Segelintir penggiat seni visual, teater dan pemuisi bangsa Melayu sanggup menjual maruah agama dan diri apabila secara terang-terangan mengaku tidak percayakan kewujudan Tuhan dan tidak menganut sebarang agama atau berfahaman ‘freethinker’ dengan pelbagai aliran seperti atheis, agnostik dan rasionalis.
Golongan itu yang menggelarkan diri sebagai Melayu aliran baru mendakwa bebas menentukan jalan hidup masing-masing dan menjadikan fahaman berkenaan seperti satu ‘trend’ hebat di mata kelompok mereka. Kebanyakan mereka berlagak seperti golongan intelek dengan mengusung buku tulisan beberapa tokoh falsafah barat seperti Friedrich Nietzsche, Søren Kierkegaard, Lord Byron dan Karl Marx yang terkenal dengan ideologi antiketuhanan dan komunisme sebagai ‘kitab’ ajaran mereka selain buku penulis berhaluan kiri dari Indonesia.Dipercayai, golongan terbabit mendapat bantuan kewangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) luar negara yang sentiasa memberi galakan terutama untuk menghasilkan karya bertentangan dengan Islam dan budaya timur yang disalurkan melalui segelintir aktivis sosial negara ini.
Malah, mereka juga berani mengambil tindakan yang boleh menimbulkan kemarahan dan bersifat provokatif di kalangan masyarakat Islam negara ini. Ini termasuk menghasilkan karya seni dan penulisan artikel serta puisi di laman blog yang bertentangan dengan adat ketimuran, kononnya bagi memperjuangkan hak individu. Selain itu, golongan freethinker terbabit sanggup melukis tatu pada anggota badan, minum arak dan mengamalkan seks bebas serta perkara lain yang bertentangan dengan Islam.
Perkara berkenaan diakui seorang pereka grafik hanya mahu dikenali Azfar, yang pernah menjadi pereka set untuk satu pementasan teater di utara Semenanjung, membabitkan beberapa penganut freethinker pada tahun lalu. Menurutnya, dua daripada tenaga kerja produksi itu termasuk pengarahnya mengaku berfahaman atheis dan sudah murtad.“Kami (tenaga kerja teater berkenaan) cuma menyedari perkara ini apabila mereka berdua tidak turut serta ketika sesi bacaan doa sebelum persembahan dimulakan. Malah, seorang daripada mereka yang dikenali sebagai Taji dengan bangga mengaku bukan Islam dan tidak mahu berdoa.“Pengarah teater terbabit pula sering mempersendakan tenaga kerja lain yang menunaikan solat dan selepas diselidiki, dia pernah bersekedudukan dengan seorang lelaki ‘Mat Saleh’ dari Amerika Syarikat ketika menuntut di sebuah universiti.
Saya dengar cerita, mereka sudah berkahwin tetapi masih berfahaman freethinker,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.Wartawan Harian Metro yang menyamar penulis bebas, berjaya menjejaki dan menemubual Taji yang menjadi pemuzik jalanan di kawasan Bukit Bintang di sini.Taji berkata, dia mula dipengaruhi fahaman freethinker selepas berkenalan dengan seorang aktivis sosial ketika masih menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di ibu kota.“Kerana tertarik dengan hujah serta idea yang diperkenalkan aktivis berkenaan mengenai fahaman ini, saya mula mengkaji sendiri dengan membaca beberapa buku karangan ahli falsafah dan saintis terkenal.“Akhirnya, saya terpengaruh serta yakin tuhan tidak wujud dan manusia berkuasa penuh untuk menentukan sendiri nasib masing-masing,” katanya.
Menurut Taji, dia banyak menulis naskhah teater dan cuba menyelitkan mesej tersirat dalam penceritaannya.“Selain mengarang, saya aktif berlakon, mengarah atau membuat kerja belakang tabir pementasan teater terutama membabitkan karya radikal yang melawan arus,” katanya. Sementara itu, seorang lagi penganut freethinker dikesan menulis artikel dan puisi yang mengenengahkan pendapatnya di laman blog kononnya untuk memperjuangkan hak kebebasan beragama. Menurutnya, orang Melayu sepatutnya diberikan hak memilih menjadi atheis, agnostik atau menganut agama lain dengan mudah tanpa campur tangan mana-mana pihak.Selain itu, dia berpendapat masyarakat Melayu diskriminasikan kerana tidak bebas memakan daging babi, minum arak dan membeli nombor ekor. Difahamkan, dia juga aktif menyertai pameran seni visual dan mempunyai lukisan tatu pada lengan.
No comments:
Post a Comment