mahkamah menikam 5 hakim – Mohd Sayuti Omar
Published: 11
February 2015 8:44 AM
Di sini saya poskan
ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mahkamah yang ditujukan khas kepada lima
hakim yang mendengar rayuannya semalam yang berakhir dengan kekalahan berpihak
kepadanya.
Sesudah
Ketua Hakim Ariffin Zakaria membaca keputusan mengekalkan keputusan Mahkamah
Rayuan yang mengenakan lima tahun penjara ke atasnya, Anwar diberi peluang
untuk berkata sesuatu sebagai kesimpulan peribadi daripadanya.
Saya
tidak mahu membuat tafsiran berlebihan terhadap apa yang beliau simpulkan,
tetapi ia merupakan satu ucapan tajam yang kata-kata dilumuri dengan rasa
kecewa dan dukacita yang amat sangat kepada proses perbicaraan kali ini yang
dianggap sebagai satu perbicaraan yang sama yang dihadapi sebelum ini dan ia
adalah satu frabikasi lengkap daripada konspirasi bagi menamatkan karya
politiknya.
Ketajaman dan kepedihan tikaman ucapan
itu sehingga kelima-lima hakim itu bangun meninggalkan mahkamah tanpa mendengar
sehingga habis Anwar berucap setelah mereka memberi peringatan kepada Anwar
agar berhenti berucap.
Pengucapan
akhir Anwar ini saya kira penting dan menjadi satu rangkaian kata-kata
bersejarah daripada seorang pesalah kepada hakim yang menjatuhkan hukuman ke
atasnya. Kita tidak dapat mengesahkan siapa yang benar dan siapa bersalah,
kecuali Allah sang hakim Yang Maha Adil saja mengetahuinya.
Tetapi
pengucapan yang disepuhi racun yang terbit daripada jiwa seorang yang
menganggap dianiaya ini sangat menikam hati dan pedihnya sampai ke hulu hati
kesannya bukan saja kepada Anwar dan seluruh rakyat tetapi kelima-lima hakim
itu akan mengambil sebagai sejarah dalam kehidupan mereka sebagai hakim pertama
kali ditikam sedemikian rupa oleh orang yang mereka hukum.
Dan
salah satu rangkaian kata daripada ucapan ini bisa dijadikan hikmah ialah
tentang kata janji Anwar yang beliau kekal dengan pendirian tidak bersalah dan
menganggap pertuduhan liwat itu jelik dan insiden yang tidak pernah berlaku.
Berikut
adalah ucapan berkenaan:
Saya
kekal dengan pendirian tidak bersalah ke atas pertuduhan jelik ini – insiden
ini tidak pernah berlaku.
Ini
merupakan satu fabrikasi lengkap yang terhasil daripada satu konspirasi politik
untuk menamatkan karier politik saya.
Kalian
tidak langsung memberikan pertimbangan sewajarnya ke atas fakta kes yang
diketengahkan oleh peguam saya sebermula hari pertama lagi – betapa insiden ini
tidak pernah berlaku sama sekali.
Saya
mampu memandang ke hadapan, tetapi melihat kepada kenyataan anda hari ini,
nyata sekali ia sia-sia. Kelihatan seperti saya diperlekeh sekali lagi
sebagaimana yang berlaku di Mahkamah Rayuan, dan ia terus dilakukan di sini
selepas kami mengharungi ranjau perbicaraan selama 8 hari!
Bukan
satu kebetulan bagaimana Pejabat Perdana Menteri mampu mengeluarkan kenyataan
bertulis penuh atas keputusan kalian hanya beberapa minit selepas kalian
menyampaikan penghakiman sebelum menjatuhkan hukuman.
Tatkala
tunduk patuh pada perintah penguasa politik, kalian menjadi sebahagian daripada
rakan kongsi dalam jenayah pembunuhan integriti dan kebebasan kehakiman. Kalian
menggadaikan jiwa kalian kepada syaitan, menukarganti hati nurani kalian dengan
keuntungan materialistik dan kesenangan serta jaminan jawatan.
Kalian
mempunyai kesempatan terbaik untuk menebus kekhilafan – dengan memperbetulkan
kesalahan masa lalu dan meletakkan kehakiman atas paksi yang benar serta
mengukir nama kalian untuk anak-cucu kalian kenangi sebagai pembela keadilan
yang sebenar-benarnya.
Akan
tetapi kalian memilih untuk kekal di sisi gelap dan menenggelamkan moral kalian
dalam kancah kepalsuan dan tipu muslihat. Apakah kalian tahu betapa kalian kini
sedang bergelumang kekotoran dan penipuan lantas ketidakadilan tersebut akan
menyelinap di setiap sudut Istana Kehakiman ini, dan saya bersimpati kepada
kalian.
Benar,
kalian menghakimi saya – dan saya akan, untuk ketiga kalinya, melangkah ke
penjara, tapi ketahuilah yang saya sama sekali tidak akan tunduk. Cahaya kekal
menyinari saya.
Tetapi
kalian yang harus berasa malu tatkala kalian akan dinilai sejarah sebagai
pengecut terulung atas nama kemanusiaan. Dengan kedudukan dan kuasa kehakiman
yang tinggi, kalian membungkam begitu rendah untuk diperalat oleh penguasa
politik.
Mahasiswa
undang-undang dan kalangan profesor jurispruden akan meneliti penghakiman
kalian dan di saat mereka membedah alasan serta keputusan kalian, kredibiliti dan
integriti kalian akan dicarik halus. Di saat itu kalian akan didedah sebagai
perekayasa yang memakai jubah kehakiman hanya untuk memperlekeh keadilan.
Jangan
sesekali kalian lupa, sebagaimana kita semua, kalian juga harus menjawab kepada
Sang Pencipta. Kalian harus menjawab kenapa kalian berpaling daripada
prinsip-prinsip yang kalian lafaz dan sumpah untuk ditegakkan.
Mereka
yang datang ke kamar mahkamah perlu menunduk hormat dan memanggil kamu sebagai
Yang Arif, tetapi tidakkah kamu tahu satu hari nanti kamu juga perlu menjawab
kepada Yang Maha Arif? Di saat itu kamu memerlukan lebih daripada tunduk hormat
untuk menghuraikan mengapa kamu dengan sengaja melanggar perintah Allah melalui
Ayat 58 Surah An-Nisa.
Melangkah
ke penjara, saya anggap sebagai satu pengorbanan buat rakyat negara ini Saya
berjuang hampir seluruh kehidupan saya demi rakyat negara ini – dan demi rakyat
jugalah saya bersedia untuk ke penjara dan menghadapi sebarang bentuk akibat.
Perjuangan
saya akan diteruskan, ke mana saja saya dihantar dan apa jua yang diperlakukan
ke atas saya.
Kepada
sekalian sahabat dan rakyat Malaysia, izinkan saya merakamkan penghargaan jauh
dari sanubari saya atas setiap dokongan yang telah diberikan. Allah SWT menjadi
saksi, saya berjanji tidak akan didiamkan, saya akan berjuang untuk kebebasan
dan keadilan dan saya tidak akan menyerah! – msomelayu.blogspot.com,
11 Februari, 2015.
* Ini
ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The
Malaysian Insider.
No comments:
Post a Comment