Friday, October 23, 2009

Audit Pahang: UMNO yang tidak MALU


Pemuda PAS lapor SPRM kes seleweng kereta CBD 88


TEMERLOH: Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan penyelewengan yang didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun kewangan 2008.

Naib Ketua DPPNP Abdullah Abdul Karim berkata, laporan yang dibuat di pejabat SPRM Cawangan Temerloh pada 21 Oktober itu bertujuan meminta pihak SPRM menyiasat jika wujud penyelewengan kerana ia melibatkan kewangan kerajaan.

“Ini membabitkan duit kerajaan yang juga merupakan wang rakyat dan ditegur oleh Ketua Audit Negara sendiri kerana berbelanja secara tidak berhemat. Sudahlah kewangan Kerajaan Negeri Pahang berada dalam keadaan teruk ”.

“Sebab itu DPPNP membuat laporan supaya SPRM membuat penyiasatan dan sekiranya terdapat unsur-unsur penyelewengan patut diheret ke muka pengadilan,” katanya.

Laporan audit baru-baru ini seperti yang turut disiarkan laman berita Bernama, melaporkan sebuah kereta milik kerajaan negeri Pahang dalam perbezaan satu minit saja, direkodkan mengisi minyak bernilai lebih RM100 sebanyak dua kali di sebuah stesen minyak yang sama di negeri itu.

Ini adalah penyalahgunaan kad inden bagi perolehan bahan api untuk kenderaan kerajaan yang didedahkan dan diedarkan di parlimen sehari sebelum itu mengenai aktiviti jabatan, agensi dan pengurusan syarikat kerajaan negeri Pahang 2008.

Laporan itu berkata semakan audit terhadap Laporan Butiran Belian Bahan Api yang dikeluarkan oleh pihak pembekal pada tahun lepas mendapati sebanyak 24 kes pengisian bahan api dalam tempoh kurang dari lima minit melibatkan lima buah kenderaan pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Pahang.

Kereta-kereta terbabit dikenalpasti sebagai Proton Perdana bernombor pendaftaran CBD88 yang telah membuat sebanyak 18 kes pengisian bahan api dalam tempoh masa yang singkat dengan jumlah kos sebanyak RM4,177.

Laporan itu menyebut pada 14 Dis lepas, kereta tersebut telah mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Raub, Pahang pada pukul 12.14 tengah hari sebanyak 59.47 liter yang bernilai RM113 dan seminit kemudian pada 12.15 tengah hari kereta yang sama mengisi sebanyak 58.95 liter minyak yang bernilai RM112 di stesen yang sama.

Pada 19 Dis perkara yang sama berlaku di stesen minyak yang sama pada pukul 6.35 petang dan 6.36 petang dengan jumlah pengisian sebanyak 125 liter bernilai RM225, dan perkara yang sama dilakukan pada 23 Dis, 24 Dis, 26 Dis dan 31 Dis, dan pada 24 Dis pengisian minyak dilakukan di sebuah stesen minyak di Kuantan, katanya dan menambah jumlah keseluruhan kos adalah RM1,349.95.

Laporan audit itu berkata perkara yang sama juga dilakukan terhadap Proton Perdana CBB37 dan Proton Perdana CBR1993, iaitu sebanyak dua kali yang memakan belanja lebih RM300 setiap buah, dan sekali bagi Proton Perdana CBD1003 dan Proton Perdana CBD23 yang melibatkan kos antara RM200 dan RM100.

Selain itu terdapat juga perolehan bahan api yang meragukan oleh kenderaan Proton Perdana bernombor pendaftaran CBD88 yang telah mengisi minyak pada 14 Ogos 2008 di sebuah stesen minyak di Bentong, dengan kuantiti pengisian sebanyak 1 liter dengan kos RM117, dan kes dan tempat yang sama pada 26 Ogos dengan kos RM128.30, pada 7 Sept dengan kos RM119, pada 14 Nov dengan kos RM90 dan pada 27 Nov dengan kos RM120, katanya.

Kesemua lima pengisian itu merekodkan pengisian sebanyak 5 liter dengan jumlah kos bahan api sejumlah RM574.53 dan ini menunjukkan terdapat pembelian yang meragukan dan tiada penyemakan dilakukan sebelum pembayaran dibuat, katanya.

Selain itu, tindakan susulan terhadap perkara ini masih belum diambil oleh pihak yang bertanggungjawab, dan akibatnya Pejabat SUK telah menanggung kos penggunaan bahan api yang tinggi, katanya.

Laporan itu berkata pihak pejabat SUK memaklumkan bahawa perkara yang dibangkitkan akan diselesaikan melalui kerjasama dengan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna cawangan negeri Pahang iaitu memeriksa sistem perolehan bahan api yang digunakan oleh setiap pembekal bahan api yang terlibat.

Jabatan Audit Negara turut mendapati perolehan bahan api yang melebihi tangki kenderaan, selain penggunaan kad inden terhadap kereta yang telah lama dilupuskan.

Selain itu, kos penyenggaraan kenderaan yang tinggi contohnya penyenggaraan empat buah Proton Perdana V6 Executive di pejabat SUK antara 2004 dan 2008 adalah tinggi berbanding dengan kos perolehan kenderaan tersebut.

Contohnya, kos penyelenggaran Perdana V6 yang bernombor pendaftaran CBL100 yang dibeli dengan kos RM117,062 untuk dari 2005 hingga 2008 berjumlah RM171,888, dan bagi kereta bernombor pendaftaran CBN31 pula adalah RM192,743 dari tahun 2004 hingga 2008, katanya.

Laporan itu berkata maklum balas dari pejabat SUK, kereta-kereta itu digunakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri dan kos penyenggaraan yang tinggi adalah disebabkan kerosakan kotak gear (gear box) dan juga kemalangan.

1 comment:

Lebai Mangkuk said...

Sebenarnya setiap perkara buruk yang berlaku sedemikian akhirnya di selesaikan dengan dua patah perkataan yang tertulis "KESILAPAN TEKNIKAL" sahaja.

Kalau tak silap Lebai satu ketika zaman dahulu pernah terdengar kesah "mee segera" yang dibekalkan kepada tentera di Sabah dan Sarawak dengan nilai lebih kurang RM4.00 satu peket. Akhirnya tidak ada apa2 yang berlaku.