Sunday, November 30, 2008

Warga Asing Ramai : Baru Tahu ?

Ramainya warga asing di Cameron





MINGGU lalu, Jentik bersama keluarga sempat melawat Cameron Highlands di Pahang untuk ‘makan angin’ sempena cuti panjang sekolah.

Lama betul rasanya tidak berkunjung ke kawasan peranginan tersebut yang terkenal sebagai kawasan tumpuan pelancong sama ada dalam dan luar negara kerana keindahan alam semula jadinya selain keadaan cuacanya yang dingin.

Pelbagai aktiviti dapat dilakukan di sana, seperti bermain golf, melawat ladang teh, memetik strawberi selain berpeluang membeli pelbagai buah-buahan segar dengan harga istimewa seperti strawberi, epal Cameron serta jagung.

Malah, kawasan itu terkenal dengan keunikan pelbagai jenis bunga-bungaan serta pelbagai spesies keledek yang pastinya membuat pengunjung kelabu mata untuk membuat pilihan.

Kepada penggemar teh pula, mereka dapat menghirup minuman kegemaran tersebut itu di kedai teh yang dibina khas di lereng bukit sambil menghadap ribuan pokok teh yang ditanam dengan susunan yang memukau mata memandang.

Bagaimanapun, kunjungan Jentik ke pusat peranginan tinggi itu baru-baru ini sedikit ‘terkejut’ kerana bilangan warga asing yang ‘menyambut’ kedatangan pengunjung ke situ nampaknya juga sudah semakin meningkat.

Tidak seperti kunjungan terdahulu, para pengunjung yang bertandang ke kawasan peranginan itu sering disambut warga tempatan terutamanya ketika berkunjung di kedai-kedai atau tempat tumpuan yang lain.

Namun kali ini, berbeza benar rasanya kerana jumlah warga asing yang berada di situ lebih ramai berbanding sebelumnya.

“Beli jagung pak, jagung madu murah-murah.’’

“Mari bu, macam-macam pokok ada bu, pokok cili satu cuma RM5, lima RM20, murah bu.’’

Demikian antara dialog yang kedengaran ketika berkunjung di sebuah pasar sayur berdekatan sebuah hotel ternama di Cameron Highlands.

``Ayah, rasa macam kat Indonesia,’’ bisik anak Jentik melihat gelagat segelintir pekerja warga Indonesia yang berusaha menarik pelanggan di gerai tuannya.

Ketika berkunjung ke salah sebuah kedai teh di situ pula, Jentik agak terkejut kerana dilayan oleh seorang pekerja warga Bangladesh yang memberi penerangan mengenai pelbagai jenis teh yang ditawarkan di kedai tersebut.

Walaupun pekerja Bangladesh itu mampu memberi penerangan dengan baik mengenai pelbagai jenis teh yang dijual namun Jentik rasa, mereka tidak seharusnya berada di ‘barisan depan’ melayani pengunjung.

Pekerja-pekerja di kalangan warga Bangladesh itu dilihat begitu ramai di kawasan peranginan itu.

Mereka diberi bermacam tugas di pusat peranginan tersebut bermula daripada tukang kemas bilik, bekerja di ladang sehinggalah kepada juruwang di kaunter-kaunter yang menjadi tempat tumpuan pelancong.

Apa yang menghairankan Jentik ialah, mengapa bilangan warga asing mulai meningkat di kawasan peranginan tersebut?

Mana perginya warga tempatan yang lain? Sudah tiadakah mereka sehingga warga asing mulai diberi tugas ‘penting’ di situ walaupun bukan sebagai tuan?

Jentik bukan apa, cuma bimbang jika kemasukan warga asing itu terus dibiarkan berterusan, kerana identiti pusat pelancongan tersohor itu mungkin akan berubah satu hari nanti.

Jangan terkejut jika satu nanti jumlah mereka akan terus meningkat dan Cameron Highlands akan hilang identitinya kerana dipengaruhi budaya luar.

Dapatkan berita selanjutnya di Kosmo!.

No comments: