Wednesday, June 16, 2010

Bahasa: Peminggiran atau terpinggir

Kerajaan dengan penuh bangga dan bernafsu mengumumkan projek baru mereka bahawa mulai tahun-tahun ke hadapan Bahasa Cina dan Bahasa Tamil diwajibkan menjadi sukatan dalam pendidikan di sekolah kebangsaan iaitu peringkat sekolah rendah.

Namun pendirian dan pengumuman yang gagah dan hebat itu dilihat jelas akan kesungguhan dan kemahuan politik kerajaan yang amat tinggi terhadap kedua-dua bahasa ini. Kaum Cina dan India pula hanya memerhatikan sahaja, mungkin dihati kecil mereka amat bangga. Kerana sesudah 52 tahun merdeka barulah 'mereka' diterima. Dan penerimaan pengajaran kedua-dua bahasa itu adalah sebagai satu bentuk pengiktirafan yang simbolik.


Dalam keghairahan kerajaan mahu melaksanakan kedua bahasa itu masuk ke sekolah kebangsaan. Kedua-dua parti politik dominan Cina dan India iaitu MCA dan MIC hanya sekadar melihat tanpa berbunyi dan bersuara langsung. Setuju, sokong, sambut baik dan sebagainya. Kedua rakan akrab Umno itu mengmabil sikap berdiam diri sahaja. Adakah mereka tidak berbangga ataupun mereka sudah kenal hati budi Umno ?

Bagi kita rakyat benci dan muak dengan 'telatah' kerajaan. Sememangnya perangai kerajaan Umno Bn suka mengambil tindakan membabi buta dan melulu. Bila sesuatu projek dilaksanakan tumpuan dan perhatian tentulah berbeda. Peminggiran BM secara halus dan terancang gayanya.

Kini ramai cendiakiawan dalam masyarakat minta kerajaan jangan leka dan lupa supaya Bahasa Melayu itu dimartabatkan dan diperkasakan. Bagi kerajaan Umno Bn, maksud memartabatkan bahasa pun mereka gagal fahami. Apa lagi bagi menghayatinya. Cuba tanya Sasterawan Negara A Samad Said sendiri apakah yang dimaksudkan dengan pemartabatan bahasa Melayu di negara ini.

Ikuti luahan pandangan mereka yang terlibat secara langsung dalam institusi yang berusaha memartabatkan bahasa di negara kita. Hayati pandangan mereka dengan fikiran yang terbuka dan jernihkan pemikiran kita.

Martabatkan bahasa Melayu dahulu

KUALA LUMPUR 15 Jun - Semua kaum di negara ini perlu memartabatkan penggunaan bahasa Melayu di samping memperkasakan bahasa Inggeris sebelum mempelajari bahasa ibunda lain seperti Tamil dan Mandarin.

Ketua II Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Profesor Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar berkata, sekiranya kerajaan mahu mewajibkan pengajaran bahasa-bahasa ibunda tersebut, ia perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat bermula di sekolah rendah.

"Kita tidak boleh paksa murid-murid belajar bahasa-bahasa tersebut kerana ia agak menyukarkan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan akan mewajibkan penyediaan guru-guru Bahasa Mandarin dan Tamil di semua sekolah kebangsaan supaya pengajaran dan pembelajaran kedua-dua bahasa itu dapat dilaksanakan sepenuhnya di negara ini.

Menurut Abdul Latiff, langkah kerajaan itu sebenarnya merupakan strategi untuk menarik kaum lain menghantar anak mereka bersekolah di sekolah kebangsaan.

Namun, jelasnya, untuk mewajibkan pengajaran kedua-dua bahasa tersebut kepada pelajar, ia sedikit menyukarkan kerana secara tidak langsung akan membebankan mereka apabila terpaksa belajar banyak bahasa dalam satu masa.

Katanya, cadangan itu akan lebih berkesan sekiranya kedua-dua bahasa tersebut diwajibkan kepada murid-murid India dan Cina di sekolah kebangsaan manakala pelajar Melayu diberi pilihan belajar Bahasa Arab.

Selain itu, katanya, sekiranya cadangan itu diteruskan, ia perlu melibatkan murid di sekolah rendah terlebih dahulu manakala pilihan pula diberi kepada pelajar sekolah menengah.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan pula berpendapat, cadangan itu perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat dengan menyediakan prasarana yang mencukupi terlebih dahulu.

Katanya, sekiranya cadangan itu mahu dilaksanakan dalam waktu terdekat, ia memerlukan satu tempoh percubaan untuk menilai kesan dan kelemahan pelaksanaannya.

"Cadangan ini tidak boleh dilakukan secara sambil lewa kerana ia melibatkan bahasa.

"Kementerian perlu berunding dengan pihak-pihak yang terlibat terlebih dahulu untuk mengenal pasti kekurangan dan kelemahannya," katanya.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz pula berkata, cadangan itu terlalu awal untuk dilaksanakan kerana penguasaan bahasa Melayu di kalangan pelajar masih berada di peringkat tidak memuaskan.

Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan pula berpendapat, langkah itu tidak akan membelakangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Langkah ini membolehkan setiap kaum mempelajari bahasa ibunda masing-masing dan ia tidak akan mengganggu proses untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuhkan bahasa Inggeris di kalangan masyarakat," katanya.









No comments: