Friday, December 18, 2009

Halatuju kepimpinan dan pemimpin kita ke mana ?

Moral cerita di bawah, Presiden AS Barak Obama 'membuka' ruang 'rakyat' bertemu dengannya tanpa 'protokol' dan para 'pegawai' Obama 'dimaklumkan' supaya rakyat dapat 'lepas' masuk berjumpa dengannya tanpa banyak soal.

Pimpinan Obama adalah satu contoh pimpinan 'besar' berjiwa rakyat. Ini adalah bumi AS. Bumi subur demokrasi, bumi subur keganasan, bumi subur jenayah, bumi subur dan utuh sistem kehakiman didaulatkan.

Setidak-tidak Obama memberi 'ruang' kepada rakyat agar 'mudah' bertemu dengan Orang No 1 dalam negara mereka.

Justeru cerita ini, harus dijadikan cerminan kepada kita. Bagaimana dengan pimpinan dalam negara kita. Usahkan ke tahap status Obama, wakil rakyat yang mereka pilih pun belum tentu menjemput dan mempelawa rakyat atau tetamu masuk dan diajak makan bersama mereka dalam rumah Tok Wakil Rakyat berkenaan. Ini adalah realiti.

Sebabnya, sisitem pendidikan kita telah mengasuh, minda kita telah 'diset' mengikut acuan sisitem penjajah. Mereka adalah rakyat, mereka kena ikut prosedur dan protokol bilamana mahu berjumpa pemimpin dan pimpinan. Slogan pimpinan hak milik rakyat, atau rakyat berhak ke atas pimpinan yang mereka lantik, belum lagi melarut dan dilarutkan dalam pemikiran kita. Asas pendidikan kita selama hari ini dibentuk sedemikian rupa.







Tetamu Tak Diundang Sarapan Bersama Obama
Presiden Amerika Barack Obama

SECARA tidak sengaja, pasangan suami isteri Harvey dan Paula Darden telah menjadi tetamu yang tidak diundang ke istana White House dalam satu majlis sarapan bersama Presiden Amerika, Obama serta isterinya Michelle.

Mereka memasuki ruangan kediaman Presiden Obama yang salah setelah pengiring rumah agam itu mengarah mereka ke bilik East Room.

Sekali lagi ‘orang dalam’ White House dipertanggungjawabkan untuk memberi penjelasan bagaimana seseorang yang tidak jemput boleh menjejakkan kaki mereka ke dalam rumah yang didiami oleh Presiden Amerika.

Pengembaraan tidak masuk akal Harvey and Paula Darden, yang juga merupakan peyokong Obama dari Georgia berlaku pada Hari Veteran lalu.

Dua minggu sebelumnya, dua ahli sosialit dari Virginia, Tareq dan Michaele Salahi tersalah masuk ke majlis makan malam Obama bersama Perdana Menteri India, Manmohan Singh.

Manakala pasangan Darden pula secara silap tiba sehari lebih awal untuk menghadiri lawatan ke White House dari jadual yang ditetapkan oleh ahli kongres mereka.

Sementara itu, pihak White House dan Servis Rahsia mempertahankan tindakan mereka dengan mengatakan bahawa pasangan Darden melalui pemeriksaan sekuriti yang telah ditetapkan walaupun tersalah masuk.

Mereka juga menambah pasangan Darden dibenarkan untuk bersarapan di White House sebagai tanda budi bahasa kerana tiada lawatan awam lain yang tiba di White House, hari itu.

Rumah agam, White House yang didiami oleh Presiden Amerika Barack Obama

Kenyataan itu merupakan ‘berita’ untuk Harvey Darden, berumur 67 tahun, seorang ahli farmasi yang telah bersara.

Menurutnya, beliau serta isteri pada mula menyangka mereka baru memulakan lawatan mereka sebelum mereka diringi ke East Room, dan disajikan dengan sarapan bufet. Suami isteri itu kemudiannya dimaklumkan yang mereka akan bertemu dengan Presiden Obama.

“Kami terkejut kerana dibenarkan masuk jauh ke dalam White House,” jelas Darden kepada akhbar The Associated Press.

Tambahnya, dia dan isteri berpaling sesama mereka dan tidak pasti sama ada berada di tempat yang betul.

Sejurus itu, mereka mendekati seorang pembantu White House kerana sangsi tetapi mereka dimaklumkan untuk menuruti apa yang disuruh.

“Saya berasa kekok kerana sayalah satu-satunya lelaki yang tidak memakai kot dan tali leher dalam bilik itu dan hanya merupakan seorang pelancong biasa,” kata Darden.

Sementara itu, jurucakap Servis Rahsia White House, Ed Donovan berkata agennya melakukan prosedur pemeriksaan sekuriti sama ke atas pasangan Darden seperti tetamu-tetamu yang lain.

“Agen kami memeriksa latar belakang dan rekod jenayah pasangan Darden,” jelasnya.

Prosedur itu tidak dilakukan ke atas Tareq dan Michaele Salahi pada 24 November lalu ketika mereka tersalah masuk ke dalam White House.

Manakala jurucakap White House, Nick Shapiro pula berkata pasangan Darden melalui pemeriksaan pihak Servis Rahsia. Oleh itu, mereka dibenarkan untuk menikmati sarapan bersama veteran-veteran lain sebagai tanda sopan.

“Membenarkan orang yang masuk sebagai pelawat ke majlis-majlis White House sekiranya mempunyai ruang bukanlah satu perkara luar biasa untuk staf-staf yang bekerja di situ.

“Ini termasuk majlis-majlis yang berlangsung di ruang ketibaan Marine One, East Room dan Rose Garden,” jelas Shapiro.

Beliau menambah White House Office of Public Engagement yang ditubuhkan oleh Obama sendiri bertujuan untuk melibatkan orang awam dalam akitiviti-aktiviti yang berlaku dalam White House, harus dipertanggungjawabkan kerana membenarkan pasangan Dardens dan tetamu-tetamu lain ke dalam bilik itu.

Jabatan Sosial White House pula harus disalahkan kerana membenarkan Tareq dan Michaele Salahi ke ruang makan malam Obama bersama Perdana Menteri India.

Presiden Amerika Barack Obama bersama isteri serta dua orang anak perempuannnya

Pada pagi pasangan Darden tiba di White House, seorang pegawai sekuriti yang menyemak beberapa senarai nama mula membenarkan orang awam masuk ke dalam White House.

Apabila pasangan Darden tiba di ‘checkpoint’ dan menyebut nama mereka, pegawai itu maklumkan nama mereka tiada dalam senarai tersebut dan diarah untuk menunjukan foto pada kad pengenalan serta ditanya beberapa butiran lain.

Selepas agen Servis Rahsia menyemak butir-butir pasangan Darden, mereka diiringi ke bilik East Room. Seramai 200 orang telah pun berkumpul di situ untuk majlis sarapan itu.

Pada masa itulah mereka mendekati salah seorang pembantu White House yang sedang berkenalan dengan para tetamu.

“Saya telah memberitahu pembantu itu bahawa saya berasa bilik itu bukan sebahagian daripada tempat lawatan.

“Pembantu tersebut bersetuju dengan saya, dan memberitahu memang bilik itu bukan sebahagian daripada lokasi lawatan. Dia berkata hanya veteran yang diundang sahaja hadir pada majlis sarapan itu,” ujar Darden yang tidak mengingati nama dan pangkat pembantu tersebut.

Tambahnya, pembantu itu kemudiannya bertanya kepada Darden sama ada dia adalah seorang veteran. Dan apabila Darden memberitahunya bahawa dia adalah seorang pesara tentera laut, pembantu itu mencadangkan agar Darden dan isterinya menyertai majlis itu.

Selepas itu, pasangan Darden menikmati bufet sarapan dan duduk ditempat yang disediakan di East Room.

Tidak lama kemudian, Barack dan Michelle tiba. Mereka mula bercakap dan mengambil gambar dengan setiap tetamu yang duduk. Timbalan Presiden Amerika, Joe Biden serta isterinya, Jill turut hadir.

Darden akui pengalaman bersua dengan pasangan Obama dan Joe Biden sesuatu yang 'amat istimewa.'

Tetapi Darden masih binggung bagaimana dia serta isterinya boleh tersalah masuk ke majlis sarapan persendirian itu.

Pada mulanya, Darden bimbang apabila terdengar episod Salahi melalui berita, namun kini pasangan tersebut kesal kerana mereka tidak menerima salinan gambar yang diambil bersama pasangan Obama.

No comments: