SHAH ALAM - Mentaliti yang menganggap ahli Parlimen atau wakil rakyat sebagai tempat untuk mengadu mengenai perkara berkaitan kebajikan perlu diubah daripada pemikiran masyarakat Malaysia sekiranya mahu membebaskan politik negara daripada amalan rasuah dan politik wang.
Pengasas dan Presiden Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah (ACFE)-Cawangan Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, sikap sedemikian menyebabkan ahli Parlimen perlu mendapatkan pembiayaan kewangan yang tinggi untuk aktiviti politik mereka.
Menurut beliau, pemikiran tersebut tidak sepatunya diamalkan kerana tugas utama wakil rakyat adalah untuk menggubal undang-undang di peringkat Parlimen.
“Pemikiran rakyat yang memperlakukan ahli politik seperti pegawai kebajikan mendorong atau menyebabkan mereka perlu mengumpulkan duit. Ada seorang menteri yang memberitahu saya, dia perlu membelanjakan sebanyak RM100,000 di kawasannya setiap bulan.
“Tahu sebab apa? Ini kerana semua datang dekat dia untuk minta duit. Baiki motor dan nak pergi ke Kuala Lumpur pun minta duit. Jadi kalau kita ada mentaliti macam ini, habis le,” katanya ketika menjadi panelis program webinar Bicara Polisi bertajuk Risiko Rasuah: Pembiayaan Politik dan Akauntabiliti pada Rabu.KETAHUI LANJUT
Program yang dianjurkan oleh Institute of Public Policy and Management (INPUMA), Universiti Malaya itu dimoderatorkan oleh Felow Utama Institut Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff.
Turut menjadi panelis ialah Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Tugas-tugas Khas dan Parlimen) Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Farah Adura Hamidi dan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Profesor Dr Edmund Terence Gomez.
Sementara itu, Akhbar menjelaskan, usaha mengubah mentaliti terhadap wakil rakyat itu merupakan langkah jangka panjang yang perlu dilakukan oleh rakyat negara ini selain daripada tindakan jangka pendek melalui penguatkuasaan undang-undang.
Sehubungan itu, beliau berkata, ia perlu dimulakan melalui penerapan nilai yang dibuat melalui pendidikan sejak kecil dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk sekolah dan ibu bapa di rumah lapor Sinar
***** Jika semasa berkempen dalam Pilihanraya kalau dikata kepada Pengundi-pengundi semua semasa berkempen "Wakil Rakyat bukan Pegawai Kebajikan".. rasanyalah Calon itu berkemungkinan hilang deposit.. atau 'bungkus awal' orang kata..
Tapi.. apa boleh buat kerana selama ini, ramai antara kita kurang memahami mengenai tugas dan tanggungjawab yang sebenarnya ahli-ahli parlimen (MP) dan ahli-ahli dewan undangan negeri (ADUN).
Apabila persoalan ini diajukan kepada kalangan masyarakat, jawapan mereka adalah spontan, iaitu peranan MP dan Adun adalah hampir sama, yakni:
- Melawat dan memeriksa longkang dan parit tersumbat
- Menerima aduan mengenai jalanraya yang rosak
- Kekurangan tempat letak kereta
- Sampah yang tidak dikutip
- Melawat seseorang yang telah dimasukkan ke dalam hospital
- Meziarahi keluarga simati menghadiri upacara perkahwinan
- Menghadiri acara dewan-dewan perniagaan dan persatuan-persatuan masyarakat
- Membantu penduduk memperolehi lesen-lesen perniagaan ataupun penjaja
- Membantu dalam rayuan meringankan kadar kompaun
- Menerima aduan mengenai keperluan infrastruktur yang berkurangan seperti tiang lampu, lampu isyarat, bekalan elektrik terputus, talian telefon dan jalan-jalan yang tidak diturap
- Dan berbagai-bagai lagi kegiatan masyarakat setempat.
Kesemua bentuk kegiatan yang terpaksa dilayan oleh MP dan Adun ini telah banyak menghabiskan masa para wakil rakyat yang sepatutnya digunakan sepenuhnya untuk memenuhi tugas dan tanggungjawab mereka yang sebenarnya.
Hakikatnya adalah, kesemua bentuk kegiatan di atas bukannya suatu tugas dan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh setiap MP dan Adun
- Menyertai atau mengambil bahagian di dalam jawatankuasa-jawatankuasa Parlimen atau dewan di dalam merangka dasar dan undang-undang
- Memantau dan memerhati segala bentuk belanjawan kerajaan
- Membentang dan membahas rang undang-undang atau enakmen negeri
- Membentang dan membahaskan dasar-dasar yang sedang atau bakal dilaksanakan oleh kerajaan
- Menerima dan mengkaji peruntukan dan belanjawan yang dibentangkan oleh kerajaan
- Memerhati segala perlaksanaan kerajaan agar ianya dapat memberikan manfaat kepada rakyat dengan sepenuhnya.
Kesemua bentuk tugas dan tanggungjawab MP dan Adun pada keseluruhannya hendaklah berdasarkan kepentingan rakyat jelata dan bukannya parti-parti politik yang dianggotai oleh mereka.
Tapi.. perkara yang dah ditanam dalam kepala masyarakat selama berpuluh tahun dah.. boleh ke kita nak ubah?
No comments:
Post a Comment