Thursday, June 21, 2007

Kementerian diarah bincang piket MTUC



Kabinet mengarahkan Kementerian Sumber Manusia berbincang dengan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berhubung isu tuntutan gaji minimun RM900 dan Elaun Sara Hidup (Cola) RM300 untuk pekerja sektor swasta.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Fong Chan Onn, berkata perbincangan itu antara lain bertujuan membatalkan cadangan MTUC mengadakan piket di seluruh negara."Minggu lalu, saya berbincang panjang lebar dengan pemimpin MTUC dan Cuepacs, terutama mengenai sistem yang diamalkan di Malaysia."Walaupun tidak melaksanakan sistem gaji minimum tetapi kita mempunyai majlis penetapan gaji untuk sektor tertentu seperti pembantu klinik, pengawal keselamatan dan pekerja am mengikut Akta Lembaga Gaji 1947 yang melindungi kepentingan 1.2 juta pekerja."Sehubungan itu, MTUC tidak perlu berpiket kerana kerajaan sedia berbincang mengenai isu itu," katanya di sini, semalam.Sementara itu, Dr Fong berkata, sejak Akta Lembaga Gaji 1947 diperkenalkan, kerajaan menubuhkan tujuh majlis penetapan gaji iaitu tiga di Sabah dan masing-masing dua di Semenanjung dan Sarawak bagi menjaga kepentingan pekerja yang tidak diwakili kesatuan sekerja.
"Kabinet juga bersetuju dengan cadangan kementerian mengkaji sama ada wujud keperluan menubuhkan majlis penetapan gaji pekerja hotel."Penubuhan majlis itu menunjukkan kesediaan kerajaan mewujudkan majlis yang sama untuk mana-mana sektor yang dirasakan perlu demi membela nasib pekerja di Malaysia," katanya.Dr Fong berkata, majlis yang dianggotai wakil majikan, pekerja dan kesatuan akan mengadakan pertemuan setiap bulan bagi membincangkan pelbagai isu seperti gaji dan waktu bekerja."Tindakan piket yang dirancang MTUC tidak mampu menyelesaikan masalah kerana kerajaan sedia berbincang untuk faedah pekerja di seluruh negara," katanya.

No comments: