Betol dah tu Tun..
- Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
- 25 Oktober 2021, 5:34 pm
PETALING JAYA : Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memutuskan tidak bertanding dan terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bermula pada 8 sehingga 20 November ini.
Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, parti itu juga tidak akan membantu mana-mana parti politik untuk berkempen.
Jelas beliau, pihaknya memutuskan demikian kerana pilihan raya itu berlaku kerana percaturan permainan politik dan akibat segelintir pihak yang tidak serius serta mempunyai agenda tersendiri.
Tegas Ahli Parlimen Langkawi itu lagi, kejatuhan Kerajaan Negeri Melaka disebabkan sikap pemimpin yang sibuk mengejar jawatan sehingga mengambil tindakan menarik sokongan agar kerajaan dapat dijatuhkan.
“Orang masuk politik untuk berkhidmat dan memajukan negara serta memberikan kehidupan lebih selesa kepada rakyat. Tetapi, mereka ini nak masuk politik untuk jawatan, kalau ada peluang untuk rebut jawatan, mereka akan ambil tindakan supaya dijatuhkan kerajaan dengan menarik sokongan.
“Sebab itu, kita Pejuang mengambil keputusan untuk tidak bertanding dan mengambil bahagian dalam PRN Melaka,” katanya dalam sidang akhbar di Yayasan Al Bukhary di sini hari ini.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir menegaskan kini bukan masa terbaik untuk mengadakan PRN Melaka setelah mengambil kira situasi pandemik Covid-19 dan mengambil pengalaman PRN Sabah yang menyaksikan gelombang baharu jangkitan sehingga merekodkan 25,000 kes.
Bekas Perdana Menteri itu kemudian menjelaskan, pilihan raya dan kejatuhan kerajaan negeri tidak wajar berlaku sama sekali kerana ia berlaku akibat sikap pemimpin yang menjadikan politik sebagai alat permainan sehingga rakyat menjadi mangsa keadaan.
“Kita khuatir jika diadakan pilihan raya sekali, maka akan jadi pandemik lebih besar berpunca daripada pilihan raya Melaka,” jelas beliau.
Ahli Parlimen Langkawi tersebut kemudian membidas tindakan sesetengah pihak yang menjadi Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai alat percaturan politik untuk meraih kuasa dan kepentingan diri.
“Mereka seolah-olah menjadi DUN sebagai hak mereka untuk melakukan apa sahaja mereka suka. Sebaliknya diadakan DUN untuk menangani masalah dalam negeri. Kalau ada masalah, ada cara perbahasan, ada cara undi dalam dewan dengan tidak menjatuhkan kerajaan.
“Perkara ini berlaku di Malaysia apabila menarik diri dan lompat tidak menjadi kesalahan kerana tiada undang-undang menghalang sedemikian. Namun, daripada segi moral, mereka harus ingat dipilih oleh rakyat, oleh itu mereka harus akur segala janji kepada rakyat,” katanya.
Dr. Mahathir kemudian menambah, keadaan sama berulang jika sesiapa terpilih menjadi kerajaan dan tidak berlaku perubahan kerana mereka bertanding bukannya memikirkan untuk membangunkan Melaka, tetapi mendapat jawatan dan gaji yang terbaik.
Beliau berkata, kerajaan hari ini mahupun di peringkat Pusat dan negeri tidak menumpukan kesejahteraan rakyat sebaliknya sibuk menaikan dan menjatuhkan orang tertentu tanpa sebab.
“Sebab kita berpendirian tiada guna PRN Melaka ini, sebab rakyat tidak akan mendapat manfaat daripadanya. Oleh sebabnya Pejuang tidak akan bertanding dalam pilihan raya ini,” kata beliau. -UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment