Monday, June 18, 2007

Isu Asia Barat Yang Tiada Noktah ?


Tulisan Subky Latiff yang tajam dan sukar bagi mana-mana penulis politik yang prolifik di negara kita. Mari kita ikuti analisis Isu Asia Barat kupasan Subky Latiff dalam Harakahdaily.net


Menyatukan Hamas-Fatah bak menyatukan Arab-Israel .....Subky Latif


PERJANJIAN damai Makkah antara Fatah dan Hamas atas usaha Raja Abdullah adalah yang terakhir. Kiranya ia tidak berjaya, maka janganlah difikirkan keduanya boleh didamaikan melalui perundingan.



Perjanjian itu menyarankan diwujudkan kerajaan campuran Hamas-Fatah di Palestin. Ia bertahan tiga bulan.



Kerajaan campuran itu bukan sekadar berkecai, tetapi Presiden Mahmud Abas membubarkan kerajaan pimpinan Hamas dan kerajaan Hamas itu sendiri. Presiden melantik seorang Fatah membentuk kerajaan. Ia segera diikuti oleh Hamas membentuk Kabinetnya sendiri.



Ketika rencana ini ditulis belum ada yang mahu menjadi hakim untuk melihat siapa yang mengkhianati perjanjian Makkah itu dan menghukum pihak yang menjadi angkara.
Yang ada hanya yang mentafsirkan perlembagaan Palestin bahawa Presiden berkuasa memperkenankan sesiapa untuk membentuk kerajaan dan berkuasa untuk membubarkan kerajaan.
Tetapi tidak siapa mahu mengkaji hakikat pengaruh di Palestin itu sendiri. Siapa sebenarkan yang berpengaruh di kalangan rakyat yang mengundi dalam pilihan raya yang terakhir?
Mahmud Abas dipilih oleh rakyat. Hamas tidak bertanding. Pilihan raya Parlimen selepas itu Hamas bertanding. Keputusannya Hamas menang.
Keadaan itu sama seperti Amerika. Bush menang pilihan raya Presiden. Dua tahun kemudian parti Bush kalah dalam pilihan raya Kongres – Dewan perwakilan dan Senat dikuasai oleh Demokrat. Presiden ada kuasa veto untuk mengenepikan keputusan Kongres tetapi adakah demokrasi Amerika membenarkan Bush bertindak demikian?



Walaupun Bush berkuasa, tetapi hakikat, semangat dan maruah politik dan demokrasi tidak menghalalkan tindakan seperti itu.



Sokongan terhadap tindakan Mahmud dalam mempersetankan pengaruh Hamas adalah pertimbangan beruk. Kalau mahkamah ia adalah mahkamah hakim beruk.



Apa yang berlaku dalam politik Palestin sekarang adalah pertentangan antara membentuk negara Palestin mengikut acuan Israel dan Amerika yang tidak diketahui bagaimana hendak mewujudkannya dan tiada kuasa Palestin menentukan coraknya. Inilah pilihan Fatah.
Manakala satu perjuangan lagi ialah membebaskan Palestin daripada pendudukan Israel. Ini pilihan Hamas.



Pilihan Hamas itu adalah pilihan asal rakyat Palestin sejak 60 tahun lalu. Itulah yang Fatah perjuangkan dulu.



Setelah kaedah itu tidak juga memberi kejayaan dan dunia Arab seluruhnya sudah letih, maka Fatah pimpinan Arafat dulu mengubah perjuangan untuk mewujudkan Palestin, tak kira saiz dan bentuknya. Yang penting Palestin ada di dunia.



Ia adalah tajaan Barat. Israel dan Amerika tidak menyokong sepenuh cadangan itu tetapi tidak menolak sepenuhnya.
Tetapi hari-hari Palestin yang diuntukkan itu diceroboh hingga Arafat sendiri dibunuh dengan cara yang hina. Palestin tidak juga wujud dan orangnya hari-hari mati ditembak. Hamas tidak percaya kaedah itu dan muncul dengan perjuangan asal, iaitu Palestin hanya boleh dibebaskan dengan berperang.



Mati berperang adalah lebih mulia daripada mati tak berperang seperti Arafat. Sokongan terhadap Hamas menggalakkan dan berakhir dengan kemenangannya dalam pilihan raya. Kemenangan Hamas tidak diterima sepenuhnya oleh Fatah. Arab yang letih di luar Palestin juga tidak senang dengan kemenangannya. Dunia Barat memulaukan kerajaan Hamas.




Fatah suka dengan sekatan Barat itu. Israel dan Amerika suka dengan kesukaan Fatah itu. Bukan mustahil Fatah juga suka dengan sikap Israel terhadap Hamas dan terhadap Palestin di bawah Hamas.



Bagi mengubah reaksi Barat itu dunia Arab dan Islam menekan supaya Fatah dan Hamas berdamai dan kemuncaknya ialah persetujuan Makkah. Melaksanakan keputusan Makkah itu amat susah. Mendamaikan Fatah dan Hamas sama seperti susahnya mendamaikan Arab dengan Isreal kalau pun tidak sesulit mendamaikan Islam dengan Yahudi.




Sejak lebih seminggu lalu kedua-duanya berperang. Tentera Israel belum lagi menyerang kediaman Perdana Menteri, Ismail Hanayah. Tetapi kediaman diserang tentera Fatah. Kediaman itu binasa dan keluarga Perdana Menteri yang ada di dalamnya terselamat.
Fatah menguasai Tebing Barat. Maka Hamas yang kuat di Gaza bertindak dalam masa tiga hari seluruh Gaza ditawan. Pejabat dan kediaman Presiden dikuasai Hamas. Palestin yang dicadangkan itu sudah terbagi dua.



Mahmud Abas membubarkan kerajaan pimpinan Hamas dan menggantikannya dengan kerajaan Fatah. Hamas masih mengiktiraf Mahmud Abas sebagai Presiden tetapi menolak keputusannya membentuk kerajaan Fatah. Ia disifatkan sebagai rampasan kuasa.




Liga Arab mengiktiraf tindakan Mahmud Abas. Tetapi penyokong Presiden Palestin itu tidak dapat menguasai Gaza. Apakah Fatah dan dunia seluruhnya suka Israel membebaskan Gaza untuk Fatah atau Israel terus mencerobohnya seperti yang dihendaki oleh pendatang Yahudi yang Sharon usir dari wilayah itu dulu? Apakah Hamas yang berperang dengan musuhnya Israel tidak wajar atau wajar memerangi musuh dalam selimutnya? Fatah memusuhi Israel tetapi ia berunding dengan Israel. Hamas bermusuh dengan Israel tetapi ia tidak berunding dengannya.
Hamas membawa perjuangan Islam. Fatah dengan Islam sekularnya. Yang mendorongkan mereka berbeza dan berperang adalah sekularnya. Membenamkan sekular itu lebih aula sebelum menemui musuh di luar. – lanh

No comments: