'Mereka berjaya bunuh Proton'. Keluh Tun Dr M, bukan itu saja Tun mereka 'bunuh' demokrasi, mereka juga bunuh kebebasan berfikir, mereka juga bunuh erti kemerdekaan, mereka juga bunuh bahasa ibunda mereka, mereka juga bunuh 'bangsa' mereka, mereka juga bunuh UDA, mereka juga bunuh DARA, mereka juga bunuh...., mereka juga bunnnnuh.....orang Memali.
"Segala usaha mereka selama ini untuk membunuh Proton nampaknya telah berjaya," demikian keluh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.Katanya, segala tindakan yang telah diambil oleh pengurusan baru Proton akan berakhir dengan berkuburnya syarikat nasional itu.
"Dan hari ini, kita akan lihat pembunuhan satu industri nasional, inilah pandangan saya, tetapi mereka tidak perlu menerimanya," katanya kepada pemberita selepas meraikan kepulangan kumpulan pendaki Merdeka de Everest di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini.
Dr Mahathir berkata demikian sebagai mengulas perkembangan terakhir dalam syarikat automotif nasional dan beliau masih lagi dilantik sebagai penasihatnya.
Kenyataan ini kali pertama dikeluarkan Dr Mahathir dalam tempoh hampir sebulan setelah diarahkan berehat oleh doktor berikutan serangan jantung bulan lalu.Saham Proton Holdings Bhd semalam meningkat mendadak berikutan berita bahawa ia hampir memuktamadkan perjanjian perkongsian dengan Volkswagen AG. Saham proton meningkat kepada RM7.05 pagi semalam berikutan laporan bahawa Volkswagen dijangka memegang ekuiti dan kawalan pengurusan operasi utamanya.
Laporan itu menyebut Volkswagen akan mengambil alih 51% pegangan dalam satu syarikat baru yang akan memegang aset Proton seperti pembuatan, penyelidikan dan pembangunan, kejuruteraan dan juga unit UK Lotus.
Proton bagaimanapun akan mengekalkan unit pengedarannya, demikian menurut laporan itu.
Dr Mahathir mengakui bahawa Proton memang memerlukan rakan kongsi taktikal tetapi ia perlu sentiasa kekal sebagai industri nasional.
Ditanya mengenai perkembangan terbaru itu sebagai penasihat Proton, Dr Mahathir mengulangi kenyataan yang kerap diberikannya: "Saya hanya penasihat pada nama saja. Saya tidak diminta memberi pandangan. Saya hanya akan diberitahu setelah keputusan dibuat.
"Lagipun ini tugas kerajaan yang lebih berkuasa. Kalau kerajaan tidak mahu sokong Proton, matilah Proton. Saya bagi pandangan tapi tidak pernah diterima."
Ditanya langkah yang perlu diambil kerajaan untuk menyelamatkan Proton, Dr Mahathir menjawab sinis:
"Proton patut dijual kepada syarikat luar supaya kita tidak ada lagi syarikat kereta nasional. Syarikat kereta nasional ini satu projek mega, jadi kita tidak perlu ada. Dulu Malaysia boleh, sekarang tak boleh."
No comments:
Post a Comment