Sunday, May 20, 2007


Dimana badan pemantau ketika harga barang dihebohkan naik?
Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan)), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail hairan kemanakah perginya badan pemantau kenaikan harga barangan seperti yang diwar-warkan oleh kerajaan setiap kali desas desus kenaikan harga barang menjadi hangat.

Katanya, adakah ia hanya retorik untuk mengabui mata rakyat yang sedang marah apabila harga barangan terus meningkat secara tiba-tiba. "Hairan sungguh sikap yang ditunjukan oleh kerajaan bila berhadapan dengan isu kenaikan harga barangan. Yang menerima keperitan semuanya rakyat," ujarnya.

Menurutnya, sebagai kerajaan yang bertanggung jawab ia seharusnya memastikan badan pemantau tersebut aktif sepanjang masa kerana kenaikan harga sering berlaku terutamanya di pasar-pasar lambak. Keadaan ini katanya, menyebabkan rakyat menanggung padah ekoran terpaksa mengikut kehendak peniaga yang asyik mengaut keuntungan hasil pengisytiharan bonus atau kenaikan gaji kakitangan perkhidmatan awam. "Baru dengar cadangan Cuepec atau dalam kajian kerajaan, sudah ada peniaga naikkan harga," katanya.

Menteri yang berkaitan hal ehwal pengguna pula seolah-olah lepas tangan bila kemelut kenaikan harga barangan menjadi lebih serius, katanya. Tambahnya lagi, apabila isu minyak masak menjadi konflik baru-baru ini semua menjadi kelam kabut. "Contoh macam sekarang ini, belum pun kerajaan habis cakap, pihak pemborong dah buat stok minyak masak atau lain-lain barangan. Semua itu dengan hasrat nak naik hargalah tu," katanya. Beliau yang mengadakan lawatan ke beberapa tempat di Dewan Undangan Negeri (Dun) Seberang Jaya turut meninjau masalah di flat Jalan Tuna dan kanak-kanak cacat di kawasan yang sama.

No comments: