Tuesday, July 03, 2007

Mentaliti Awang Selamat Yang Tak Selamatkan Negara ?

Bila KeKKWa menyanggah Awang Selamat

PENJELASAN terhadap tulisan Awang Selamat dalam ruangan Bisik-Bisik di akhbar Utusan Malaysia keluaran 2 Julai 2007 (Isnin) halaman 10.

* Pelancaran Kempen:Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan (KeKKWa) adalah agenda lima tahun kerajaan. Kempen ini telah dirasmikan pada 11 Januari 2005 dan tahun ini memfokuskan kepada pelancaran kempen di semua peringkat.

Kini kempen telah masuk tahun ketiga yang fokusnya melaksanakan program bagi menyemarakkan lagi kempen agar rakyat Malaysia dari pelbagai kaum dan peringkat lebih mudah memahami dan sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni dalam hidup seharian.

Sepanjang tahun 2005, sebanyak 62 majlis pelancaran telah diadakan melibatkan 14 peringkat kementerian, 20 peringkat jabatan, 14 peringkat negeri, tujuh peringkat masyarakat dan tujuh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ia sebagai salam permulaan kepada semua peringkat masyarakat betapa pentingnya amalan berbudi bahasa dan nilai-nilai murni dalam kehidupan.

* Menekankan pelaksanaan kempen:
Seterusnya tahun 2006, KeKKWa telah melaksanakan sebanyak 46 aktiviti termasuk kempen bersama Program Merakyatkan Seni (PMS) yang menjurus kepada empat institusi iaitu kekeluargaan, kemasyarakatan, pembelajaran dan perkhidmatan yang menekankan pelaksanaan kempen.

Antara aktiviti anjuran KeKKWa dengan kerjasama jabatan dan agensi kerajaan serta badan berkanun yang melibatkan orang ramai ialah gotong-royong, semarak budi bahasa, forum budi bahasa, forum perdana ehwal Islam, bina mesra budi bahasa, seminar budi bahasa, bersih dan senyum, mesra dan senyum serta kembara jiwa murni.

Kempen dengan persatuan teksi dan bas, kempen budi bahasa peringkat masyarakat Cina dan India telah juga diadakan. Ia bertujuan untuk membudayakan kembali amalan yang semakin luput dalam hidup bermasyarakat.

* Kempen terus dilaksanakan:
Bagi tahun 2007, KeKKWa telah merancang 61 aktiviti termasuk kempen bersama PMS untuk menyemarakkan program murni ini. Sebanyak 46 aktiviti telah dilaksanakan dengan jayanya yang telah disertai oleh pelbagai peringkat masyarakat.

Ini tidak termasuk aktiviti ceramah dan sampingan yang diadakan dari semasa ke semasa. Pada tahun ini juga KeKKWa masih menjuruskan kepada empat institusi berkenaan dengan menekankan tiga perkara iaitu perkhidmatan awam, senyum dan ucapkan terima kasih/senyum dan bersih (mengikut kesesuaian lokasi) dan Kempen Bersama PMS.

Untuk perkhidmatan awam, antara aktiviti yang telah dan akan diadakan ialah kempen bersama polis, kastam, pejabat pos, imigresen dan kaunter-kaunter kerajaan termasuk operator telefon di seluruh negara.

* Tidak melantik konsultan asing:
KeKKWa tidak pernah melantik konsultan asing dalam melaksanakan Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni sebagaimana yang telah diutarakan oleh Awang Selamat dalam ruangan Bisik-Bisik di akhbar Utusan Malaysia keluaran 2 Julai 2007 di halaman 10.

Hakikatnya, pelaksanaan kempen cuma dapat dihayati dan dijayakan oleh masyarakat negara ini sendiri. Budi bahasa adalah amalan kita sejak zaman berzaman dan memang wajar masyarakat Malaysia sendiri yang mesti mempraktik dan menerap amalan berkenaan melalui aktiviti yang diadakan.

Adalah tidak wajar orang asing yang mengajar kita berbudi bahasa sedangkan kita sendiri mempunyai warisan bangsa yang tidak dapat dipertikaikan.

Khidmat konsultan asing tidak diperlukan kerana mereka tidak memahami budaya dan nilai-nilai murni masyarakat kita.

* Hasil Kajian:
Apa yang KeKKWa cuba usahakan untuk menyemarakkan lagi amalan berbudi bahasa di kalangan masyarakat yang semakin alpa dengan nilai-nilai murni yang perlu dipraktikkan walaupun dalam zaman serba moden.

KeKKWa memerlukan penyertaan daripada seluruh lapisan masyarakat untuk menjayakan lagi kempen ini.

Daripada maklum balas yang diterima melalui borang kaji selidik yang diedarkan semasa Kempen Budi Bahasa sepanjang tahun 2006 diadakan, didapati 71 peratus (6,300) responden menyatakan keberkesanan kempen ini. Manakala hanya 29 peratus (2,574) mengatakan sebaliknya.

Kesimpulan ini menunjukkan Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni adalah berjaya mencapai matlamatnya.

Apa yang penting ialah masyarakat itu sendiri perlu sedar betapa pentingnya mengamalkan budi bahasa dan nilai-nilai murni yang melambangkan identiti masyarakat Malaysia.

Kajian dan jumlah aktiviti yang dilaksanakan adalah bahan bukti bahawa pelaksanaan Kempen Budi Bahasa masih dilaksanakan dengan aktif ke arah mewujudkan masyarakat yang terus kaya dengan budi bahasa.

KeKKWa berterima kasih dengan teguran Awang Selamat. Semoga dengan teguran ini akan membuka mata lebih banyak pihak supaya berganding bahu untuk bekerjasama menjayakan Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni.

Amalan berbudi bahasa adalah pusaka kita yang tidak dapat dijual beli. Bak kata pepatah, ‘tak lekang dek panas, tak basah dek hujan’.

– CAWANGAN MEDIA DAN KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Kesenian,
Kebudayaan dan Warisan.

No comments: