Friday, September 16, 2011

Apa maknanya: Mansuh 1 ISA , Ganti 2 ISA

isa-haram-or-halal-copy3Tidak ada maknanya ISA dimansuhkan kelmarin. ISA adalah satu bentuk undang-undang tinggalan pejanjah bagi mengekalkan kekuasaan pemerintah pada waktu itu. Di bawah undang-undang ini sesiapa sahaja boleh ditahan tanpa dibicarakan dalam masa 24 jam, yang dicaj sebagai mengancam keselamatan negara.

Tafsiran longgar ini memberi ruang kepada pihak berkuasa memperalatkan undang-undang ini. dan kini perjuangan tahanan ISA dibawah Syed Noh yang mengerakkan Pemansuhan ISA telah berjaya.

Kegembiraan rakyat hanyalah seketika, sebaliknya tangan kanan yang menghulurkan salam, tangan kiri kerajaan kembali akan menyentap rakyat.

Kini janji mansuh ISA, dimansuhkan daripada sudut istilah dan bahasa. namun kerajaan kini akan mewujudkan 2 ISA yang baru bagi menggantikan ISA.




ISA Dimansuh & Diganti Dengan 2 Undang-Undang Baru Berkaitan Keselamatan - PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada malam Khamis mengumumkan bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Mengumumkan keputusan itu dalam perutusan khas Hari Malaysia, Najib berkata dua undang-undang baru itu akan digubal di bawah "semangat serta payung" Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.

Dalam perutusan yang disampaikan di hadapan lebih 800 hadirin di Angkasapuri dan disiarkan secara langsung menerusi RTM1 dan TV3, Perdana Menteri menegaskan bahawa undang-undang baru itu akan memperuntukkan tempoh tahanan polis yang lebih pendek daripada yang dijalankan pada masa ini.

Katanya, apa-apa tahanan lanjut hanya boleh dibuat dengan perintah mahkamah kecuali undang-undang berkaitan keganasan, masih dikekalkan bawah kuasa Menteri.

"Umumnya pula, kuasa untuk melanjutkan penahanan akan beralih daripada badan eksekutif kepada badan kehakiman kecualilah undang-undang berkaitan keganasan itu tadi," katanya.

Najib ketika mula-mula mengambilalih tampuk pemerintahan pada 3 April 2009 telah berjanji untuk mengkaji ISA secara komprehensif. Dalam perutusan tersebut, Najib menegaskan bahawa kerajaan akan memastikan hak asasi sesiapa sahaja yang terbabit di bawah undang-undang baru itu nanti terus terpelihara berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, kerajaan juga menjamin bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.

Perdana Menteri juga mengumumkan bahawa kerajaan akan turut memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

"Kajian semula komprehensif ini akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.

"Kerajaan juga akan mengkaji semula seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan," katanya.

Beliau juga berkata kebenaran berhimpun akan diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak dengan mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa.Najib berkata kerajaan juga tidak akan teragak-agak untuk meminda atau memansuhkan apa-apa undang-undang yang tidak lagi relevan.

No comments: