Jika benar bagai yang dilaporkan maka, wajarlah guru berkenaan dicela. Kecelaan kerana enggan memajukan diri sendiri. Mana mungkin seorang insan yang bergelar guru berfikiran dan bertindakan sedemikian, maka wajarlah mereka dicela... ikuti laporan akhbar berbahasa Melayu yang utama pada hari ini...
Kira-kira 70,000 guru bukan siswazah yang berkhidmat lebih 20 tahun, mungkin bersara tanpa berpeluang naik pangkat ekoran keengganan menduduki peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) kerana mereka yakin tidak akan lulus.Kebanyakan guru itu, yang sudah hampir mencapai umur bersara, juga terkilan dan berasakan seolah-olah sumbangan mereka terhadap profesion keguruan tidak dihargai kerana peluang naik pangkat mungkin disekat oleh PTK. Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Anuar Ibrahim berkata sebahagian besar guru terbabit berpendapat PTK menutup peluang mereka untuk naik pangkat walaupun mempunyai pengalaman luas mendidik.“Mereka berpendapat sukar untuk lulus PTK kerana terlalu tua bagi menghadapi peperiksaan. Amat sukar bagi mereka menjawab soalan pada usia semasa berbanding jika ketika masih muda.“Mereka ini ada yang hanya empat atau lima tahun lagi untuk bersara dan kebanyakannya sudah mencapai tangga gaji maksimum.
Satu-satunya peluang untuk naik gaji ialah menerusi kenaikan pangkat,” katanya kepada Berita Harian semalam.Antara syarat kenaikan pangkat bagi guru bukan siswazah daripada gred DGA29 kepada DGA32 yang ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ialah lulus peperiksaan PTK, berkhidmat 10 tahun ke atas serta tidak mempunyai sebarang laporan tatatertib.Anuar berkata, ramai di kalangan guru terbabit, khususnya yang sudah terbukti berjaya melahirkan pelajar cemerlang dalam peperiksaan dan kokurikulum, berpendapat mereka tidak seharusnya disyaratkan menduduki PTK untuk naik pangkat.“Mereka berharap pengalaman dan sumbangan terhadap profesion selama ini turut diberi pertimbangan dalam menilai peluang sama ada mereka layak diberikan kenaikan pangkat, bukannya menerusi PTK semata-mata.“Malah, ada di kalangan guru terbabit percaya syarat lulus PTK yang ditetapkan JPA itu sebagai tidak menyebelahi mereka sebaliknya lebih menguntungkan guru bukan siswazah lebih muda,” katanya.
Tinjauan NUTP mendapati lebih 50 peratus guru bukan siswazah yang sudah berkhidmat berpuluh tahun enggan menduduki PTK dengan alasan tidak akan lulus walaupun kesatuan memberi galakan dan menyediakan kursus khas.Berikutan itu, NUTP menyarankan supaya Kementerian Pelajaran dan JPA menimbang semula syarat lulus PTK untuk golongan itu menikmati kenaikan pangkat, dengan mewujudkan pendekatan lain yang lebih praktikal.“Kami mencadangkan kementerian mengadakan kursus bagi menggantikan peperiksaan PTK untuk golongan ini supaya ia sekurang-kurangnya dapat mengembalikan sedikit harapan untuk mereka naik pangkat sebelum bersara,” katanya.
Anuar berkata, dengan cara itu kementerian akan dilihat sebagai tidak mengabaikan pengalaman dan sumbangan guru bukan siswazah yang banyak membantu proses pembangunan pendidikan serta melahirkan generasi muda cemerlang. Katanya, perkara itu juga sejajar dengan teras kelima Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang dilancarkan kerajaan iaitu Memartabatkan Profesion Perguruan, ke arah memajukan lagi profesion berkenaan dan masa depan negara.
No comments:
Post a Comment