Bekas AG:
Agong perlu tolak jika Muhyiddin minta bubar parlimen
RK Anand
Ketika pentas
politik hangat dengan spekulasi yang mengatakan pentadbiran Perdana Menteri
Muhyiddin Yassin dalam keadaan genting, mantan peguam negara Tommy Thomas
memberi peringatan kepada pihak yang menggesa pilihan raya.
Dalam wawancara
dengan Malaysiakini, Thomas, yang menyebut Muhyiddin sebagai
“outgoing prime minister” (perdana menteri yang bakal menamatkan perkhidmatan)
mengatakan ada kemungkinan presiden Bersatu itu menasihati Yang di-Pertuan
Agong untuk membubarkan Parlimen.
"Baginda harus
menolaknya," tambahnya.
Thomas mengatakan
bahawa adalah tidak bertanggungjawab untuk mengadakan pilihan raya di tengah
lonjakan kes Covid-19, yang telah meragut lebih dari 11,000 nyawa di Malaysia.
"Pilihan raya
di Sabah (tahun lalu) menunjukkan betapa bahayanya (mengadakan pilihan raya
ketika pandemik).
"Saya tidak
hanya bercakap tentang orang yang mengundi hari pengundian tetapi juga masa
kempen. Agar demokrasi berkembang, anda tidak boleh menghapuskan tempoh kempen
dan berkempen boleh menyebabkan lebih banyak jangkitan dan kematian.
"Jadi,
mengadakan pilihan raya pada saat ini akan menjadi bencana dan malapetaka yang
besar
"Sangat
semberono dan tidak bertanggungjawab bagi Muhyiddin untuk meminta ini (bubarkan
parlimen). Ini akan menunjukkan dia hanya peduli terhadap masa depan
peribadinya dan bukan pada rakyat,” tambahnya.
Dalam catatan yang
sama, Thomas merujuk bagaimana kabinet telah menasihati Agong untuk
mengisytiharkan darurat di Sarawak hingga 22 Februari tahun depan untuk
menangguhkan pilihan raya negeri kerana Covid-19.
"Ini adalah
keputusan yang tepat. Oleh itu, bagaimana anda boleh melakukan perkara yang
betul untuk Sarawak tetapi, sebaliknya, meminta pilihan raya umum?"
tambahnya.
Sebelum ini,
Muhyiddin mengatakan bahawa dia sedia berdepan usul undi percaya di Dewan
Rakyat pada bulan September.
Dia juga mengatakan
bahawa Agong telah bersetuju.
Ini berikutan
dakwaan bahawa perdana menteri telah kehilangan majoriti setelah Presiden Umno
Ahmad Zahid Hamidi dan ahli parlimen parti yang bersekutu dengannya menarik
sokongan mereka terhadap Muhyiddin.
Namun, Muhyiddin
menegaskan sebaliknya, sementara pengkritiknya menuntut agar Parlimen bersidang
secepat mungkin untuk mengundi usul tersebut, dengan menyifatkan penangguhan
sehingga September akan memberikan ruang untuk menyusun pembelotan.
Sementara itu,
Thomas mengatakan bahawa dalam keadaan seperti ini, Perkara 43 (4) Perlembagaan
Persekutuan diguna pakai.
Perkara 43 (4)
menetapkan bahawa seorang perdana menteri diwajibkan untuk mengundurkan diri
jika dia tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli parlimen.
Sekiranya benar
bahawa Muhyiddin tidak lagi memiliki majoriti, Thomas menasihatkan perdana
menteri itu untuk memilih pendekatan yang bermaruah dan berundur.
“Daripada kalah
dalam undi, perdana menteri harus menjaga maruahnya. Dia harus memohon
menghadap Agong dan mengundurkan diri,” tambahnya.
Muhyiddin dilantik
sebagai perdana menteri pada 1 Mac tahun lalu, berikutan rampasan kuasa politik
yang menyebabkan kejatuhan pemerintahan Pakatan Harapan yang berusia 22 bulan.
Pentadbirannya
dikritik hebat kerana dilihat gagal menangani pandemik Covid-19, walaupun
berjaya meyakinkan Agong untuk mengisytiharkan darurat, yang juga menyebabkan
penggantungan Parlimen.