Friday, July 16, 2010

Bawah tajuk jangan kerana pasir !

Meneliti penulisan seorang intelektual sememangnya bermakna. Pertama cara mana daya intelek beliau itu dilontar dan difahami massa. Kerana khalayak yang membaca jika terangsang akan tulisan itu ianya dikira penulisan itu berkesan dan terkesan serta mencapai matlamatnya.

Namun demikian setiap penulisan terdapat pelbagai latar khalayak yang membaca tulisan berkenaan, tetapi dihati sanubari penulis beliau tentu mempunyai hajat tersendiri supaya tulisannya itu mengapai sasaran jiwa yang cuba disinggungnya.

Berbalik soal pasir, sekilas lalu semua orang marah dan teruja terhadap kerakusan manusia yang berakal. Tindakan mereka (manusia berakal) ini nampak macam tidak berakal langsung lagaknya.

Begitulah juga tulisan seorang intelek berhubung soal isu pasir dan perkaitan dengan alam sekitar. Secara makro dan mikro isu berkenaan menyangkut dengan alam dan sekitarnya. Rasional jika sesuatu kawasan pasir bekas lombong yang dilombongi tentulah menghasilkan kesan yang mengerunkan kerana jumlah yang diambil dalam skala yang besar bagi tujuan yang besar serta dalam tempoh masa yang lama dan panjang.


Soalnya rakyat tidak akan bertanya sejarahnya kenapa dan mengapa ia terjadi sedemikian, ini kerana fokus rakyat secara mudah bahawa kerajaan yang ada masa inilah yang perlu menyelesaikannya. Isunya berbangkit semasa ini dan semasa dahulu. Maka rakyat ternanti-nanti akan jawapan.

Sementelahan fakta, bukti sokongan dengan audio video serta sokongan dengan penulisan melalui media, sememangnya tapak subur dan bergaya olahan kerosakan tersebut.


Jangan kerana pasir alam sekitar dikorbankan

Kini, isu korek pasir pula hangat diperkatakan. Isu tersebut begitu cepat meraih perhatian umum sejak kebelakangan ini memandangkan ia melibatkan kelangsungan masa depan alam sekitar dan juga penghuni di dalamnya.

Kegiatan melombong pasir yang sedang giat dijalankan kira-kira 50 meter daripada taman rekreasi Paya Indah Wetlands begitu menggusarkan hati penduduk sekitar. Ini kerana, ia dikuatiri akan memberi implikasi negatif kepada ekosistem dan alam sekitar jika ia dikendalikan tanpa mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib.

Walaupun kegiatan perlombongan pasir yang dikendalikan oleh Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB) itu mempunyai permit yang sah, namun ia tetap menimbulkan ketidakpuasan hati pelbagai pihak lantaran lokasi kegiatan tersebut yang terlalu hampir dengan taman rekreasi Paya Indah Wetlands.

Malah, permit yang dikeluarkan oleh pentadbir tanah Kuala Langat selepas mendapat kelulusan daripada beberapa jabatan (seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Mineral dan Geosains, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Majlis Daerah Kuala Langat dan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat) itu terus menjadi pertikaian pelbagai pihak atas nama ‘melindungi alam sekitar’.

Namun, persoalannya sejauh manakah polemik demi polemik berhubung isu tersebut benar-benar untuk memperjuangkan nasib alam sekitar? Jika isu tersebut benar-benar dicanang atas dasar menjaga kepentingan alam sekitar, maka ia seharusnya diperhalusi agar pertimbangan yang sewajarnya dapat dilakukan.

Ini kerana, sikap menuding jari menyalahkan antara satu sama lain semata-mata tidak akan mampu menyelesaikan permasalahan tersebut. Sebaliknya, ia akan lebih memburukkan lagi keadaan.

Oleh yang demikian, isu ini perlu dilihat secara menyeluruh merangkumi pelbagai aspek tanpa didalangi unsur-unsur yang tidak sepatutnya seperti untuk kepentingan individu atau pihak-pihak tertentu sahaja. Sebaliknya, ia perlu dilihat sebagai isu bersama tanpa mengira latar belakang dan kepentingan politik masing-masing.

Ini memandangkan, ia merupakan isu besar yang perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana ia melibatkan masa depan alam sekitar dan juga habitat flora serta fauna. Justeru, ia perlu dikaji sedalam-dalamnya sebelum sesuatu keputusan atau kata sepakat diambil demi kepentingan bukan sahaja alam sekitar, bahkan juga semua makhluk yang menghuninya.

Jika diamati sedalam-dalamnya, kebimbangan penduduk di sekitar kawasan perlombongan tersebut adalah berasas. Ini memandangkan sejak kegiatan perlombongan pasir itu dijalankan, mereka telah terdedah kepada pelbagai kesan sampingan seperti pencemaran air, udara dan juga bunyi.

Situasi ini akan memberi implikasi yang tidak sihat kepada persekitaran hidup mereka. Jika kegiatan perlombongan tersebut dibiarkan berlanjutan, ia akan menjejaskan tahap serta kualiti kesihatan penduduk sekitar ekoran terdedah kepada debu, habuk dan juga sumber air yang tercemar.

Malahan, pencemaran air, udara dan bunyi yang berpunca daripada jentera melombong serta mencuci pasir juga akan turut mengancam habitat burung air yang menjadi antara salah satu daya tarikan di taman rekreasi itu.

Selain itu, bunyi bising daripada jentera yang menjalankan kerja-kerja mengorek pasir akan memungkinkan berlakunya migrasi unggas terutamanya spesies tempua dan puchong serandau ke tempat lain.

Apabila berlakunya migrasi secara berterusan, ia akan menyebabkan spesies unggas di kawasan berkenaan akan berkurangan. Ini akan memberi implikasi yang buruk kepada taman rekreasi berkenaan lantaran keunikan taman yang semakin terhakis dan kekayaan spesies yang kian berkurang. Bahkan, tidak mustahil jika situasi ini dibiarkan berlanjutan ia akan turut mengancam spesies hidupan liar lain yang menghuni taman ini.

Apabila habitat dan sistem ekologi di kawasan terbabit terganggu, pastinya ia turut akan menjejaskan kawasan pembiakan kebanyakan spesies hidupan liar dan unggas yang terdapat di kawasan rekreasi itu.

Keadaan ini sekali gus akan meletakkan spesies-spesies berkenaan dalam situasi bahaya. Malah, lebih buruk lagi ia akan mendedahkan spesies-spesies berkenaan kepada ancaman kepupusan.

Apabila keadaan ini berlaku, ia pastinya akan menggagalkan matlamat awal penubuhan taman rekreasi tersebut yakni untuk mengekalkan kekayaan serta kepelbagaian spesies flora dan fauna demi kepentingannya sebagai pusat ekopelancongan utama di Malaysia.

Jika kawasan ekopelancongan ini terjejas, ia sekaligus akan turut memberi implikasi ekonomi yang besar kepada negara.

Selain memberi kesan negatif kepada spesies hidupan liar, ia juga akan memberi kesan yang serius ke atas bentuk muka bumi di kawasan terbabit. Misalnya, ia akan menyebabkan struktur tanah menjadi tidak stabil dan kemungkinan berhadapan dengan tanah runtuh dan jerlus adalah tinggi.

Malah, jika kegitan tersebut dibiarkan berlanjutan ia akan meninggalkan lompang besar yang sukar dipulihkan apabila operasi berakhir. Ini akan mencacatkan pemandangan di kawasan tersebut dan sekaligus akan mengubah landskap Paya Indah Wetlands.

Jika ingin dipulihkan, ia mungkin memerlukan belanja yang lebih besar daripada kos untuk kerja-kerja perlombongan itu sendiri. Jadi, langkah pemulihan ke atas tapak-tapak tinggalan perlombongan tersebut kelak hanya akan merugikan negara semata-mata.

Melihat kepada implikasi-implikasi buruk yang timbul ekoran kegiatan perlombongan tersebut, kelulusan yang dikeluarkan ke atas tapak perlombongan itu seharusnya dipertimbangkan kembali. Perkara ini sewajarnya diperhalusi dengan sedalam-dalamnya agar ia mengambil kira kesemua faktor dan adil kepada semua pihak termasuk alam sekitar, flora serta fauna, masyarakat dan juga negara.

Jika belum pun siap sepenuhnya projek fasa pertama, kita sudah nampak implikasi negatifnya. Jadi, bagaimanakah pula jika diteruskan untuk projek fasa kedua kelak? Ia pastinya akan memberi kesan yang lebih buruk lagi kepada alam sekitar dan ekosistem seluruhnya.

Sehubungan itu, diharap pihak berwajib dapat mengkaji dan memperhalusi semula kewajaran permit yang telah dikeluarkan untuk projek perlombongan pasir berkenaan. Jangan kerana mengejar wang ringgit semata-mata, maka kepentingan alam sekitar dikorbankan.

Sama-samalah kita renungkan. Mudah-mudahan kita menjadi seorang insan yang tahu erti ‘bersyukur’.

Apabila kita kenal nilai dan erti syukur, kita pastinya akan dekat dengan Allah. Dan apabila kita dekat dengan Allah, ia akan menjadi tunjang kekuatan kita untuk menggapai kejayaan dalam menjalankan peranan kita sebagai hamba dan khalifah Allah untuk memakmurkan bumi serta menjaga amanah alam dengan sebaik-baiknya.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

No comments: