Saturday, April 10, 2021

Harap jangan tak harap

Dengan memberi harapan baru  (Harapan 2.0) kepada rakyat , itulah PH. Jangan ada lagi "gangguan-gangguan"  kali kedua dengan memasukkan 'virus' . Jagalah hati dan perhatian rakyat , jangan dipermainkan, jangan rakyat didagangkan . Move on lah PH



HARAP JANGAN TAK HARAP

9 April 2021

MENGINSAFI bahawa pandemik COVID-19 telah mendatangkan dampak yang cukup mendalam kepada Rakyat, Ekonomi dan Negara, dan Dasar-Dasar Perikatan Nasional jelas gagal menangani sepenuhnya;

MENYESALI bahawa Demokrasi di Malaysia telah parah akibat malapetaka pengkhianatan dan pembelotan politik yang terkutuk sehingga menyebabkan kepercayaan Rakyat terhadap Demokrasi itu sendiri luntur dan terhakis;



MEYAKINI bahawa Rakyat mengharapkan suara, harapan, kegusaran dan rintihan mereka difahami, dijuarai dan diperjuang, termasuk dalam isu kehilangan pekerjaan dan pendapatan;

MEMAHAMI bahawa usaha memulihkan Negara terletak pada kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-15, justeru usaha menggembleng seluruh kekuatan perlu berasaskan Prinsip dan Agenda Reformasi, manakala kelangsungan Kerajaan bergantung kepada kestabilan dan keutuhan Politik;

MENYEDARI bahawa Pakatan Harapan adalah sebuah pakatan politik yang dinamik, demokratik dan pragmatik yang bersedia menggalas tanggungjawab besar memulihkan Negara;

MAKA PEMUKIMAN PIMPINAN Pakatan Harapan di Port Dickson pada 8 dan 9 April 2021 memutuskan bahawa:

1) Pengerusi Pakatan Harapan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengetuai kempen Pilihan Raya Umum ke-15 dan seterusnya diangkat sebagai calon Perdana Menteri Malaysia;

2) Kami mendesak Perdana Menteri untuk segera menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen dan senafas dengan itu menamatkan Darurat;

3) Kami mengulangi ikrar, tekad dan iltizam untuk terus memperkukuh Pakatan Harapan dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 dan seterusnya memaparkan upaya untuk mentadbir dan memerintah Negara dengan amanah, demokratik dan adil;

4) Kami mengiktiraf potensi dan kepentingan Wilayah Sabah dan Sarawak sebagai enjin pertumbuhan ekonomi yang baharu dalam memacu pembangunan negara, dengan jaminan pengagihan sumber yang lebih saksama, seiring dengan sinergi pembangunan ibukota baharu Indonesia di Kalimantan;

5) Kami akan menggerakkan semua wakil rakyat dan pimpinan negeri untuk memerah seluruh potensi dan keupayaan bagi menangani isu-isu dasar berkait pemulihan Ekonomi dan kesejahteraan Rakyat. Kami juga akan meneruskan proses libat urus bersama semua pemegang taruh untuk membentuk manifesto Pakatan Harapan;

6) Kami mengambil pendirian yang terbuka untuk berunding dan bekerjasama dengan mana-mana pihak, berdasarkan Prinsip dan Agenda Reformasi demi kepentingan Rakyat; dan

7) Kami akan memulakan siri jelajah ke negeri-negeri untuk memberikan penerangan kepada Rakyat berkait pendirian dan tawaran Pakatan Harapan menyentuh isu Ekonomi Rakyat, Kestabilan Politik dan Krisis Pandemik COVID-19.

No comments: