Monday, March 29, 2010

Bahasa Untuk Semua Kaum

Bahasa milik semua kaum

Penyertaan banyak negara dalam pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) 2010 menjadi penanda aras bahawa bahasa Melayu berjaya diangkat ke peringkat antarabangsa.


ZHANG SONG anggun dalam persalinan kebaya ketika menyampaikan pidatonya.


SAYA tidak sangka boleh menang sebab semua peserta mempunyai gaya penyampaian yang menarik dan teks yang baik.

"Namun rezeki memihak kepada saya. Ia merupakan pengalaman manis yang tidak boleh saya lupakan," kata Zhang Song atau nama Melayunya, Noriah.

Peserta dari China itu muncul sebagai juara pertandingan Pidato Antarabangsa bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2010 (PABM) bagi kategori antarabangsa yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), baru-baru ini.

Pelajar tahun dua Universiti Beijing Pengajian Bahasa-Bahasa Asing (BFSU) dalam bidang kesusasteraan dan pengajian Melayu itu berjaya menewaskan peserta dari Rusia, Armenia, Australia, Kemboja dan Jerman.

Anak didik kepada tokoh bahasa negara, Prof. Dr. Awang Sariyan yang juga merupakan Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu di BFSU, Zhang Song, 20, begitu yakin ketika menyampaikan pidatonya yang bertajuk, Kelestarian Masa Depan Bumi Di Tangan Kami.

Menurut Zhang Song, dia mengambil masa selama sebulan untuk menyediakan teks dan selama sebulan lagi untuk menghafalnya.

Anak tunggal itu memberitahu, dia muncul juara kerana usaha bersama guru dan pensyarahnya iaitu Cikgu Fu Chong Chong dan Awang Sariyan yang menyunting teksnya.

Selain itu, dia juga perlu mengingati setiap teks dan menyampaikannya dengan cara yang menarik.

Mengikuti pengajian bahasa Melayu di Universiti Beijing selama dua tahun, Zhang Song mahir bertutur dan memahami bahasa Melayu hanya dalam tempoh setengah tahun sahaja.


ARBA'IE menjelaskan golongan pendakwah yang menyebarkan agama Islam telah mengangkat bahasa Melayu ke tahap yang membanggakan.


"Pada peringkat awal, agak sukar untuk menyebut beberapa perkataan yang mempunyai awalan huruf R seperti ber.

"Sehubungan itu saya perlu kerap menyebut dan mengulang perkataan itu. Akhirnya saya berjaya juga menyebutnya dengan lancar," kata anak kepada pensyarah pentadbiran Universiti Shandong, China.




Peminat penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza itu memberitahu, dia mempelajari bahasa Melayu kerana tertarik dengan Malaysia.

Baginya, Malaysia mempunyai banyak tempat menarik dan makanan yang enak, selain rakyatnya yang berbilang kaum.

"Makanan yang paling saya suka di Malaysia ialah mangga dan air kelapa. Selain itu, tarian zapin dan filem-filem seram di Malaysia juga menarik minat saya," katanya yang meminati filem Jangan Pandang Belakang.

Sementara itu, Ketua Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Arba'ie Sujud berkata, pertandingan PABM merupakan satu usaha murni kerajaan untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

"Dengan penyertaan yang semakin meningkat dari pelbagai negara, ia menunjukkan bahawa kecintaan terhadap bahasa Melayu semakin meningkat.

"Bahasa Melayu telah digunakan di Kepulauan Melayu pada abad ketujuh lagi. Pada waktu itu bahasa Melayu dianggap sebagai satu daripada 200 bahasa yang dituturkan di kepulauan tersebut.

"Penggunaan bahasa Melayu semakin meluas kerana bahasa tersebut mudah dituturkan berbanding bahasa-bahasa lain yang ada pada waktu itu," katanya yang telah berkhidmat di UPM selama 11 tahun.

Anak keempat daripada tujuh beradik itu memberitahu, bahasa Melayu berkembang dengan pesat dan menempa era kegemilangannya pada abad ke-13 apabila Islam mula bertapak di Kepulauan Melayu.

Peranan yang dimainkan oleh golongan pendakwah dalam menyebarkan Islam telah mengangkat martabat bahasa Melayu pada tahap yang membanggakan. Bahasa Melayu telah mampu membicarakan persoalan yang lebih realistik dan ilmiah.

"Jika meneliti sejarah bahasa Melayu di Malaysia, bahasa Melayu dipilih di atas kesedaran bersama sewaktu pembentukan negara dengan memilih bahasa Melayu untuk semua kaum.

"Melalui peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia artikel 152 secara jelas bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi yang menjadi bahasa perhubungan dan bahasa identiti dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Namun dalam konteks ini tidak bermakna pemilihan bahasa Melayu adalah milik orang Melayu, tetapi milik rakyat Malaysia. Jelasnya penggunaan dan pemilihan bahasa Melayu dalam konteks ini sebagai penyatu masyarakat majmuk, pembangun cita-cita dan nurani warganya yang bermatlamatkan keharmonian sejagat," katanya.

Bagaimanakah caranya untuk meningkatkan rasa cinta masyarakat khususnya remaja terhadap bahasa Melayu?

"Pelaksanaan atau pemerkasaan bahasa dengan penggunaan bahasa Melayu dalam situasi rasmi wajar diberi keutamaan. Bahasa Melayu bukan milik satu kaum tetapi milik masyarakat Malaysia. Kefahaman dan doktrinasi ini dimulakan pada akar umbi dan generasi muda. Bukan sebagai slogan tetapi diikuti dengan tindakan atau perancangan," kata Arbaie lagi. - FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA

No comments: