Umno perlu pembabitan ulama, pakar ilmu Islam
Zubir Embong |
Wakil Terengganu saran dekati tokoh agama minta pandangan
UMNO memerlukan pembabitan meluas golongan ulama dan mereka yang mempunyai kepakaran dalam ilmu Islam untuk membolehkannya menjuarai isu agama dengan lebih berkesan sejajar falsafahnya sebagai landasan memperjuangkan kepentingan agama, bangsa serta tanah air.
Penyertaan lebih ramai golongan ulama juga akan membolehkan Umno memberi penjelasan yang tepat mengenai pelbagai isu berkaitan agama bagi mengelak sebarang kekeliruan kerana ia kini kekurangan golongan terbabit.
Sehubungan itu, Umno Terengganu semalam menyarankan parti menjalin hubungan lebih akrab dengan ulama dan jangan sesekali takut untuk meminta pandangan serta pendapat mereka dalam menyelesaikan isu berkaitan.
Wakil Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Zubir Embong, berkata adalah menjadi satu kerugian jika Umno tidak menggunakan kelebihan itu, sedangkan parti Melayu berkenaan memang dikenali dengan dasar perjuangan mempertahankan bangsa, agama dan tanah air.
“Bukan semua kita tahu (arif mengenai agama). Jangan bimbang atau takut bergabung dengan mereka (ulama) mencari idea, penyelesaian, penjelasan kerana mereka adalah golongan tepat dijadikan rujukan. Kita perlu menangkis serangan berkaitan isu agama.
“Isu berkaitan Islam bukan perkara baru, jangan biarkan anak muda celaru dan keliru dengan pelbagai isu yang timbul. Menjadi tanggungjawab Umno membetulkan semua kekeliruan dan salah tafsir yang berlaku," katanya membahaskan usul ucapan dasar Presiden.
Mengambil contoh pengharaman penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu, beliau menegaskan, kerajaan juga patut mengharamkan penggunaan istilah wahyu, nabi dan rasul dalam mana-mana kitab agama lain yang diterjemahkan ke Bahasa Melayu.
“Penggunaan istilah yang banyak diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu itu jelas bertujuan mencelarukan pemikiran terutama generasi muda.
“Kami hairan kenapa perlu terjemahkan, sudah pasti ada tujuan tertentu. Kami menyokong penuh tindakan pengharaman penggunaan kalimah Allah dalam kitab Kristian,” katanya.
“Apa yang berlaku kepada Raja, kita pasti akan terasa. Sebelum mereka menghina dan mengejek, Umno harus tampil menjadi benteng Raja. Ini soal Ketuanan Melayu, bukan soal tuan dan hamba.
“Dalam Perjanjian Pangkor, Inggeris tidak berunding dengan Maharaja China atau Raja Siam, tetapi dengan Raja Melayu... itu tanda Raja Melayu ini memerintah Tanah Melayu dan diiktiraf, jadi kenapa nak pertikaikan,” katanya.
Beliau juga menyentuh mengenai kedudukan bahasa Melayu yang kini dianggap semakin getir, termasuk penggunaan 'bahasa rojak' yang membuktikan pemikiran rakyat yang celaru dan pastinya setiap tindakan yang diambil juga dianggap keliru.
Katanya, pelaksanaan Pembelajaran dan Pengajaran Sains Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) harus dikaji semula kerana ia tidak pernah dibahaskan sebelum dilaksanakan.
"Ke manakah hala tuju bahasa kita, jangan lupa kata orang tua, 'hilang bahasa, hilangnya bangsa’,” katanya.
Beliau secara sinis turut membacakan syair Raja Haji Ali yang berbunyi: “Tanda orang lupakan diri, tak ingat lagi bahasa sendiri; tanda orang tak amanah, bahasa sendiri dipandang rendah; tanda orang bodoh dan bebal, bangsa sendiri dia tak kenal; tanda orang bebal dan dungu, berbahasa sendiri dia malu; apa tanda orang yang dungu, berbahasa sendiri dia tak tahu; apa tanda orang yang malang, bahasa sendiri dia ketepikan.
1 comment:
Setiap tahun di perjumpaan agong UMNO memang berdegar degar hujah ahlinya, dan berbagai bagai janji dari mereka yang menang. Berikan masa untuk 6 bulan, lihat apa yang terjadi. History repeat itself.Perkataan berjuang akan diganti dengan perkataan wang.
Post a Comment