Saturday, September 15, 2007

Menyorot pandangan bawah tajuk ...Majlis berbuka terpesong, penulis terpanggil menyetujui separuh daripada pandangan degan pandangan di bawah, usaha memperbetulkan persepsi masyarakat yang segelintir berserta memperbetulkan niat adalah baik. Namun rata-rata situasi ini sudah menjadi 'trend' , adalah terlalu sukar diperbetulkan dalam masa singkat, usaha memahamkan Islam dan puasa sebagai ibadah, berserta dengan memahami agenda koprat tersebut dengan alasan-alasan sebahagiannya ahlinya bukan Islam, menyukarkan atau memayahkan usaha ke masjid dan surau. Lebih-lebih lagi kelemahan dan kelesuan pengurusan masjid dan surau dalam pengurusannya.


Niat kembali ke surau dan masjid adalah bagus, tidak semua masjid ditadbir urus macam masjid wilayah persekutuan, tempat Siti dan Datuk K kahwin tu..Jika dibincangkan maka agenda memperbetulkan masjid pula kena dibuat berbanding dengan penganjuran majlis berbuka oleh badan koprat

Ikuti bahasan pandangan seorang pembaca dalam sebuah akhbar utama meminta majlis berbuka diperbetulkan niat dan persepsinya ..

Bermula awal bulan Ramadan ini, pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan, politik hingga syarikat korporat serta orang perseorangan akan bermurah hati memberikan sumbangan kepada anak yatim, orang miskin dan mereka yang tidak berkemampuan.

Tempat utama majlis sebegini tentulah yang eksklusif seperti hotel dan rumah kelab. Tahun-tahun sebelum ini kita sudah melihat banyak pembaziran dan salah penghayatan untuk memuliakan bulan Ramadan ini.

Majlis berbuka puasa banyak memperlihatkan kepentingan diri dan syarikat daripada tujuan sebenar untuk beramal kebajikan.

Tetapi tahun ini, elok dari awal-awal lagi kita berhati-hati dengan apa yang hendak kita lakukan sepanjang bulan mulia ini.

Majlis berbuka puasa dengan orang ramai, anak yatim dan golongan kurang bernasib baik memang elok diadakan. Tetapi adakala matlamat majlis itu untuk memberi sumbangan sedekah dan duit raya kepada golongan tertentu dipesongkan apabila agenda komersial dan mencari publisiti diutamakan.

Kenapa majlis mesti diadakan di hotel dan tidak di surau atau masjid. Kalau jawapannya untuk memberi peluang kepada anak yatim dan golongan kurang berkemampuan menjamu makanan enak dan mahal harganya di tempat istimewa seperti hotel, mungkin ada masa tertentu elok majlis seumpama itu dibawa terus ke masjid atau surau.

Apa yang kita berasa hairan saban tahun ialah amalan menaja makanan berbuka puasa ini biasanya terhad pada bulan Ramadan sahaja. Bagaimana dengan bulan-bulan selepas Ramadan?

Malah apa yang kurang enak dirasakan apabila majlis berbuka puasa bersama golongan kurang bernasib baik ini menjadi medan untuk mendapat publisiti dari media massa. Kita dapat lihat sesi memberi sumbangan, semahu-mahu gambar pemimpin masyarakat atau orang besar korporat bersama anak-anak yatim dirakamkan untuk menunjukkan kemurahan hati. Benarkah apa yang kita lihat itu?

Setahu saya, sumbangan sedekah atau pemberian duit raya tidak perlu publisiti. Dalam soal sedekah jariah, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud; “...bersedekahlah walaupun dengan setengah biji buah kurma...”

Ini menggambarkan sedekah itu tidak semestinya diberikan dengan jumlah yang banyak. Bukan untuk menunjuk-nunjuk atau riak tetapi bersedekah mengikut kemampuan kita dan dilakukan penuh keikhlasan hati.

Jika majlis berbuka puasa diadakan dengan tujuan supaya ia disaksikan oleh orang ramai, maka niat dan keikhlasan sudah boleh diragui.

Kita harap para pemimpin dan syarikat korporat yang menganjurkan majlis berbuka puasa ini hendaklah ikhlas mengeluarkan belanja tanpa meminta balasan.

Janganlah bulan Ramadan tahun ini, masih ada golongan yang cuba mengeksploitasi agama dan unsur-unsur agama ke arah pencemaran kesucian agama ini.

Kita lebih kesal jika mereka mengeksploitasi kemuliaan Ramadan, memperalatkan roh Ramadan untuk memancing publisiti.

Satu lagi yang perlu diberi perhatian utama ialah jangan majlis berbuka puasa terutama di hotel menjadi acara sosial. Majlis untuk membincangkan projek bisnes, politik dan sembang kosong sahaja. Bagaimana soal untuk mengambil fadilat yang ada dalam bulan mulia ini seperti sembahyang tarawih.

Bukan kita tidak tahu berapa besar saiz surau yang disediakan untuk umat Islam bersembahyang Maghrib apatah lagi tarawih.

Biasanya majlis berbuka puasa di hotel melalaikan orang Islam daripada mengerjakan sembahyang tarawih berjemaah.

Ada baiknya majlis berbuka puasa tahun ini yang dianjurkan oleh pemimpin atau syarikat korporat diadakan di masjid atau surau.

Selain majlis pemberian sedekah dan sumbangan raya dapat diadakan di sana, kita juga dapat mengimarahkan lagi rumah ibadat kita sendiri.

– PEMERHATI SETIA,

No comments: