Mesyuarat khas Kongres Cuepacs ditetapkan 1 Julai ini dan antara lain akan membuat pendirian mengenai isu peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dan penubuhan Tabung Amal dan Kebajikan Cuepacs.
Presidennya, Omar Osman, berkata Cuepacs sehingga kini tetap mahu PTK dimansuhkan dan digantikan dengan Sistem Pengembangan Profesional Berterusan, iaitu pembelajaran sepanjang hayat melalui kursus dan induksi.“Kita akan membincangkan isu PTK termasuk pandangan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenainya, selepas itu Kongres Cuepacs akan membuat pendirian tegas mengenainya,” katanya ketika dihubungi semalam.Pada 13 Jun lalu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam menyifatkan cadangan Cuepacs supaya peperiksaan PTK dimansuhkan, sebagai satu langkah ke belakang dan berpandangan sempit.
Sebelum itu, Cuepacs meminta PTK dimansuhkan dengan alasan antaranya soalan tiada kaitan bidang kerja, tiada jaminan kenaikan gaji dan pangkat walaupun selepas lulus PTK dan peperiksaan itu tidak menggambarkan kecekapan sebenar seseorang kerana ada yang lulus, tetapi tidak cekap dan sebaliknya.PTK adalah komponen Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang diperkenalkan 1 November 2002 dengan tujuan utama untuk menggalakkan kemajuan diri menerusi pembelajaran berterusan, meningkatkan budaya pembelajaran dan melaksanakan pengurusan sumber manusia berasaskan kompetensi.Omar yang kini dalam siri jelajah ke setiap negeri untuk menemui kakitangan awam, berkata kakitangan awam di enam negeri yang sudah dikunjunginya mahu PTK dimansuhkan.“Kami setuju penilaian dilakukan tetapi bukan melalui peperiksaan seperti PTK,” katanya.Mengenai penubuhan Tabung Amal dan Kebajikan Cuepacs, beliau berkata, mesyuarat dijangka akan membentuk sekretariat atau jawatankuasa khas ke arah penubuhan tabung itu.Katanya, wang tabung itu akan digunakan untuk kerja amal kebajikan dan membantu golongan kurang bernasib baik berdasarkan kes.
No comments:
Post a Comment