Bahang kemarahan rakyat terhadap sikap, tanggungjawab, tugas ahli-ahli MP Dewan Rakyat dari kerajaan menjadi isu ulasan utama akhbar, blog dan semua media milik UMNO.
Ponteng’ sidang Parlimen dan mogok menulis Zaini
KETIDAKHADIRAN ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) ketika meluluskan usul Bajet 2010 yang hampir menumbangkan kerajaan serta mogok menulis oleh Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Zaini Hassan antara isu yang dikupas oleh para penulis blog pertengahan minggu ini.
Norizan Shariff dalam Nobisha (nobisha.blogspot.com) menulis, penyokong BN boleh menyalahkan pembangkang atau memberikan pelbagai alasan tentang insiden majoriti tipis ketika meluluskan usul bajet tersebut tetapi yang jelas wakil rakyat BN tidak mengambil berat tugas mereka.
Tulis beliau, hal yang serupa berlaku di Dewan Undangan Negeri sehingga menyebabkan ADUN Kota Seputeh digantung dan kerusi kawasan itu telah diisytiharkan kosong oleh mahkamah kerana wakil rakyat terbabit tidak menghadiri sidang DUN dua kali berturut-turut.
“Sikap acuh tak acuh inilah yang menyukarkan BN untuk kembali memenangi hati rakyat yang kecewa dalam pilihan raya umum ke-12 dulu. Untuk berubah, BN usah menyapu masalah ini di bawah permaidani,” tulis beliau.
Tulis beliau, apa yang berlaku malam tersebut tidak boleh diterima, walau apa pun alasan yang diberikan kerana sewaktu dewan bersidang anggota legislatif adalah di Parlimen dan bukannya di pejabat, luar negara atau di majlis keramaian.
Blog UMNO Johor (umnojohor.blogspot.com) menulis, sewajarnya ahli-ahli Parlimen yang tidak mempunyai jawatan dalam Kabinet perlu menumpukan masa mereka di Parlimen.
Tulis beliau, Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi BN perlu meminta surat tunjuk sebab dari ahli-ahli Parlimen BN yang tidak hadir sidang dewan dua kali berturut-turut manakala ketua whip BN pula diberi peluang menggunakan kuasa sepenuhnya untuk mendisiplinkan mereka.
“Ahli Parlimen BN perlu berhenti daripada mimpi-mimpi indah seperti menukar kereta mewah, berkahwin dengan artis, menuntut jawatan menteri dan bermacam lagi sedangkan gara-gara sikap tidak bertanggungjawab andalah yang meletakkan kerajaan BN hampir ditumbangkan.
“Ini bukannya zaman dahulu kala. Kini rakyat memerhati sama ada ahli Parlimen yang dipilih menjalankan tanggungjawab mewakili mereka di Parlimen atau asyik menghilangkan diri.
“Jika tidak mampu, undurlah dan beri peluang kepada mereka yang lebih bertanggungjawab!,” tulis blog tersebut.
Hambali Ab. Latiff dalam Rakyat Malaysia (hambali1.blogspot.com) menulis, BN tidak sepatutnya menuding jari kepada pihak pembangkang kerana cuba menggagalkan Bajet 2010 daripada diluluskan Parlimen kerana itu adalah tugas mereka untuk memalukan BN.
Tulisnya, tindakan pemimpin BN yang marahkan pembangkang dan beranggapan mereka mengamalkan politik samseng kerana menggunakan Bajet 2010 untuk menggulingkan kerajaan merupakan kenyataan yang tidak berdasarkan realiti politik semasa.
“Juga nampak sangat ahli Parlimen BN masih tidak mengendahkan pentingnya undi di Dewan Rakyat, khususnya perkara membabitkan bajet.
“Bukan sekadar longgar tetapi memalukan apabila kita menuding orang lain tetapi tidak melihat diri sendiri. Cerminlah apa yang dilakukan oleh Ahli Parlimen BN sendiri,” tulis beliau.
Sementara itu, Ahmad A. Talib dalam Pahit Manis (ahmadatalib.blogspot.com) menulis, tulisan Zaini Hassan yang juga Penolong Ketua Pengarang, Kumpulan Utusan bertajuk “India di India, India di Malaysia” rupa-rupanya menjadi hangat dan ditentang sebahagian pembaca keturunan India di negara ini.
Tulis beliau, tentangan seperti itu adalah antara cabaran yang perlu dihadapi oleh para penulis tanah air kerana sikap masyarakat kita yang tidak senang dengan buah fikiran orang lain.
“Saya harap Zaini jangan pedulikan sangat pandangan mereka ini dan terus menulis. Jika Zaini tidak menulis, maka bergembiralah mereka yang berusaha melenyapkan suara seorang lagi penulis kita.
“Soalan saya pada Zaini, mengapa biarkan mereka lenyapkan suara mu yang lantang beb?” tulis beliau.
Penulis blog Mummy Rokiah (mummyrokiah.blogspot.com) pula menulis, beliau percaya ramai lagi editor lain yang menghadiri forum tersebut lebih celupar berbanding Zaini dan mereka boleh menulis perkara yang lebih teruk dari itu.
Bagaimanapun, tulis beliau, tindakan mogok menulis yang dilakukan oleh Zaini adalah satu tindakan yang terburu-buru.
“Zaini nampaknya terperangkap dalam ‘gempaq kelin’ yang dilakukan oleh mereka yang tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka selalu bikin kecoh, kecoh, kecoh dalam negara ini.
“Zaini seharusnya terus menulis dan tidak melancarkan mogok kerana ini adalah perangkap “gempaq kelin”,” tulisnya.
No comments:
Post a Comment