Tuesday, September 18, 2007

Inayah Gus Dur ajak bersahur di gereja? Idea gila, walaupun Saidina Umar Al Kataab pernah bersembahyang di gereja. Idea dan pemikiran ini diambil atau ditiru bulat-bulat. Apa yang membedakan iman kita dan saidina Umar Al Khatab, bedanya syaitan takut dengan Umar. Dengan kita syaitan 'kencing' saja.

Jadinya, bukan kita yang berdakwah dengan penganut kristian sebaliknya kita akan 'terjerat' akhirnya. Kerana kekuatan jaringan memikat kita tidak sehebat orang di gereja. Banyak tempat yang boleh disahurkan.

Bencana akhir menimpa idea ini, adalah 'pluralisme agama' mula diterima. Kalau UM terima maka rosaklah, mazhab semua agama sama akan dimamah generasi muda.

Lihat idea gila anak Gus Dur ini ...

Apakah tanggapan pertama yang timbul di fikiran anda sekiranya ada golongan tertentu cuba mengajak anda untuk bersahur di dalam gereja atau kuil?

Mungkinkah anda akan terkejut dan berbaur perasaan marah kerana usaha berkenaan seolah-olah mencemarkan kesucian agama Islam dan memperolok-olok keimanan anda?

Inayah Wulandari Abdurrahman, 24, sebaliknya yakin usaha sebegitu akan dapat membolehkan masyarakat - khususnya golongan muda meraikan kepelbagaian agama (pluralisme) yang mencorak kebanyakan budaya setempat di rantau ini.

Puteri bongsu bekas Presiden Republik Indonesia Abdurrahman Wahid atau lebih dikenali dengan nama Gus Dur ini berkata, program berkenaan adalah acara penting yang akan dijalankan serentak di Malaysia dan Indonesia pada Ramadan ke-25, 7 Oktober depan.

"Pada asalnya kami merencana untuk mengadakan acara ini di The International Buddhist Pagoda, Brickfields. Bagaimanapun, kami belum yakin masyarakat Islam di sini dapat menerima idea sebegini, jadi program sahur ini akan diadakan di Universiti Malaya sahaja pada peringkat ini," kata graduan Universiti Indonesia dalam jurusan Pengajian Indonesia ini ketika ditemui mStar Online hujung minggu lalu.


Barisan pemimpin Positive Movement, dari kiri Gilang Aditya Lestari, 25, Sabilillah Ardie, 26, Gus Dur Inayah Wulandari, Suseno Dwinanto, 26.
(Foto The Star oleh Sahar Misni)

Katanya lagi, pertubuhannya berasa terpanggil untuk melakukan program berkenaan untuk membendung perasaan prejudis dan ekstremisme agama yang menurutnya semakin berleluasa di dalam komuniti berbilang agama di rantau ini.

Beliau yang dalam rangka lawatan seminggu ke negara ini untuk mempromosi program berkenaan berpendapat, institusi akademik seperti Universiti Malaya dilihat sebagai ejen neutral yang boleh bekerjasama dengan pertubuhan Positive Movement pimpinannya untuk memupuk semangat pluralisme.

Acara di universiti tersebut akan diselia oleh Mohamad Nasser Yusof, pengurus besar Pusat Perniagaan Pelajar di universiti berkenaan.

"Jika di Indonesia, kami boleh jalankan aktiviti tersebut di Gereja Besar Jakarta (Jakarta Grand Cathedral). Tujuan kami adalah untuk memupuk rasa hormat dan rasa percaya di antara penganut-penganut agama berbeza," jelasnya.

"Penganut Kristian boleh menyediakan makanan untuk sahur dan penganut Islam pula boleh duduk dan makan bersama. Ini bukan suatu yang baru. Kami sudah menjalankan program seperti ini sejak 2005," katanya lagi.

"Kedua-dua acara di Grand Cathedral Jakarta dan Universiti Malaya akan saling dihubungkan secara tele-persidangan," kata pemimpin gerakan anak muda itu yang telahpun berjaya membentuk satu jaringan belia di rantau ini.

Turut dimuatkan di dalam acara sahur tersebut adalah program dialog yang akan disertai pemimpin pelajar dan juga pegawai daripada Kementerian Luar dari kedua-dua negara.

Awal bulan Ogos lalu, pertubuhan Positive Movement yang mempunyai pertalian dengan pertubuhan Jaringan Islam Liberal, telah menemukan kira-kira 100 orang pemimpin anak muda dari negara-negara Asia Tenggara bagi membincangkan beberapa isu yang berkait dengan soal keharmonian hidup bermasyarakat di rantau ini.

"Kami telah membincangkan beberapa aspek undang-undang bagi komuniti bukan Islam yang tinggal di dalam masyarakat yang majoritinya muslim," katanya ketika menjelaskan program dinamakan Bridge of Youth itu pada 8 Ogos di Bali.

Beberapa orang aktivis telah berucap di acara berkenaan, termasuk wartawan Iwan Santosa dari akhbar harian Kompas, pengkritik sosial Thailand Sulak Sivaraksa dan bekas duta Indonesia ke Singapura Luhut Pandjaitan.

Inayah yang mesra dengan panggilan Ina juga berkata Positive Movement turut mendokong isu-isu berkaitan kanak-kanak, alam sekitar, penyalahgunaan dadah, pendidikan dan juga keamanan sejagat.

No comments: