Secara purata, seorang guru di negara ini menggunakan 66.24 jam seminggu untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang pendidik.
Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata jumlah itu meliputi tugas dan tanggungjawab semasa waktu dan luar waktu persekolahan di sekolah dan di luar sekolah.
Katanya ia merupakan hasil kajian selama setahun oleh sebuah jawatankuasa khas mengenai tugas dan tanggungjawab guru (TTG) tahun lepas.
"Ia merangkumi sembilan bidang iaitu kurikulum, kokurikulum, hubungan komuniti, pembangunan staf, pembangunan fizikal, pejabat dan pentadbiran, kewangan, hal-ehwal murid dan pengurusan asrama," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pascakabinet peringkat kementerian di sini hari ini.
Beliau berkata kepelbagaian bidang tugas dan episod kerja itu yang menyebabkan penggunaan masa guru yang amat tinggi sehingga melebihi jumlah purata seorang pekerja yang disarankan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) iaitu 45 jam seminggu.
Hishammuddin berkata kajian tersebut juga mendapati penggunaan masa guru yang amat tinggi telah memberi impak terhadap kualiti pelaksanaan tugas dan tanggungjawab utama guru khususnya dalam bidang kurikulum.
"Berdasarkan kajian berkenaan, jawatankuasa khas itu telah mengemukakan 39 perakuan yang berkaitan dengan pemantapan fungsi dan peranan guru dan seterusnya meningkatkan kualiti pendidikan negara. Perakuan itu dibahagikan kepada dua komponen iaitu komponen operasi dan komponen dasar," katanya.
Katanya dalam tempoh setahun setelah kajian itu disiapkan, pelbagai penambahbaikan dan pembaharuan telah dilaksanakan berhubung tugas dan tanggungjawab guru bersesuaian dengan perakuan yang disyorkan.
Susulan itu, Hishammuddin berkata beliau memutuskan bahawa gerak kerja selanjutnya adalah untuk memberi fokus dan penumpuan kepada pelaksanaan perakuan-perakuan kajian TTG.
Katanya laporan kajian tersebut dan status pelaksanaannya akan dibentangkan kepada Kabinet pada pertengahan bulan depan bagi memastikan para guru dapat memberikan tumpuan kepada tugas asas dengan mengurangkan bidang kerja yang tidak sewajarnya dibebankan kepada mereka. BERNAMA
No comments:
Post a Comment