DILANGSIRKAN DARIPADA MALAYSIAKINI
Anwar tak setuju terima RM33.5k sebulan sebagai ketua pembangkang
Anwar Ibrahim tidak setuju dengan gaji bulanan serta elaun yang akan diterimanya sebagai ketua pembangkang, selepas jawatan itu diberi kedudukan setaraf menteri.
Dalam kenyataan malam ini, Anwar yang merupakan pengerusi PH itu berkata dia akan menyalurkan wang tersebut kepada orang miskin.
Anwar berkata, berdasarkan surat tawaran oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, ketua pembangkang akan menerima gaji dan elaun bulanan sebanyak RM33,560.20 serta elaun pakaian berjumlah RM9,000 untuk tempoh tiga tahun.
Berikut gaji, elaun serta kemudahan lain yang akan diterima ketua pembangkang, Menurut Anwar.
-RM14,907.20 gaji bulanan
-RM12,320 sebulan untuk elaun keraian
-RM1,500 sebulan untuk bayaran khas
-RM4,000 sebulan untuk elaun rumah
-RM833 sebulan untuk elaun selenggara rumah
-RM6,000 elaun pakaian panas (sekali dalam tiga tahun)
-RM1,500 elaun pakaian upacara rasmi (sekali dalam tiga tahun)
-RM1,500 elaun bayaran pakaian ‘black tie’ (sekali dalam tiga tahun)
-Sebuah kereta rasmi serta penggunaan kenderaan peribadi untuk tugas rasmi
"Beberapa kemudahan lain yang setaraf menteri tidak dapat saya terima sama sekali. Malah, saya akan menyalurkan dana tersebut untuk tabung rakyat miskin," katanya.
Dia juga berkata telah memberitahu pihak Parlimen untuk tidak membuat sebarang pengubahsuaian dan menyediakan peruntukan tambahan untuk pejabatnya.
Menjadikan kedudukan ketua pembangkang setaraf dengan menteri merupakan antara kandungan Memorandum Persefahaman (MOU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai PH dan kerajaan.
Anwar bagaimanapun tetap mengucapkan terima kasih kepada Ismail atas pengiktirafan itu serta langkah memperuntukkan pejabat dan kemudahan lain seperti pegawai untuk ketua pembangkang.
"Ingin ditegaskan bahawa pengiktirafan kepada pejabat ketua pembangkang ini tidak bermaksud kita akan mendukung apa sahaja dasar kerajaan tanpa soal.
"Seperti yang dinyatakan perdana menteri dalam surat kepada saya itu, keputusan ini tidak menjejaskan peranan ketua pembangkang. Saya akan tetap menjalankan tugas seperti sedia kala.
"Aspek semak imbang akan terus diperhebat bagi memastikan negara ini terus di landasan demokrasi," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment