Kampung Kepayang Ipoh, warisan bakal dirodok buldozer? Oleh Hafiz Zainuddin
DI CELAH kesibukan warga kota Ipoh mencari rezeki, di sebalik ghairah kerajaan dan pemaju membuka taman perumahan dan bandar baru, di situ bersemayam sepi sebuah tanah warisan, kampung tradisi Melayu yang hampir dilupakan, Kampung Kepayang.
Berusia lebih 100 tahun dengan catatan sejarah panjang dan lagenda lampau, kampung ini adalah satu-satunya Kampung Melayu tradisional di tengah kota yang masih bernyawa, hijau dan damai. Di sini juga duduk letaknya sekitar 300 keluarga yang menumpang teduh di atas tanah pusaka warisan nenek moyang mereka.
Mujurlah kampung ini tidak senasib seperti Kampung Paloh dan perkampungan Melayu lain di tengah bandar yang kini hanya terakam dalam sejarah masa dilahap jentolak dan buldozer atas nama pembangunan. Jika nasibnya serupa, maka Kampung Kepayang tidak terkecuali bakal meninggalkan jasa mencatat kelompok demi kelompok keluarga Melayu sebagai statistik yang pernah mendiami bandar Ipoh. Tidak lebih daripada itu.
Keluarga Keturunan Dato’ Panglima Kinta, Pasak Kepayang
Perdu rimbun buluh yang meliuk ditiup angin menyambut saya pada hari raya kedua berkunjung ke sini. Perasaan saya tidak lebih seperti pulang berhari raya ke kampung halaman, apa lagi saya tidak pernah merasa pulang ke kampung memandangkan kedua-dua arwah nenek dan datuk saya memang sudah lama berhijrah ke Ipoh.
Hari itu saya mengambil kesempatan memenuhi jemputan teman, Faizal Zainol ke majlis rumah terbuka keluarga besarnya; Himpunan Keluarga Keturunan Dato’ Panglima Kinta, Pasak Kepayang. Bagi saya, alangkah bertuah jika dapat saya jejak susur galur keluarga keturunan saya, sebab, baka keturunan ini boleh jadi kebanggaan. Walaupun tidak kenal saudara jauh, tidak pula terus hilang jejak mereka, abah saya pernah khabarkan bahawa keturunan keluarga kami berasal daripada suku Bugis yang merantau ke Tanah Melayu dan turut punya pertalian darah dengan Melayu Deli di Medan. Malangnya kami terputus hubungan dengan saudara mara di seberang sebaik sahaja datuk saudara saya, Pak Su yang menetap di Kampung Baru, Kuala Lumpur meninggal dunia beberapa tahun lalu.
Suasana Kampung Kepayang hampir tidak berubah berbanding dua tahun lalu ketika saya berada di sini melainkan tersergam sebuah masjid baru yang menggantikan masjid lama berhampiran padang anak-anak bermain bola yang berhadapan dengan tanah perkuburan lama. Tidak pula saya perasan kalau-kalau sudah ada pusat kraftangan atau kompleks sejarah dibina. Selain itu, semuanya tak terusik, biasa sahaja kecuali beberapa rumah penduduk yang baru dicat.
Uniknya, biar pun kampung ini berada di tengah kota Ipoh, menjejakkan kaki ke sini menjanjikan satu suasana kontra. “Kampung ni macam satu kampung dekat Bakelalan, Sabah nu,” kata Cikgu Azmi dengan nada seloroh ketika duduk bersembang sambil menjamah kambing bakar.
Cikgu Azmi adalah seorang daripada waris keluarga besar itu. Di suatu ketika tatkala Lembah Kinta masyhur sebagai lubuk perusahaan bijih timah, Dato’ Panglima Kinta adalah orang yang bertanggungjawab menguruskan pentadbiran daerah ini sebelum bertukar tangan kepada penjajah Inggeris.
Saya mengenali Cikgu Azmi ketika saya dan beberapa orang teman, saudara Kyl Mohamad, Ezham Mohd Noh, dan Faizal Zainol melakukan penyelidikan ketika aktif dengan komuniti bebas dua tahun lalu.
Selain Cikgu Azmi, tidak boleh dilupakan ialah Suhaimi Mohd Nazir atau lebih mesra dipanggil Udik. Beliau adalah Setiausaha Persatuan Keturunan Dato’ Panglima Kinta Pasak Kepayang. Udik adalah antara orang yang paling banyak memberi maklumat kepada kami mengenai sejarah kampung itu. Begitu juga Ketua Kampung, Kampung Kepayang ketika pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) Perak, Haji Bakri atau lebih dikenali sebagai Pak Wer. Mereka adalah individu yang banyak membantu kajian kami selain ramai lagi responden penduduk kampung dan ahli akademik yang ditemui.
Peri penting survival Kampung Kepayang Ipoh
Kami (komuniti bebas) mengambil Kampung Kepayang sebagai subjek kajian dan penyelidikan memandangkan ia adalah sebuah kampung tradisional Melayu yang unik kerana berada di tengah bandar dan masih diduduki. Kebetulan, kampung ini juga bukan kawasan asing bagi saya, Kyl dan Faizal. Inilah tempat kami mencari buluh untuk sebarang aktiviti pasukan pengakap kami di zaman sekolah dulu – Pergerakan Pengakap 08 Kinta, Sekolah Menengah Anderson Ipoh.
Melalui kajian itu, hasilnya kami terbitkan melalui penulisan dan sebuah dokumentari berdurasi 32 minit 32 saat berjudul “Tanah Secupak: Di Sebalik Kampung Kepayang”. Dokumentari ini merungkai susur galur sejarah Lembah Kinta sebermula abad ke 15 lagi. Ia termasuklah Perang Perak pada 1875 membabitkan Sultan Abdullah, Sultan Ismail, Dato’ Maharaja Lela dan JWW Birch. Turut diselitkan bersama adalah lagenda popular yang diceritakan orang lama di situ secara lisan mengenai lagenda Gunung Mat Sirat dengan mitos Sang Kelembai dan istana raja yang menjadi batu.
“Tanah Secupak: Di Sebalik Kampung Kepayang” merupakan sebuah dokumentari mengenai sejarah dan survival sebuah kampung yang terletak di tengah bandaraya Ipoh. Bagaimanapun, melihatkan keadaannya sekarang, saya kurang pasti masih adakah pihak yang prihatin terhadap keberlangsungan survival kampung ini melainkan daripada perkhabaran penduduk, tanah di Kampung Kepayang ini sentiasa diintai pemaju untuk dibangunkan kawasan perumahan dan bandar baru.
Dokumentari mengenai Kampung Kepayang bukan satu lagi projek syok sendiri ‘wannabe-wannabe’ yang kononnya mahu jadi pembuat filem. Pada 25 November 2011, Tanah Secupak: Di Sebalik Kampung Kepayang turut serta dalam Festival Dokumentari Finas bersama 100 penyertaan individu dan syarikat penerbitan perfileman yang lain bertempat di Studio Sound Stage Finas dengan kerjasama Crossing Borders International Forum Pitching Forum dan The 1st Finas Documentary Campus Conference.
Kami tahu, dengan sumber tenaga dan peralatan yang sangat minimum, masakan kami boleh menyaingi pembikin dokumentari berpengalaman dan hebat lain untuk memenangi anugerah. Tetapi, barang diingat, tujuan Tanah Secupak: Di Sebalik Kampung Kepayang ini menyertai festival dokumentari ini semata-mata bagi mengetengahkan isu, permasalahan dan sejarah silam yang tidak diketahui orang walhal kampung itu adalah sebuah kampung tertua di Ipoh setaraf dengan kewujudan Kampung Baru di Kuala Lumpur.
Apa nasib Kampung Kepayang selepas ini?
Sehingga kini nasib dan survival Kampung Kepayang menjadi persoalan besar. Jika kampung ini terus terpinggir atau perlahan demi perlahan lenyap dalam keghairahan pemaju dan kerajaan meneroka bandar dan perumahan baru, warisan hanya akan tinggal nama, seperti mana Penjara Pudu yang menyembah bumi, Stadium Merdeka yang terancam, bangunan lama di Jalan Sultan yang tiada masa depan begitu juga dengan nasib Kampung Baru, Kuala Lumpur yang menjadi rebutan taukeh dan pelabur.
Dalam hal ini, masyarakat harus ambil kisah. Wakil rakyat harus peduli. Kerajaan harus cakna. Status tradisi dan warisan bukan hak milik mutlak kuih samperit lemang, ketupat mahu pun dodol.
Benar, Kampung Kepayang wajar dikekalkan imejnya dengan wajah kampung warisan. Tetapi, biarlah wajah kampung warisan ini dihargai, diwartakan sebagai kawasan pelancongan bersejarah seperti harumnya nama Pasir Salak dengan kompleks sejarahnya, begitu juga Kampung Orang Asli Sungai Bumbun, Pulau Carey dan beberapa tempat lain.
Kampung Kepayang perlu melalui sebuah modul pembangunan lestari. Industri desa seperti pembuatan makanan tradisi dan kraftangan harus dibangunkan. Kompleks sejarah walaupun kecil perlu dibina. Makam dan kubur lama biarlah bernisan.
Inilah Kampung yang menjadi saksi jatuh bangun Lembah Kinta sebagai hub bijih timah tersohor suatu ketika dulu. Ini juga kampung yang menjadi bukti kemandirian orang Melayu bersama masyarakat daripada suku dan kaum yang lain membangunkan bandar ini.
Bandar Ipoh yang terkenal sebagai kawasan perlombongan bijih timah tidak akan sempurna dengan peminggiran Kampung Kepayang. Pohon Ipoh beracun yang ditanam berhadapan city hall tidak cukup kukuh untuk menanggung segala cerita suka duka, sejarah jatuh bangun bandar, kaum buruh, petani dan semua suku masyarakat di bumi Perak ini.
Matahari jam 12 sudah hampir condong dan dalam sejam lagi berlangsungnya sembahyang fardu Jumaat. Elok sahaja lepas puas bersembang dengan Cikgu Azmi dan teman, saya minta diri beransur pulang meninggalkan majlis perhimpunan keluarga besar itu. Rasanya, segala yang dikongsi, elok benar kalau ditulis. Terima kasih buat Faizal dan seluruh kaum kerabat Dato’ Panglima Kinta Pasak Kepayang yang menjemput saya. Buat wakil rakyat, jengah-jengahlah bertanya khabar orang di sini. Akhirnya, masih tidak terlewat lagi rasanya untuk saya ucapkan salam Aidilfitri, maaf zahir dan batin. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment