SEGERAKAN
PENUBUHAN PARTI BARU!!
Ramai berpendapat bahawa bekas pemimpin-pemimpin PAS
yang tewas pada pemilihan awal bulan Jun harus menubuhkan parti baru dengan
seberapa segera yang mungkin. Menurut mereka perkara ini penting bagi
memastikan momentum rakyat yang memberikan sokongan kepada PR pada PRU 13 lalu
dapat dikekalkan.
Kalangan pemerhati politik melihat bahawa kekalahan
pemimpin-pemimpin seperti Mat Sabu, Salahuddin Ayub, Mahfuz dan lain-lain pada
pemilihan lepas adalah bukan secara kebetulan malah ianya telah dirancang
awal-awal lagi oleh kumpulan lawan mereka. Jika tidak masakan mereka boleh
tewas secara berkumpulan, di mana hanya Mazlan Aliman sahaja yang terpilih.
Yang lain semuanya tersungkur ditangan para perwakilan yang jelas sudah
seolah-olah tidak dapat lagi menerima pemimpin-pemimpin terbabit ini secara
total. Mereka tewas kepada calon-calon yang ada antaranya tidak dikenali tetapi
kerana adanya gerakan terancang maka orang seperti itu pun boleh menang dan
dipilih oleh perwakilan.
Pemilihan itu
juga dilihat begitu kotor jika diukur dari standard etika pemilihan PAS pada
muktamar-muktamar sebelum ini. Awal-awal lagi FB rasmi sebuah sayap parti yang
berpengaruh menyenaraikan calon-calon yang mesti dipilih oleh perwakilan
ditambah pula dengan edaran 'chai' tanpa segan silu dilakukan sebelum dan
ketika pemilihan berlangsung. Gambar-gambar yang menjadi bukti ujud 'chai'
jelas dimuatkan oleh portal-portal berita dan media sosial pada masa pemilihan
sedang berlangsung. Malah perwakilan
jelas begitu terpengaruh dengan 'kempen' yang dilakukan oleh pihak yang menang.
Pemimpin yang tertinggi parti pun mengeluarkan kenyataan terbuka memberi
katadua kepada perwakilan samada ingin memilih pemimpin yang setia DAP atau
pemimpin yang setia kepada PAS. Lebih awal lagi ketika pemilihan di peringkat
Kawasan, calon-calon yang tidak sehaluan telah dicantas dan ditewaskan dengan
kerja-kerja lobi, kempen dan fitnah yang dilakukan oleh kumpulan-kumpulan
tertentu.
Hasilnya pemimpin seperti Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin, Dr
Rani Osman, Adly Zahari tersungkur di kawasan masing-masing. Perwakilan yang
mewakili PAS Kawasan dan Dewan-dewan diatur bagi memastikan mereka mengundi
kumpulan yang menang.
Media baru dan
media sosial digunakan sepenuhnya untuk mencincang lumat
'pengkhianat-pengkhianat' ini dengan label dan gelaran yang sinis dan
menyakitkan. Ini semua kerja-kerja yang dipelopori oleh Umno kini berjangkit ke
dalam PAS. Tidak cukup dengan itu selepas keputusan diumumkan, pemimpin atasan
PAS mengeluarkan kenyataan yang pedih di mana mereka menyatakan bahawa
kekalahan pemimpin-pemimpin ini adalah proses penapisan ertinya
pemimpin-pemimpin yang tewas seolah-olah tidak berguna dan tiada nilai malah
mungkin sebagai pengkhianat parti. Tidak dapat dipastikan apa sebenarnya sebab
mereka ini disingkirkan dengan begitu drastik.
Siapa dalang dan 'mastermind'nya
dan siapa pula yang menjadi Sponsornya. Mungkinkah adanya tangan-tangan ghaib
yang menjadi pencatur dan pengarah kepada gerakan 'menghapuskan'
pemimpin-pemimpin yang tewas tersebut. Ada juga yang mengkategorikan kekalahan
ini sebagai proses 'ethnic cleasing' yang mahu membebaskan PAS dari pemimpinan
yang tidak sehaluan dan sependapat dengan Presiden dan Ulama'. Ini berdasarkan
kenyataan pimpinan sayap parti yang menyatakan, sukar untuk Presiden membuat
keputusan dalam mesyuarat kerana bilangan pimpinan yang tidak sependapat dan
sehaluan dengan Presiden lebih ramai dalam AJK PAS Pusat sebelum ini.
Kini semuanya telah berlaku dan ianya sukar
untuk diundurkan kebelakang. Ada yang menyatakan mengapa mereka yang kalah
tidak menerima kekalahan itu seperti sebelum ini. Rata-rata mereka ramai yang
merasai kekalahan dalam pemilihan tetapi tiada yang melompat seperti sekarang.
Jawapannya mudah, kekalahan sebelum ini adalah kekalahan dalam proses pemilihan
yang biasa dan tiada gerakan dan perancangan seperti yang berlaku baru-baru
ini. Sebelum ini yang kalah pun tidak kalah secara blok macam ini. Tetapi kali
ini jelas sekali ianya dirancang dengan teliti sejak dari pemilihan cawangan,
dewan-dewan dan Kawasan sehingga semuanya 'ghoibul ghuyub'.
Hati mana yang
tidak terguris, perasaan mana yang tidak terkesan dengan gelaran dan
kenyataan-kenyataan yang menusuk kalbu di atas. Selepas dihinjak dan
dibenamkan, beberapa orang dari mereka dilantik menjadi AJK Pusat antaranya
Salahuddin, Mahfuz dan Taufik Abdul Ghani.
Namun sehingga kini ketiga-tiga
mereka masih mengeluarkan kenyataan menerima atau menolak perlantikan itu.
Tidak ada gunanya lagi mereka untuk terus menjadi penumpang di dalam PAS,
kerana khidmat dan sumbangan mereka sudah tidak diperlukan. Malah jika inilah
perangai pimpinan PAS iaitu tidak boleh menerima kepelbagaian pendapat dan
pandangan, tidak mustahil perkara yang sama akan berulang pada pemilihan akan
datang. Mana-mana pimpinan yang tidak sehaluan akan menerima nasib yang sama
dengan pemimpin-pemimpin yang tewas baru-baru ini.
Dari riak dan geraklaku pemimpin-pemimpin
yang tewas itu jelas mereka sebenarnya sedang merancang tindakan tertentu bagi
meneruskan kerjaya politik mereka. Ramai pemerhati politik yakin pemimpin-pemimpin yang tewas itu
mempunyai karisma dan skil masing-masing yang memungkinkan kesinambungan
perjuangan mereka akan terus bersinar. Parti baru yang ditubuhkan kelak diharap
dapat diterima oleh DAP dan PKR untuk membentuk Pakatan Baru. Usaha ke arah
penubuhan parti baru dilihat masih terus berjalan dan tanda-tanda ianya
diterima baik oleh DAP dan PKR jelas kelihatan. Jika ianya benar-benar berlaku
maka satu lagi sejarah dicatatkan. Politik Malaysia akan melalui satu lagi era
iaitu era pasca PR dengan memasuki era baru iaitu era Pakatan Rakyat 2.0. Kita
sama-sama tunggu dan lihat ................. ~ Pemerhati Politik
1 comment:
Macam ni dah punya haprak jadinya, menusahkan semua orang biasa, aku dah x kira siapa dah. ABU BN (asalkan bukan umno dan B N, perintahlah asalkan ugama dan keadilan ditegakkan semula bagi Muslim dan non Muslim ), ikut landasan ugama contoh akhlah maam nik Aziz.
Post a Comment