Monday, July 30, 2007

Garis panduan peraturan disiplin wajar dirombak

DUA bekas Ketua Pengarah Pelajaran sependapat sudah sampai masa garis panduan pelaksanaan peraturan disiplin sekolah dirombak untuk disesuaikan dengan keadaan semasa, malah perubahan itu juga bertepatan dengan masanya kerana peraturan sedia ada sudah begitu ketinggalan zaman.

Pengerusi Lembaga Penasihat Kluster Kecemerlangan, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, berkata peraturan sedia ada terlalu mengongkong guru menjalankan tanggungjawab mendisiplinkan pelajar.Justeru, beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Pendidikan (1985-1991), meminta penggubalan semula peraturan yang memberi kuasa merotan kepada semua guru atau sekurang-kurangnya kepada lebih ramai guru supaya tugas mendisiplinkan murid dapat dilaksanakan lebih berkesan.
“Pada masa ini kuasa merotan terhad kepada guru besar atau sebahagian guru yang diturunkan kuasa, itupun kaedah penurunan kuasa terlalu ketat. Masalahnya, ada di kalangan guru besar terlalu berlembut dan tidak menjatuhkan hukuman apabila sesuatu kes dirujuk kepada mereka. Keadaan ini menyebabkan moral guru terbabit jatuh dan mereka berasa tercabar.
“Pelajar terbabit pula akan berasa kebal dan dilindungi, malah lebih berani melakukan pelbagai kesalahan kerana menganggap apa saja yang dilakukan tidak akan dihukum kerana ‘diselamatkan’ guru besar. Jika guru besar tidak ada pada hari kesalahan dilakukan, perlukah guru menunggu hingga berhari-hari?” katanya.Beliau meminta semua pihak menyokong segala tindakan guru dalam mendidik pelajar selagi apa dilakukan tidak menyimpang daripada naluri kemanusiaan. Selagi sesuatu hukuman tidak mencederakan pelajar, ia wajar dibenarkan.
“Masalahnya, sering kali berlaku keadaan di mana guru besar atau ibu bapa tidak menyokong tindakan guru sedangkan guru berkenaan sudah menjalankan peranan sebagai ibu bapa pelajar di sekolah. Keadaan ini memberi tekanan kepada guru dan menyebabkan disiplin pelajar di sekolah terus merosot.“Budaya pelajar sekarang pun jauh sudah berubah berbanding dulu di mana adab tunduk di depan orang lebih tua dan budaya memberi salam seakan sudah hilang. Keadaan ini jelas menunjukkan anak zaman ini semakin rendah akhlaknya. Jadi salahkah sekiranya guru hendak membetulkan akhlak mereka sedangkan ibu bapa sendiri mungkin tak berkesempatan lantaran kesibukan kerja,” katanya.
Justeru, Abdul Rahman turut mencadangkan supaya kaedah hukuman di khalayak ramai dibenarkan supaya pelajar yang bersalah akan berasa malu untuk mengulangi kesalahan mereka seterusnya memberi pengajaran kepada pelajar yang menyaksikannya.Selain itu, guru yang melaksanakan hukuman akan dapat mengawal emosi ketika melakukan hukuman kerana sedar diperhatikan begitu banyak saksi dan keadaan ini secara langsung mengelakkan berlakunya hukuman yang melampaui batas jika dilakukan secara tersembunyi.
Beliau juga menyelar sikap kebanyakan ibu bapa kini yang hanya tahu menuding jari dan menyalahkan semua tindakan guru sedangkan mereka tidak pernah mengambil tahu sebarang aktiviti sekolah, malah tidak pernah hadir dalam sebarang pertemuan termasuk mesyuarat agung PIBG.Abdul Rahman berkata, sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Kluster Kecemerlangan, beliau akan memastikan sekolah kluster menjadi perintis pelaksanaan peraturan yang lebih tegas dan memberi lebih kuasa kepada guru untuk bertindak.
“Jika ibu bapa tidak suka atau tidak membenarkan anak mereka ‘disentuh’, jangan hantar anak ke sekolah kluster. Hantar saja ke sekolah biasa kerana di sekolah kluster, ibu bapa dan guru perlu saling mempercayai dan menghormati.“Sikap ibu bapa yang terlalu memanjakan anak dan menghalang tugas guru akan menyebabkan masa depan anak mereka sendiri yang terkorban. Guru tidak rugi apa-apa, justeru, berilah ruang sepenuhnya kepada guru untuk dihormati,” katanya.
Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Pendidikan (kini Pelajaran), Tan Sri Murad Mohd Noor, berkata peraturan sedia ada sudah terlalu lama, malah sudah digunakan sejak hampir 50 tahun.“Pada ketika peraturan itu diwujudkan, keadaannya jauh berbeza dengan sekarang di mana tahap disiplin pelajar menjadi semakin rumit dengan pelbagai kes salah laku yang berat. Tambahan pula, dulu tidak ada keadaan saman-menyaman seperti berlaku sekarang.
“Namun, harapan saya, perubahan dalam peraturan jangan sekadar mengutamakan jenis hukuman, tetapi lebih menitikberatkan kaedah terbaik mendidik pelajar supaya mereka lebih faham apa yang baik dan tidak elok diamalkan,” katanya.
Beliau bagaimanapun tidak bersetuju sekiranya kuasa merotan diberikan kepada semua guru kerana ia tidak akan memperbaiki tahap disiplin pelajar di sekolah, tetapi pendekatan paling sesuai adalah menanam sikap positif supaya pelajar tahu apa yang tidak wajar mereka lakukan.Murad menyifatkan sistem pendidikan sekarang tidak proaktif kerana sering kali menunggu hingga berlaku sesuatu kejadian atau masalah sebelum mengambil sebarang tindakan.
“Melihat kepada senario sekarang, guru perlu diberi lebih ruang dan ibu bapa pula perlulah kurang mempertikaikan peranan guru kerana selagi banyak pertikaian, semakin susah untuk guru menjalankan tanggungjawab mereka.“Jika kementerian serius untuk membuat rombakan, jangan sekadar menampal sana sini iaitu menggantikan beberapa perkara saja, tetapi penelitian lebih terperinci wajar dilakukan,” katanya.

No comments: