Thursday, June 07, 2007

Penyelesian Isu Kenaikan Harga Barang ?

Boikot bukan jawapan..... pulook !!!!
Menteri kata baikot berhubung dengan kenaikan harga barangan berkenaan. Kata orang ini begini pula, akhbar sebagai medan penyalur, kesimpulannya pengguna juga diletakkan 'tugas' mutlak menentukannya. Peranan pihak yang bertanggungjawab bijak dialihkan kepada semua para pengguna. Jenis apa penyelesaiannya tu....... Ikuti dan amati tatacara penyelesaian isu di atas

Apakah jalan penyelesaian yang berkesan dalam menangani isu kenaikan harga barangan keperluan? Kebanyakan daripada kita suka mengambil sikap endah tak endah dengan membayar sambil merungut kecil melepaskan tekanan selepas membayar, namun ini tidak melemahkan semangat penjual yang tidak beretika (bukan semua) yang sentiasa mencari alasan agar harga dinaikkan.

Syor agar boikot dengan tidak membeli barangan berkenaan adakah dapat menamatkan peperangan ini? Boikot terhadap barangan keperluan harian seperti makanan bukan merupakan keputusan yang praktikal.

Masyarakat kita tidak begitu berani seperti di Amerika Syarikat yang boleh memboikot bulu haiwan yang dijadikan sebagai baju sejuk. Boikot mereka berjaya kerana baju sejuk daripada bulu haiwan bukan merupakan barangan keperluan harian. Mereka ada pilihan lain daripada enggan membelinya. Sedangkan barangan keperluan seperti makanan, selama mana kita boleh bertahan? Oleh itu, jalan penyelesaian boleh dilihat dari aspek inisiatif pengguna itu sendiri daripada kelompok yang kecil dan aspek perundangan.

Justeru, dari aspek inisiatif pengguna, langkah sewajarnya bermula dari rumah iaitu pihak ibu bapa atau suri rumah menyenaraikan segala barangan keperluan keluarga dan jika ada masa terluang, meninjau ke beberapa buah kedai atau pasar raya berhampiran dengan rumah kediaman yang menyediakan barangan dengan harga berpatutan dan munasabah.

Langkah proaktif di kalangan suri rumah perlu diwujudkan kerana merekalah pembeli utama golongan sasaran pihak penjual yang mengambil kesempatan di atas kepatuhan pembelian. Suri rumah perlu berkata tidak untuk tidak membeli sekiranya barangan yang dipamerkan tidak mengikut piawaian atau tidak banyak pilihan di kedai yang menaikkan harga barang.

Giatkan usaha untuk menambahkan ilmu kepenggunaan seperti memastikan hanya ikan dan sayuran yang segar, barangan dalam tin yang tidak luput tarikh dan tidak kemik dibeli. Rajin membaca isi-isu kepenggunaan dengan melibatkan anak-anak semasa cuti sekolah ini merupakan langkah bijak sambil mengenal pasti barangan keperluan yang diperlukan boleh merapatkan hubungan kekeluargaan demi mencari jalan penyelesaian terhadap isu meruncing ini.

Kerjasama

Bagaimana pula bagi keluarga yang tinggal di kawasan perkampungan atau di taman-taman perumahan di mana Carrefour atau Tesco tidak ada di situ? Mereka boleh memohon kerjasama Jawatankuasa Rukun Tetangga yang bertanggungjawab terhadap kebajikan ahli-ahli dengan boleh menyenaraikan kedai-kedai makan dan pasar raya berdekatan dengan tempat kediaman yang menjual dengan harga berpatutan.

Kajian mendapati promosi melalui mulut berkesan dan boleh dianggap sebagai kempen setempat yang berkesan sehingga boleh menggerunkan pihak penjual sekiranya dilakukan oleh mereka yang tinggal berdekatan dan saling mengenali.

Dari aspek perundangan, Akta Perlindungan Pengguna 1990 tidak menyenaraikan kenaikan harga barang sebagai salah satu punca aduan itu tidak boleh diketengahkan. Ini kerana kita tidak terikat dengan kontrak yang berat sebelah (unfair terms) seperti di United Kingdom.Akta ini melalui bahagian III dari aspek keselamatan dan barangan dan perkhidmatan hanya menyediakan ruang bagi pengguna untuk membuat tuntutan terhadap penjual yang menjual barangan yang membahayakan kesihatan dan kehidupan pengguna. Juga, terhadap kecuaian penjual yang menjual barangan yang tidak ada kualiti boleh dagang.

Terma ini terlalu luas. Seharusnya, langkah menyenaraikan harga patut dan munasabah (ini juga perlu definisi baru) terhadap barangan keperluan pengguna patut dimasukkan sebagai salah satu syarat bagi mendapatkan barangan yang mempunyai kualiti boleh dagang dengan harga yang berpatutan.

Di samping itu, kesan kenaikan harga barang yang boleh mengurangkan kualiti kehidupan pengguna boleh dikategorikan sebagai mengancam keselamatan dari aspek kewangan kepada negara dalam menangani defisit negara dan kehidupan keluarga tidak lagi harmoni kerana tertekan dengan peningkatan kos sara hidup yang tinggi.
Dengan ini, keperluan pengguna terjamin dan sebarang pengabaian penyenaraian harga oleh penjual boleh dianggap sebagai satu perlanggaran kontrak pengguna dan penafian terhadap hak pengguna yang berkesudahan boleh dikemukakan di Tribunal Tuntutan Pengguna atau di mahkamah.

Penguatkuasaan merupakan anti pati berterusan dan wajib dalam pelaksanaan hak pengguna tidak dipinggirkan atau hanya jadi sebagai kosmetik, tidak berkesan dan hanya menjadi isu di forum perbahasan semata-mata namun tiada perubahan.

Pihak penggubal undang-undang boleh menjemput pakar akademik di institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang berpengalaman dalam menganalisis hak-hak pengguna di Indonesia, Singapura dan Filipina yang boleh kita jadikan panduan dan rujukan.

Bayangkan jika 20 kampung kecil di sekitar satu negeri menyahut cabaran merealisasikan impian mendapatkan harga idaman dengan menggembeling tenaga secara berkumpulan, usaha itu tidak mudah diperlekehkan oleh penjual. Penjual juga sedar periuk nasi mereka bergantung kepada keutuhan semangat setia kawan penduduk setempat.

Di samping itu, disebabkan sikap rakyat kita yang mudah lupa juga perlu ditiupkan semangat patriotik sejajar dengan usia Malaysia yang ke-50 iaitu pihak korporat melalui khidmat sosial menaja iklan kepenggunaan berterusan untuk menimbulkan kesedaran hak pengguna di media massa/elektronik.

Ini secara tidak langsung boleh dijadikan anjakan paradigma bagi menimbulkan kesedaran di kalangan masyarakat bahawa isu kenaikan harga barangan merupakan isu sejagat dan bukan kes terpencil!

Secara amnya, kita sebagai pengguna ada hak dan kewajipan untuk dilaksanakan dalam kehidupan seharian. Kita tidak tinggal seorang diri. Apa sahaja tindakan kita, akan memberi kesan kepada keluarga dan negara.

Jika kedua-dua aspek inisiatif pengguna dan aspek perundangan dikuatkuasakan, tidak mustahil masyarakat akan menikmati semula gaya hidup yang seimbang, nilai kualiti kehidupan yang lebih terjamin dan yang paling penting, bebas daripada cengkaman penindasan para penjual!

No comments: