Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin
GEORGETOWN - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu rakyat bersama-sama kerajaan untuk mempertahankan negara agar peristiwa pencerobohan kumpulan bersenjata rakyat asing di Lahad Datu, Sabah tidak berulang.
   
Beliau berkata walaupun negara dalam keadaan aman dan selamat selama ini, tetapi rakyat tidak boleh ambil mudah kerana musuh mencari peluang menceroboh dan mahu lihat negara kucar kacir.
  
"Dalam kejadian itu (Lahad Datu) ada wira kita terbunuh dan ada harga yang perlu dibayar untuk mendapat keamanan, ini memang kita tidak duga tapi ia berlaku.
   
"Jadi saya mahu rakyat bersama-sama dengan kerajaan untuk mempertahankan negara, supaya negara kita tidak diceroboh oleh musuh," katanya semasa berucap pada program santai dan ramah mesra bersama penduduk di Kampung Nelayan Teluk Kumbar, dekat sini hari ini.
   
Pada program yang dihadiri kira-kira 1,000 penduduk itu, Muhyiddin turut bersarapan pagi bersama-sama penduduk.
  
Beliau berkata situasi di Lahad Datu adalah terkawal kerana anggota pasukan keselamatan negara berjaya mengawalnya.
   
"Apa yang penting ialah perpaduan, kita tidak serupa, muka lain-lain, tetapi hasrat kita hanya satu iaitu mahukan perpaduan kerana hanya perpaduan dapat menjamin keamanan dan kemakmuran negara.
   
"Kita harus kekalkan perpaduan seiring dengan konsep 1Malaysia supaya peristiwa di Lahad Datu tidak berulang lagi kerana musuh negara memang mahu melihat rakyat menjadi kucar kacir supaya senang mereka (musuh) masuk," katanya.
   
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata 1Malaysia bukan hanya sekadar slogan tapi ia satu jaminan untuk rakyat hidup lebih selesa, makmur dan sejahtera.
   
Beliau berkata pemimpin negara sentiasa berusaha membantu rakyat bagi memastikan kehidupan di masa hadapan lebih baik berbanding sekarang.
   
"Mungkin apa yang kita lihat hari ini lebih baik berbanding 10 hingga 20 tahun dahulu, pemimpin negara sentiasa berusaha bagi memastikan rakyat hidup lebih baik dari masa ke semasa," katanya.
   
Pada majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan RM500,000 untuk menaik taraf jeti nelayan di Kampung Nelayan, Teluk Kumbar dekat sini. - Bernama