenarnya merupakan ketua pegawai eksekutif (CEO) kepada negara pimpinannya.

Malaysia Inc, atau penswastaan Malaysia yang diasaskan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1980-an memberikan dampak bahawa negara perlu diurus tadbir dengan mentaliti korporat. Ini bukan bermakna negara perlu mencari untung dengan memerah keringat rakyat, sebaliknya yang dilakukan ialah mencari peluang untuk memajukan negara menerusi jaringan modal yang dipunyai sektor swasta bagi disalurkan dalam bentuk pelaburan ke negara ini.

Akhirnya, dengan keyakinan pelabur, pelaburan asing di Malaysia mencecah bilion ringgit dan berjaya muncul sebagai sebuah negara moden jika dibandingkan dengan negara-negara lain di dunia membangun. Ini terbukti, di mana pada 2007 sahaja, jumlah pelaburan asing dan domestik negara telah mencecah lebih RM40 bilion, serta disumbang pula dengan kenaikan di Bursa Malaysia yang dilihat stabil diikuti oleh pengukuhan nilai ringgit yang secara jelas menunjukkan ekonomi negara berada pada landasan yang tepat.

Masyarakat mampu melihat secara rasional, di mana lihat sahaja impak menerusi penjenamaan Malaysia dengan pelaksanaan projek dan program mega, menerusi pembinaan KLCC umpamanya, pengaruh negara turut meluas ke peringkat perfileman antarabangsa, hinggakan filem-filem Bollywood masa kini, sering memaparkan imej KLCC, Langkawi dan Putrajaya di dalam filem mereka. Dengan bangga pula kita mendengar dalam lafaz skrip mereka menyebutkan nama Malaysia. Inilah projek dan program yang sebenarnya telah melonjakkan prestij negara di mata dunia.

Rakyat seharusnya sedar, dengan pelaksanaan projek dan program mega tersebut, maka Malaysia telah berjaya memperluaskan jaringan ekonomi negara. Kemasukan pelabur asing ke pasaran domestik telah memberikan peluang pekerjaan serta juga menjana pertumbuhan pembangunan Malaysia.

Sektor pelancongan negara juga meningkat dengan kemasukan pelancong dari segenap pelosok dunia. Kini dengan dikenali sebagai sebuah negara yang aman serta imej negara Islam yang maju, tarikan pelancong dari Asia Barat juga semakin baik.

Dengan nama baik Malaysia di persada antarabangsa, negara telah berjaya membina pengaruh tersendiri dan juga berjaya membina jaringan kerjasama yang lebih menyeluruh. Jika tidak kerana nama baik pemimpin dan negara, masakan Rusia dengan pembelian pesawat Sukhoi SU30MK pada 2002 akhirnya dipersetujui di antara Malaysia dan Rusia bersempena lawatan Presiden Vladimir Putin ke Malaysia pada Mei 2003.

Dari rentetan tersebut, kerajaan Rusia telah berjanji untuk menghantar angkasawan Malaysia iaitu Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan Kapten Dr. Faiz Khaleed ke angkasa. Lebih manis lagi, ia berjaya dilakukan pada 2007 bersempena jubli emas merdeka, dan lebih mulia lagi, dilakukan di bulan Ramadan.

Harus diingati bahawa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mempunyai sejarah peribadi yang sinonim dengan bulan Ramadan, di mana pelantikan sebagai Timbalan Perdana Menteri serta ke jawatan Perdana Menteri terlaksana pada bulan mulia ini.

Sekali gus, kejayaan-kejayaan yang dicapai dalam bentuk material tersebut, telah memberikan satu kelahiran generasi baru yang lebih bersemangat. Tidak dinafikan sejak dahulu rakyat begitu bersemangat menjayakan negara, tetapi bagi generasi yang tidak pernah mengalami derita dan kepayahan perjuangan kemerdekaan, sudah tentulah mereka ini perlu diberikan satu suntikan perjuangan baru bagi membolehkan mereka turut sama menjadi ikon kebanggaan negara sebagai penerus kepada perjuangan mengisi kemerdekaan.

Kini, dengan pelancaran Soyuz 15-S, walaupun ia roket bukan milik Malaysia, namun, kenangan manis melihat seorang rakyat Malaysia berjaya dilonjakkan ke angkasa mampu merebakkan semangat mengisi fasa kedua 50 tahun kemerdekaan negara.

-

No comments: