Begap, dan dangkal, pengampu nombor satu, mahukan sisitem kehakiman menuju kehancuran. Begitulah lemparan kata-kata yang wajar diberikan kepada artikel di bawah. Wajar ke atau Ketakwajaran suruhanjaya dalam kes baru ini.
Cadangan Majlis Peguam Malaysia supaya sebuah suruhanjaya kehakiman dibentuk bagi menguruskan pelantikan dan kenaikan pangkat hakimhakim negara memerlukan kajian yang teliti. Jika cadangan ini diterima kesannya bukan sahaja Perlembagaan Persekutuan terpaksa dipinda dengan secara ekstensif tetapi juga ia akan mengubah perimbangan kuasa yang sedia wujud di antara tiga cabang kerajaan yang utama iaitu eksekutif, legislatif dan kehakiman.
Mengikut amalan sedia ada seperti mana termaktub di bawah peruntukan Perkara 122B(1) pelantikan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar, Hakim Mahkamah Persekutuan, Rayuan dan Tinggi adalah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong bertindak di atas nasihat Perdana Menteri setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Jika suruhanjaya kehakiman mengenai pelantikan dan kenaikan pangkat ditubuhkan sudah tentu ia akan mengambil alih sama ada kuasa melantik para hakim oleh Yang di-Pertuan Agong atau kuasa menasihati baginda oleh Perdana Menteri.
Begitu juga dengan peranan Majlis Raja-Raja untuk dirunding atau peranan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim-Hakim Besar Malaya serta Sabah dan Sarawak juga perlu dirunding. Perdana Menteri menasihati Seri Paduka Baginda tentang pelantikan mana-mana hakim mahkamah seperti mana yang diperuntukkan di bawah fasal 2,3 serta 4 Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
Terhakisnya peranan eksekutif sebagai cabang yang memikul mandat rakyat secara terus sudah tentu akan melemahkan demokrasi dan kuasa rakyat di negara ini. Walaupun Perdana Menteri hanya menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam perkara pelantikan hakim namun dalam konteks baginda menjalankan peranan sebagai Raja
Berperlembagaan, frasa nasihat dibaca berdasarkan perkara 40 Fasal 1a. Fasal tersebut bukan bersifat pilihan sama ada boleh diikut atau ditinggalkan, nasihat Perdana Menteri perlu diikut oleh Raja Berperlembagaan kecuali perkara-perkara yang mana Perlembagaan Persekutuan selaku undang-undang tertinggi memberikan kuasa budi bicara kepada baginda (Perkara 40 Fasal 2).
Kuasa menasihati dengan nasihat yang mengikat ini diberikan oleh Perlembagaan kepada Perdana Menteri kerana di bawah sistem pemerintahan demokrasi berparlimen ala Westminster yang diamalkan di negara kita walaupun rakyat tidak memilih secara terus Perdana Menteri seperti mana di bawah sistem demokrasi berpresiden di Amerika Syarikat (AS) namun rakyat berkuasa memilih parti mana yang akan menguasai Dewan Rakyat atau Parlimen. Secara konvensyennya ketua parti yang menguasai majoriti kerusi akan dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan.
Oleh itu institusi Perdana Menteri dalam sistem pemerintahan Malaysia sebenarnya adalah lambang kuasa rakyat. Perdana Menteri mewakili kehendak majoriti rakyat yang telah mengamanahkan parti yang dipimpin beliau untuk memerintah negara.
Oleh yang sedemikian adalah tidak wajar untuk menggantikan fungsi Perdana Menteri yang hakikatnya dipilih rakyat dengan sebuah suruhanjaya yang tidak dipilih rakyat.
Alasan sesetengah pihak bahawa sebagai sebuah negara bekas jajahan British, kita perlu menubuhkan suruhanjaya kerana di United Kingdom pun suruhanjaya/badan ini telah ditubuhkan adalah alasan yang tidak begitu kukuh. Ini kerana, walaupun Britain pernah menjajah negara ini dan kita mewarisi sistem kehakimannya namun harus diingat terdapat perbezaan di antara kedua-dua sistem yang dipakai berdasarkan persekitaran, sistem nilai dan sejarah.
Tidak benar andaian yang mengatakan bahawa kita perlu meniru sistem bekas penjajah itu kerana dakwaan sistem kehakiman mereka lebih maju. Hakikatnya negara berkenaan dalam tempoh sedekad yang lalu baru menerima pakai amalan-amalan terbaik universal seperti pemisahan kuasa yang lebih jelas di antara cabang-cabang kerajaan.
Jika pihak-pihak tertentu ingin mengatakan bahawa kita perlu meniru sistem di Britain, maka adakah kita juga perlu meniru beberapa aspek negatif sistem kehakiman penjajah itu? Contohnya ketua badan kehakiman Britain adalah Lord High Chancellor yang memainkan tiga fungsi iaitu sebagai ketua cabang kehakiman, anggota kabinet (cabang eksekutif) dan sebagai yang dipertua dewan pertuanan (cabang legislatif).
Adakah kita juga perlu meniru sistem mahkamah rayuan tertinggi negara berkenaan yang hakikatnya adalah Dewan Pertuanan dan hakim-hakim mahkamah tersebut adalah juga ahli legislatif. Penulis percaya jika sistem begini diterima pakai maka akan banyaklah pihak yang akan membantah.
Hakikatnya hanya melalui pembaharuan perlembagaan yang dimulakan selepas Parti Buruh membentuk kerajaan Britain pada tahun 1997 barulah sistem kerajaan Great Britain terutamanya sistem kehakiman negara itu lebih menepati konsep pemisahan kuasa yang mula-mula dinukilkan oleh pakar undang-undang dan tokoh falsafah politik Perancis Montesquieu melalui bukunya The Spirit of Laws yang diterbitkan pada tahun 1748.
Melalui Akta Pembaharuan Perlembagaan yang diluluskan parlimen negara berkenaan pada tahun 2005 sebuah mahkamah agung akan ditubuhkan menjelang akhir tahun 2008 manakala fungsi ketua badan kehakiman telah diambil alih oleh Lord Chief Justice daripada Lord High Chancellor dan jawatan berkenaan akan dimansuhkan. Terdapat juga ura-ura bahawa United Kingdom yang selama ini tidak mempunyai sebuah dokumen yang boleh diistilahkan sebagai perlembagaan akan mempunyai perlembagaan yang bertulis.
Hakikatnya negara kita semenjak merdeka telah mempunyai pemisahan yang jelas di antara cabang kehakiman di satu pihak serta cabang legislatif dan eksekutif di satu pihak lain. Dewan Negara bukannya mahkamah tertinggi negara, hakim-hakim Mahkamah Persekutuan kita bukannya ahli-ahli Dewan Negara, Ketua Hakim Negara bukannya anggota Kabinet dan kita mempunyai Perlembagaan Persekutuan bertulis yang merupakan undang-undang tertinggi negara bukannya seperti di Great Britain di mana Parlimen adalah badan tertinggi negara berkenaan.
Kenapa kita tidak melihat contoh AS yang juga merupakan sebuah negara demokrasi? Di bawah perlembagaan AS mengikut seksyen 2 fasal 2 Presiden yang merupakan ketua cabang eksekutif dengan nasihat dan kebenaran Dewan Senat yang merupakan dewan atas Kongres Amerika (cabang legislatif) berkuasa melantik hakim-hakim persekutuan yang terdiri daripada hakim-hakim mahkamah agung, rayuan dan daerah.
Bagi memastikan kebebasan hakim serta integriti, cabang kehakiman negara kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada sesuatu sistem tanpa menumpukan perhatian kepada sistem nilai dan integriti individu. Hakikatnya kita boleh mencipta sistem yang terbaik tetapi jika sistem nilai yang mendasari individu dan masyarakat tidak mampu menyokong sistem yang dilaksanakan ia tetap akan gagal.
* IRMOHIZAM IBRAHIM ialah pensyarah Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM).
No comments:
Post a Comment