Utusan Penyebar Fikiran Rakyat perlu ditukar kepada Utusan Peracun Tegar fikiran Rakyat. Pengamal media utusan tersenyum bangga kerana berjaya cetuskan kegusaran, kebimbangan ,kegelisahan dan akhirnya kemarahan rakyat terhadap isu agama Islam yang dibebaskan dalam pengamalan rakyat negara ini.
Benteng ummah dan kesayangan aqidah umat Islam yang dipasak sejak zaman berzaman. Diperjuangkan penerusan para ulama kini disendakan dengan permainan politik kepaartian. Dengan ini ummah akan marah dan parti berlandaskan Islam akan dimangsakan dengan pemangsaan ini. Justeru parti perpasakkan bangsa atau sekular lain dilonjakkan sebagai parti yang baik ikhlas jujur dan lurus
Pluralisme agama merebak
KUALA LUMPUR 5 Nov. - Kenyataan bahawa orang Melayu bebas memilih agama mereka menjadi petanda fahaman pluralisme agama dan fahaman Islam liberal kini sudah merebak luas hasil gerakan aktif kumpulan tertentu.
Malah Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali (gambar) turut menyifatkan kenyataan tersebut sebagai satu laluan serta tiket percuma kepada gerakan-gerakan yang sentiasa mahu memesongkan akidah umat Islam antaranya gerakan kristianisasi.
Sememangnya kata beliau, kenyataan tersebut mempunyai implikasi yang sangat besar kepada generasi sekarang dan generasi akan datang apatah lagi sifatnya yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam.
''Saya tersentak membaca laporan dalaman yang Nurul Izzah membuat kenyataan bahawa rakyat Malaysia termasuk orang Melayu tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama tertentu. Mungkin kenyataan yang keluar dari mulut Nurul Izzah secara amnya kepada sesetengah pihak tidak dianggap serius.
''Tetapi jika ditinjau dari sudut akidah, syariah dan akhlak yang menjadi asas kehebatan Islam, sudah tentu kenyataan sedemikian bertentangan sama sekali dengan apa yang diajar kepada kita selama ini,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar dalam satu berita yang disiarkan portal propembangkang, Malaysiakini semalam menegaskan, rakyat tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama tertentu dan perkara itu juga perlu terpakai kepada orang Melayu.
Kenyataan itu disuarakan Nurul Izzah ketika menjadi salah seorang ahli panel Forum Negara Islam: Versi Mana; Siapa Bertanggungjawab? bagi menjawab pertanyaan peserta iaitu sama ada orang Melayu perlu diberikan kebebasan beragama seperti bukan Melayu anjuran Gereja Full Gospel Tabernacle di Subang Jaya, kelmarin.
Hasan kesal kerana dalam usaha pihaknya, Yayasan Murni Aqidah serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain mempertahankan akidah umat Islam, kenyataan seumpama itu datang daripada seorang pemimpin Melayu beragama Islam sendiri.
''Sekiranya pandangan Nurul Izzah menjadi kenyataan, ruang yang cuba ditutup bukan sahaja terbuka luas malah menjadikan gerakan memesongkan akidah bertambah kuat. Mereka mempunyai seluruh jentera dan keupayaan.
''Seperti diketahui, keupayaan kita membendung gejala memesongkan akidah mempunyai kelemahan dan batas-batas tersendiri. Bukan sahaja kita tidak mempunyai kuantiti dan kualiti tenaga pendakwah tetapi juga berdepan dengan orang yang mempunyai pemikiran dan pengaruh seperti Nurul Izzah dan konco-konconya.
''Kehadiran orang seperti ini dalam masyarakat kita pastinya menyulitkan lagi gerak kerja memurnikan akidah yang penuh berliku,'' katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Hasan berkata, di dalam forum tersebut, Nurul Izzah dikatakan turut menerima konsep seks bebas iaitu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
''Nurul Izzah juga mengulas persoalan LGBT. Beliau dikatakan menerima LGBT. Beliau juga menyarankan supaya kita menghormati mereka yang terlibat dengan LGBT dan menyatakan tidak menjadi satu kesalahan bagi mereka yang melakukannya dalam keadaan tersembunyi.
''Adalah jelas kenyataan yang dibuat oleh Nurul Izzah kelihatan saling tak tumpah seperti apa yang pernah disebut oleh ayahnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dalam banyak hal aliran pemikiran dan fahaman beliau mengenai LGBT selari seperti arca di cermin dengan hujah yang dikemukakan oleh Anwar,'' katanya.
Kata Hasan, gerakan itu menjadi bertambah mudah apabila Pas yang sepatutnya menjuarai isu akidah, syariah dan moral, kelihatan begitu terpesona dan terpaku dengan kelicikan Anwar.
''Ini menyebabkan rakyat Malaysia khasnya Melayu-Islam akan terjerumus dalam kancah akidah, syariah dan akhlak yang begitu mengerikan,'' katanya.
Dalam pada itu, Hasan mengingatkan kepada kepemimpinan gereja supaya tidak mengambil kesempatan dengan tibanya Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) untuk menganjurkan program yang menyentuh perkara-perkara dasar melibatkan masyarakat Islam.
''Dikhuatiri gerakan terancang ini akan menyebabkan masyarakat Islam semakin berpecah belah. Perpecahan sedemikian sudah tentu menguntungkan mereka yang gemar menangguk di air keruh.,'' katanya.
Beliau juga mahu kepemimpinan tertinggi Pas terutamanya golongan parasit tampil menyatakan pendirian berhubung dengan pandangan Nurul Izzah itu.
''Apakah mereka akan terus membisu dan rela membiarkan gejala kekusutan akidah terus menular? Apakah mereka memilih untuk terus menikus melihat fahaman pluralisme agama dan Islam liberal terus melonjak tanpa sekatan?,'' katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20121106/po_04/Pluralisme-agama-merebak#ixzz2BRLgTpgU
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment